WAK PUNYA GENG

Friday, March 26, 2010

Lelaki China miliki buah dada besar



GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan Feng yang memiliki buah dada besar walaupun dia ialah lelaki.


BEIJING - Seorang petani China, Guo Feng, 53, terpaksa menerima rawatan di Hospital Dada Jinan di sini kerana dia memiliki buah dada terbesar di dunia sehingga sering mengganggu tugas hariannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu berkata, buah dadanya mula membesar 10 tahun lalu dan keadaan tersebut menyebabkan ramai penduduk tempatan sanggup berbaris panjang di ladang tenusu miliknya untuk melihat dan kemudian mentertawakan pula dirinya.

Mereka akan memaksa Feng memakai baju tebal sepanjang masa walaupun semasa cuaca panas dan dia mendakwa terkilan dengan keadaan itu sehingga pernah bercadang untuk memotong sendiri buah dadanya jika tiada sesiapa yang mahu membantu.

"Saya sudah pergi dari sebuah hospital ke hospital yang lain tetapi tiada siapa mahu menolong dan saya telah menghabiskan banyak wang untuk pemeriksaan namun masih belum ada penyelesaian dan buah dada saya kian membesar," katanya.

Seorang doktor, Zhang Lilan dari Hospital Dada Jinan berkata, beliau sendiri tidak pernah melihat keadaan sedemikian sepanjang 30 tahun bertugas sebagai pakar dan mengesahkan Feng adalah lelaki normal kecuali bahagian buah dadanya. - Agensi

Thursday, March 18, 2010

SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Haiwan dibela manusia didenda...


Wanita tinggal bersama 23 haiwan didenda




BRISBANE - Seorang wanita berumur 66 tahun, Carol Lynette Samuels (gambar), 66, didenda oleh seorang majistret sebanyak A$4,000 (RM12,196) kerana tinggal dalam sebuah kereta bersama 23 haiwan peliharaannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia turut diarahkan supaya menyerahkan semua haiwan peliharaannya itu kepada sebuah agensi yang menjaga kebajikan haiwan.

Semasa dibicarakan, Carol menyatakan dia terpaksa tinggal di dalam kereta selepas diusir dari rumahnya yang berharga A$1.5 juta (RM4.57 juta) di Pulau Macleay, Teluk Moreton kerana masalah kewangan pada tahun lalu.

Seorang pegawai agensi perlindungan haiwan menemui Carol dan haiwan-haiwan peliharaannya di dalam kereta di sebuah pusat beli-belah pada September lalu selepas menerima aduan orang ramai.

Haiwan peliharaan itu ialah 11 ekor kucing Parsi, seekor kucing Himalaya dan 11 ekor anjing. - Agensi

Monday, March 15, 2010

Rumah terbalik di zoo Jerman


GAMBAR menunjukkan
rumah terbalik di Gettorf, Jerman.


BERLIN - Sekumpulan tiga tukang kayu Jerman yang diketuai Gerhard Mordhorst bersama rakannya, Gesellse Splettstößer dan Manfred Kolax mencipta sebuah rumah terbalik seberat 40 tan dekat sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kediaman unik itu dicipta untuk sebuah zoo tempatan di Gettorf, 308 kilometer dari sini dengan mengandungi sebuah dapur, bilik mandi, bilik tidur dan ruang tamu yang disusun secara terbalik.

Bangunan kayu tersebut mencapai ketinggian lebih tujuh meter dan mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan sebelum dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 30 Mac ini.

Rumah itu mirip kisah daripada sebuah buku cerita kanak-kanak terkenal The Twits karya penulis British, Roald Dahl.

Antara kelengkapan dalam rumah itu ialah katil, ketuhar gelombang mikro dan lukisan.

Perabot paling berat ialah almari pakaian yang mencecah 45 kilogram.

- Agensi

Friday, March 12, 2010

Kuda belang cuci gigi badak air


GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar Daily Mail semalam menunjukkan seekor kudang belang membersihkan gigi badak air di Zoo Zurich, Switzerland.


