WAK PUNYA GENG

Saturday, April 9, 2011

Batu nisan 20 kubur lama 'hidup'


Mohd. Zin menunjukkan antara batu nisan yang 'hidup' di Kampung Batu Melintang, Gua Musang, Kelantan semalam.


GUA MUSANG – Penduduk Kampung Batu Melintang dekat sini terkejut kerana batu-batu nisan di sebuah kubur lama di kampung itu didakwa hidup apabila saiznya semakin membesar dan meninggi.

Kubur tersebut yang dikatakan wujud sejak 200 tahun lalu, menyemadikan penduduk tempatan pada zaman dahulu.

Kini ia sudah tidak digunakan lagi setelah perkuburan baharu disediakan di Kampung Kuala Sungai tiga tahun lalu.

Sejak penggunaan tanah perkuburan beralih ke kubur baharu, kubur lama yang menempatkan hampir 150 jenazah penduduk beragama Islam itu kini terbiar dan dipenuhi pokok-pokok hutan.

Sebelum ini, menurut penduduk, batu- batu nisan itu memang telah dilihat membesar, namun tidak pernah dilapor- kan media.

Tinjauan Kosmo! Ahad ke lokasi tersebut mendapati, sebanyak 20 buah kubur lama yang batu nisannya menjadi tinggi, manakala kawasannya dipenuhi dengan semak-samun.

Batu-batu nisan di kawasan perkuburan itu memang besar dan tinggi sehingga ada yang hampir menyamai tinggi orang dewasa.

Wednesday, March 16, 2011

Pemilik upah lelaki rosakkan Lamborghini miliknya


BEBERAPA orang yang diupah merosakkan kereta Lamborghini Gallardo di Qingdao, wilayah Shandong, China.


BEIJING - Seorang ahli perniagaan China mengupah sekumpulan lelaki dari Shandong untuk merosakkan kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang berharga AS$804,301 (RM2.45 juta) dengan menggunakan tukul di Qingdao kelmarin.

Tindakan itu dibuat selepas beliau sangat kecewa dengan perkhidmatan servis pengedar kereta terbabit yang gagal menyelesaikan pelbagai kerosakan yang dialami Lamborghini miliknya.

Ahli perniagaan itu turut mendapati terdapat kerosakan yang dilakukan seseorang ke atas kereta miliknya di bahagian depan dan kerangka kereta sport itu semasa ia sedang dibaiki.

Orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki merosakkan kereta mewah itu yang sering rosak sejak dihantar kepada tuannya pada Oktober tahun lalu.

Selepas bertengkar dengan pengedar dan beberapa orang wakil kanan pengedar kereta Lamborghini, ahli perniagaan tersebut mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk melindungi haknya ialah dengan merosakkan kereta itu pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. - Agensi

Monday, March 7, 2011

Kura-kura dua kepala dipamer


BENTUK belakang seekor kura-kura yang mempunyai dua kepala yang dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.


ZILINA, Slovakia - Seekor kura-kura kecil daripada spesies Geochelone sulcata yang mempunyai dua kepala dan lima kaki dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.

Kura-kura yang berusia tujuh minggu itu dilahirkan di Slovakia dan diberi dua nama, Magda untuk kepala kiri dan Lenka untuk kepala kanan. - Reuters

Monday, February 21, 2011

Ikan buaya paling berat di dunia ditangkap


DUA orang ahli biologi Jabatan Perikanan, Hidupan Liar dan Taman Mississippi mengukur ikan buaya yang ditangkap Kenny Williams di Tasik Chotard, Amerika Syarikat pada 14 Februari lalu.


TASIK CHOTARD, Amerika Syarikat - Seekor ikan buaya paling berat di dunia berjaya ditangkap oleh seorang pemancing, Kenny Williams di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Berat ikan itu ialah 148.32 kilogram (kg), panjang 2.59 meter dan dianggarkan berusia di antara 50 hingga 70 tahun.

Sebelum ini seekor ikan buaya berjaya ditangkap di Rio Grande, Texas pada 1951 dengan berat 126.55kg.