ZURICH, Switzerland - Seekor kuda belang mencuci gigi badak air di Zoo Zurich di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Adegan mendebarkan itu dirakamkan baru-baru ini oleh seorang jurugambar amatur dari Amerika Syarikat (AS), Jill Sonsteby, 34.

"Badak air itu membuka mulutnya dengan luas dan membiarkan kuda belang itu membersihkan giginya. Terdapat 20 pelawat yang menyaksikan adegan yang menghiburkan itu selama kira-kira 15 minit," katanya.

Berat badak itu ialah tiga tan dan merupakan mamalia ketiga terbesar di dunia. - Agensi

Thursday, March 11, 2010

Nenek 129 tahun manusia tertua




TBILISI - Seorang wanita di Georgia mendakwa dia berusia kira-kira 129 tahun sekali gus menjadikannya manusia tertua di dunia yang masih hidup, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa dokumen pengenalan diri yang ditemui sebuah stesen televisyen tempatan menyatakan wanita itu, Antisa Khvichava (gambar) lahir pada 8 Julai, 1880.

Dia kini tinggal di kampung Sachino, pedalaman Banjaran Caucasus, kira-kira 272 kilometer dari sini bersama seorang anak lelakinya, beberapa cucu dan sejumlah cicit.

"Nenek saya berusia 130 tahun," kata seorang cucu perempuannya, Shorena Khvichava.

Seorang pegawai Agensi Pendaftaran Awam Georgia, Gia Vashadze berkata, dia berharap dapat membuktikan usia Khvichava dalam bukuGuinness Book of World Records.

Ketika ini, gelaran rasmi kategori berkenaan dipegang seorang warga Jepun yang berusia 114 tahun. - Agensi

Friday, March 5, 2010

AMARAN DEMI AMARAN

Gempa bumi semakin kerap dan semakin kuat, namum manusia tetap begitu juga.....yang pasti 'suatu gempa bumi' yang kuat dan dahsyat pasti akan berlaku yang akan memusnahkan alam ini....yaitu 'HARI KIAMAT'.

Pantai California dipenuhi buih


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan buih yang terbentuk di Pantai Hollywood, California.


LOS ANGELES - Pantai-pantai di California, Amerika Syarikat (AS), termasuk pantai Hollywood dipenuhi dengan buih yang berikutan gempa bumi pada 8.8 skala Richter yang melanda Chile pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Gabungan cuaca dan kondisi laut yang luar biasa ditambah dengan ombak-ombak besar dilihat menjadi punca kepada fenomena tersebut.

Menurut satu kaji selidik saintifik, buih laut itu terdiri daripada protein dan molekul lemak yang terhasil akibat kemusnahan hidupan mikroskopik laut.

Hidupan laut yang dikenali sebagai phaeocystis itu membentuk koloni besar di dalam air.

Buih itu terbentuk apabila angin membawa saki-baki koloni tersebut yang mereput dan menghanyutkannya ke pantai.

Pencemaran itu memberi kesan ke atas buih laut berikutan terlalu banyak nutrien di dalam air menyebabkan pembentukan koloni phaeocystis yang lebih besar.

Gempa bumi di Chile mengakibatkan tsunami yang memusnahkan bandar-bandar di pesisiran pantai.

Tsunami yang berlaku akibat gempa bumi mungkin menyebabkan kebanyakan buih laut berkumpul di Lautan Pasifik sebelum angin kuat meniupnya ke pantai-pantai di California. - Agensi

Kapal dipukul ombak gergasi misteri


KAPAL Louis Majesty berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona semalam.


BARCELONA - Dua orang maut, banyak kabin dibanjiri air, tingkap-tingkap sebuah restoran pula pecah manakala ramai penumpang diselubungi ketakutan selepas sebuah kapal persiaran di Laut Mediterranean dipukul tiga ombak gergasi misteri, kata seorang penumpang, Calude Cremex semalam.

Cremex, 73, dari Marseille, Perancis berkata, dia sedang berehat di kabinnya kerana laut bergelora apabila ombak-ombak gergasi itu menghentam kapal persiaran Louis Majesty yang membawa 1,350 penumpang dan 580 krew di kawasan pesisir timur laut Sepanyol ketika ia dalam perjalanan dari Barcelona menuju ke Genoa, Itali kelmarin.