Menurut Williams, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa ikan yang ditangkapnya pada 14 Februari lalu itu cukup besar.

Lelaki tersebut berkata, selepas dia menaikkan tangkapannya di atas bot, dia berasa terkejut melihat ikan buaya itu yang terlalu besar.

Williams membuat keputusan untuk menyerahkan ikan itu kepada Muzium Sains Semula Jadi Mississippi di Jackson untuk dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi

Tuesday, October 19, 2010

Acara tarik tali 43 tan


SEJUMLAH orang menarik tali-tali kecil yang diikat pada tali besar di Pulau Okinawa, Jepun baru-baru ini.


NAHA, Jepun - Satu pertandingan tarik tali di Jepun dengan menggunakan tali gergasi sepanjang 200 meter dan seberat 43 tan berlangsung di Pulau Okinawa baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam pertandingan itu, para peserta menarik 200 tali kecil yang diikat pada tali utama dalam percubaan mereka untuk menjuarainya.

Kejohanan tersebut tercatat dalam Guinness World of Recordssebagai acara tarik tali terbesar.

Acara berkenaan berasal dari abad ke-17 lagi apabila ia diadakan bagi membantu meramal nasib pada tahun hadapan. - Agensi

Monday, October 11, 2010

Kapal angkasa komersial diuji


GAMBAR menunjukkan kapal angkasa VSS Enterprise terbang di Mojave, California kelmarin.


LOS ANGELES - Kapal angkasa komersial pertama di dunia, VSS Enterprise melakukan penerbangan buat kali pertama di negeri California, Amerika Syarikat (AS) sebelum mendarat di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave, kelmarin.

Kapal angkasa berkenaan dibina oleh kumpulan Virgin, syarikat milik bilionair Britain, Sir Richard Branson yang juga pemilik pasukan perlumbaan Formula Satu (F1), Virgin Racing.

Dalam satu kenyataannya, kumpulan Virgin memberitahu, VSS Enterprise meninggalkan pesawat induknya WhiteKnight2 yang sebelum ini bercantum dengannya pada ketinggian 13,700 meter.

Semasa penerbangan, kapal angkasa itu dikendalikan oleh juruterbang, Pete Siebold dengan Mike Alsbury sebagai pembantu juruterbang.

Penerbangan ujian itu dilakukan untuk menguji perlepasan VSS Enterpise dari kapal induknya selain keupayaan kedua-dua juruterbang itu mengemudi dan mendaratkan kapal angkasa itu di Lapangan Terbang Kapal Angkasa Mojave.

"VSS Enterprise menyeronokkan untuk dikendalikan, bukan sahaja kerana kapal angkasa itu mampu bergerak selaju 4,152 kilometer sejam tetapi ia juga meluncur pada altitud paling tinggi di dunia," kata Siebold. - AFP

Sunday, October 3, 2010

Afrika Selatan lulus pokok atasi lapar




JOHANNESBURG - Afrika Selatan kelmarin mengeluarkan lesen pertama kepada sebuah firma tempatan, HGH Pharmaceuticals untuk menjual pokok herba tradisional yang didakwa mampu mengatasi masalah lapar dan letih.

Tumbuhan dengan nama saintifik Sceletium tortuosum dikenali di negara itu sebagai Kanna, Channa atau Kougoed. Ia sering digunakan oleh masyarakat pribumi San sejak ratusan tahun lalu tanpa memberi sebarang kesan sampingan dan ketagihan.

Kementerian Alam Sekitar Afrika Selatan memberi kelulusan untuk pokok itu dikomersialkan sebagai makanan tambahan kesihatan. Ia dijangka menjana ekonomi penduduk miskin apabila aktiviti penanaman berskala besar dilakukan tidak lama lagi.

"Selain menyebabkan kita berasa sentiasa kenyang, tumbuhan ini juga didapati sesuai untuk merawat tekanan di pejabat, ketegangan perasaan atau meredakan kesedihan seseorang," kata Pengarah Penyelidikan HGH, Nigel Gericke. - Agensi

Friday, October 1, 2010

KUAT???

Pecah kayu dengan payu dara


GAMBAR menunjukkan Susan Sykes memecahkan kepingan kayu dengan menggunakan payu daranya dalam satu program bakat televisyen di Jerman baru-baru ini.


BERLIN - Seorang wanita, Susan Sykes menunjukkan kekuatan ototnya yang luar biasa apabila dia memecahkan kepingan kayu dengan menggunakan payu daranya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berumur 49 tahun bukan sahaja memecahkan kayu itu tetapi juga buah tembikai dan meleperkan tin minuman bir dalam satu program bakat televisyen di Jerman.

Aksi Sykes yang memiliki payu dara besar dengan saiz 46H itu mengagumkan penonton televisyen baru-baru ini.

Sebelum ini dia pernah dilabelkan sebagai satu ancaman ke atas Amerika Syarikat kerana seorang penonton mati kerana serangan jantung apabila melihat aksinya di televisyen.

"Dia (Sykes) memang amat mengagumkan tetapi anda tidak akan mahu berada di belakangnya apabila dia berlari untuk menaiki bas," kata seorang penonton televisyen. - Agensi

Wednesday, September 1, 2010

Puting beliung api melanda Hawaii



GAMBAR menunjukkan asap dan api seperti puting beliung di sebuah kawasan hutan di Pulau Besar, Hawaii, baru-baru ini.


HONOLULU - Fenomena puting beliung api berlaku dekat sebatang jalan raya utama di Hawaii dan ia berjaya dirakamkan menerusi kamera, lapor sebuah akhbar semalam.

Putaran asap hitam yang tebal dilihat berpusing dalam bentuk pusaran ketika api menjulang setinggi 6.09 meter dari permukaan tanah, baru-baru ini.

Puting beliung api tersebut memusnahkan tanah seluas 566 hektar dan ia terus membakar beberapa bahagian di pulau itu.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Turut dikenali sebagai syaitan api, puting beliung api itu berlaku apabila api berdepan dengan satu pusaran vertikal.

Puting beliung itu turut berlaku apabila satu bahagian udara panas diselaputi oleh api sekali gus menyebabkan tekanan rendah di permukaan bumi.

Udara yang lebih sejuk kemudian memasukinya menyebabkan pusaran berlaku manakala api menjulang tinggi.

Pada 1923. satu puting beliung api terjadi disebabkan gempa bumi kuat di Tokyo. Dalam kejadian itu, seramai 38,000 orang terbunuh. - Agensi

Monday, August 30, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 53


Masuk Islam selepas hadir majlis Gaddafi



GAMBAR menunjukkan seorang wanita yang didakwa telah memeluk Islam semasa menghadiri majlis anjuran Muammar Gaddafi di Rom kelmarin.


ROM - Tiga wanita muda Itali memeluk Islam semasa menghadiri satu majlis anjuran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi (gambar kecil) yang diadakan di kediaman rasmi duta negaranya di sini kelmarin.

Pada majlis itu, sekumpulan wanita muda mendengar penerangan mengenai Islam yang disampaikan oleh pemimpin itu dan mereka kemudian diberi senaskhah al-Quran.

Ratusan wanita menyertai majlis itu walaupun terdapat dakwaan mereka dibayar untuk menghadirinya.

"Ia merupakan satu pertemuan yang sungguh indah dan berjalan lancar. Beliau (Gaddafi) seorang yang mudah berbincang dan memberi kami senaskhah al-Quran sebelum mereka bertiga memeluk Islam," kata seorang tetamu yang hanya mahu dikenali sebagai Michela.

Antara 200 hingga 500 wanita muda menghadiri majlis itu dan mereka tiba dengan 10 buah bas sebelum pesawat yang membawa Gaddafi mendarat di Lapangan Terbang Ciampino di sini untuk beliau memulakan lawatan selama dua hari di Itali.

Program lawatan itu diadakan bagi memperingati ulang tahun kedua perjanjian persahabatan antara Libya dengan Itali.