Pemilik kapal itu, syarikat Louis Cruise Lines memberitahu, kapal berkenaan dihentam tiga ombak gergasi lebih 10 meter tinggi yang memecahkan banyak tingkap kaca bahagian hadapan.

Menurut kenyataan syarikat itu, seorang penumpang warga Jerman dan Itali maut akibat terkena serpihan kaca dan dihempap perabut manakala 14 yang lain pula cedera ringan.

Cremex berkata, dia tidak melihat ombak tersebut tetapi menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku selepas itu.

"Kesan ombak itu dahsyat," katanya semasa kapal berkenaan berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona sehari selepas kejadian.

"Air melimpah masuk. Banyak kabin dibanjiri," kata Cremex yang melancong bersama isterinya.

Jurucakap Louis Cruise Lines, Michael Maratheftis berkata, semua 1,350 penumpang itu akan dihantar pulang dengan pesawat manakala kapal itu akan meneruskan pelayaran seperti biasa setelah kerja pembaikan selesai hujung bulan ini.

"Ombak kedua dan ketiga menyebabkan kemusnahan besar. Insiden itu berlaku tanpa dijangka kerana cuaca ketika itu, tidak begitu buruk," jelasnya.

Bagaimanapun, seorang jurucakap agensi pegawal pantai Marseilles berkata, tiga ombak misteri itu mungkin sebahagian ombak besar tsunami yang terpencil. - Agensi

Wednesday, March 3, 2010

Ratusan ikan jatuh dari langit di Australia


GAMBAR yang dirakamkan oleh Christine Balmer dan disiarkan oleh sebuah akhbar menunjukkan sejumlah ikan yang gugur dari langit di Lajamanu, Australia.


LAJAMANU, Australia - Seramai 650 penduduk di sebuah kawasan pedalaman Australia, Lajamanu seolah-olah tidak dapat berkata-kata apabila beratus-ratus ekor ikan jenis spangled perch gugur dari langit, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian itu mengejutkan salah seorang penduduk tempatan, Christine Balmer yang sedang berjalan pulang ke rumahnya apabila hujan ikan itu berlaku baru-baru ini.

"Beratus-ratus ekor ikan jatuh di merata-rata tempat. Penduduk berlari ke sana sini untuk mengutipnya. Semua ikan masih hidup semasa jatuh ke tanah.

"Justeru, ia semestinya masih hidup sewaktu 'terbang' di udara. Apabila saya memberitahu keluarga yang tinggal di tempat lain di Australia, mereka kata saya merepek.

"Sedangkan saya tidak. Apa yang boleh saya perkatakan ialah saya bersyukur tidak dihujani dengan buaya!," kata Balmer.

Seorang ahli meteorologi menyatakan insiden itu mungkin disebabkan oleh puting beliung.

Bukan sesuatu yang aneh bagi puting beliung untuk menyedut air dan ikan dari sungai sebelum menjatuhkannya pada jarak ratusan kilometer jauhnya.

"Sebaik sahaja ikan-ikan itu masuk ke dalam sistem cuaca, ia mungkin beku. Selepas beberapa tempoh, ikan-ikan tersebut 'dilepaskan'," kata Mark Kersemakers dari Biro Meteorologi Australia.

Lajamanu terletak di antara Darwin dan Alice Springs di hujung Gurun Tanami.

Ini bukanlah kali pertama bandar kecil itu mengalami kejadian ikan gugur dari langit.

Menurut seorang penduduk, Les Dillon yang berusia 48 tahun, pada awal tahun 1980-an dia berada di Hotel Alice Springs Tavern.

Apabila keluar dari biliknya, dia melihat ikan-ikan kecil jatuh dari langit.

"Ya, memang saya ada minum beberapa gelas bir. Jadi tiada seorang pun rakan yang mempercayai saya.

"Saya terpaksa menelefon ramai orang untuk memberitahu bahawa saya tidak mabuk. Ia (ikan gugur dari langit) benar-benar berlaku," kata Dillon. - Agensi