Pemerintah Itali sebelum ini bersetuju untuk membayar pampasan AS$5 bilion (RM15.7 bilion) kerana menakluk Libya selama 30 tahun sehingga 1943.

Gaddafi pernah melakukan kunjungan rasmi ke Itali pada November lalu semasa menghadiri sidang kemuncak program makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menganjurkan majlis sama yang dihadiri 200 wanita muda. - AP


Monday, August 23, 2010

Pasar raya pandu lalu pertama di Britain

Kalau ada kat Malayasia senang kita...tambah2 dkt nak raya ni.......





RUANG pandu lalu pasar raya Tesco di Baldock, Hertfordshire, Britain yang akan dibuka hari ini.


BALDOCK - Rangkaian pasar raya keempat terbesar di dunia, Tesco akan membuka pasar raya pandu lalu pertama di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Projek perintis itu akan dilancarkan secara rasmi di bandar ini, daerah Hertfordshire, England pada hari ini.

Perkhidmatan itu disasarkan kepada pelanggan yang tidak mahu berasak-asak semasa membeli belah pada hujung minggu.

Dengan caj rata serendah £2 (RM9.75), pelanggan akan membuat pesanan, membayar untuk barang dapur dan menetapkan waktu untuk mengambil barangan tersebut secara dalam talian.

Mereka kemudian perlu memandu ke kemudahan pandu lalu itu yang beroperasi tujuh hari seminggu selain menunjukkan senarai pesanan kepada petugas pasar raya Tesco yang akan memunggah barangan mereka ke dalam kereta. - Agensi


Wednesday, August 18, 2010

Terselamat walau tukul melekat di kepala


SEBATANG penukul melekat di dahi Yuan Dongjiang baru-baru ini.


NANNING, China - Seorang tukang rumah terselamat daripada maut walaupun sebatang penukul melekat di dahinya selepas dia terjatuh dari ketinggian tiga meter di tempat kerjanya.

Bahagian belakang penukul dilihat mengenai dahi di bahagian atas mata kiri Yuan Dongjiang ketika dia sibuk menanggalkan bumbung sebuah gudang di Nanning, wilayah Guangxi China, baru-baru ini.

Pekerja berusia 40 tahun itu bagaimanapun masih berada dalam keadaan sedar dan dapat berfikir apabila tiba di sebuah hospital.

Pemeriksaan X-ray menunjukkan penukul tersebut menembusi dahi.

Dia bernasib baik kerana matanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Doktor kemudian berjaya mengeluarkan penukul itu dan Dongjiang kini semakin sembuh di hospital. - Agensi


Wednesday, August 11, 2010

Kacang pis tumbuh dalam paru-paru



RON SVEDEN


BREWSTER, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas guru yang sesak nafas selama beberapa bulan, Ron Sveden terkejut apabila beberapa doktor memberitahu terdapat anak pokok kacang pis yang sedang membesar dalam paru-parunya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sveden menghidap penyakit paru-paru kronik, emphysema semasa keadaan kesihatannya menjadi semakin buruk.

"Saya sering batuk," kata pesara berusia 75 tahun itu

Isterinya, Nancy menghubungi ambulans pada 31 Mei lalu apabila keadaan suaminya bertambah teruk.

Ujian sinar-X kemudian mendapati paru-paru kiri warga emas itu tidak berfungsi tetapi doktor-doktor bingung kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia menghidap kanser paru-paru.

Namun, doktor kemudian mendapati terdapat anak pokok kacang pis tumbuh dalam paru-paru Sveden berdasarkan sampel organ berkenaan yang diambil mereka.

Doktor-doktor percaya pokok kacang pea itu tumbuh dalam paru-parunya kerana ia termasuk ke dalam sistem pernafasan Sveden semasa dia menelan kacang itu.

Dia kemudian menjalani pembedahan bagi membuang anak pokok pis itu.

Namun, hidangan pertama selepas dia menjalani pembedahan itu ialah kacang pis.

"Saya ketawa bersendirian dan memakannya (kacang pis)," kata Sveden. - Agensi