WAK PUNYA GENG

Friday, August 28, 2009

Misteri lembu 'bunuh diri'


SOUSTAL, Switzerland - Berpuluh-puluh ekor lembu 'membunuh diri' dengan terjun dari tebing tinggi dekat kampung Soustal, Switzerland, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam tempoh tiga hari, sebanyak 28 ekor lembu mati di banjaran Alps dengan terjun dari tebing tinggi yang mempunyai ketinggian beberapa puluh meter.

"Kami sedang menyiasat kes itu kerana lembu yang hidup di kawasan pergunungan boleh mengesan bahaya dan tidak terjun dari tebing tinggi dengan sengaja," kata seorang pegawai polis.

Pihak berkuasa terpaksa menggunakan helikopter untuk memindahkan puluhan bangkai haiwan itu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa kejadian tersebut berlaku apabila lembu yang berada di belakang rakannya akan terjun jika haiwan di depannya melakukan perbuatan itu.

Kebanyakan saintis menyatakan haiwan tidak mampu membunuh diri. - Agensi

Berjalan atas wayar di kawasan tinggi


VIENNA - Bukan semua orang meminati pendakian ekstrem tetapi sukan itu sudah sebati dengan jiwa seorang warga Austria, Heinz Zak, lapor sebuah akhbar semalam.

Sejak lapan tahun lalu, lelaki berusia 51 tahun itu sudah mengunjungi beberapa negara bagi mencari lokasi tebing tinggi yang sesuai untuk melakukan aktiviti berjalan di atas wayar.

Minatnya terhadap aktiviti itu bermula pada tahun 1980-an apabila hatinya terdetik untuk berjalan di atas wayar sejauh 173 meter yang menghubungi dua buah tebing ketika melawat Taman Negara Yosemite di Amerika Syarikat (AS).

Sejak itu, dia sudah mengunjungi banyak negara termasuk Austria, Jerman, AS, Itali dan Republik Czech untuk mencari kepuasan dengan melakukan aktiviti bahaya itu.

"Anda harus memberi tumpuan penuh (ketika melakukan aktiviti tersebut). Kecuaian akan mengundang maut," katanya. - Agensi

Polis London lancar operasi ‘curi’ barang


LONDON — Sekumpulan polis Britain menggeledah kawasan perumahan mewah Richmond di sini bagi mencari barang-barang berharga yang ditinggalkan dalam kenderaan penduduk setempat.

Scotland Yard kelmarin menyatakan, sekumpulan anggota polis yang melakukan operasi ‘curi’ mendapati banyak kereta dibiarkan tidak berkunci sebelum mereka bertindak mengambil barang-barang berharga.

Duncan Slade jurucakap polis Richmond dalam satu kenyataan bagaimanapun menjelaskan, operasi itu sebenarnya latihan untuk mendidik pemilik kenderaan agar lebih berwaspada.

“Pesanan kepada pemilik kenderaan; ‘Tolong kami untuk tolong anda’,” kata Slade.

Pihak polis turut meninggalkan notis di kereta terbabit untuk memberitahu apa yang terjadi.

Seorang peguam yang menetap di sini, Orlando Pownall berkata, polis boleh didakwa kerana menceroboh dan perlu memastikan barang yang diambil tidak rosak atau hilang. – AP

Wednesday, August 26, 2009

Lelaki dibelasah enam wanita


LIVERPOOL - Polis Britain memburu sekumpulan enam wanita yang dipercayai bertanggungjawab dalam satu serangan ganas terhadap seorang lelaki di sini pada awal pagi bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 38 tahun patah di pergelangan kaki dan kepalanya luka keluar bersama seorang teman wanitanya sebelum diserang di sini.

Kelmarin, pihak polis menunjukkan rakaman litar kamera televisyen tertutup (CCTV) yang menyiarkan imej enam suspek wanita dan kesemua dipercayai berusia 20-an.

Serangan itu berlaku pukul 2.30 pagi pada 19 Julai lalu.

Wanita terbabit melancarkan serangan berkumpulan dengan menumbuk dan menendang mangsa selepas berlaku perbalahan. - Agensi

Pukul gendang kejut bangun bersahur


BEIRUT - Seorang lelaki Lebanon, Mohammed Fanas, 61, sentiasa mendapat perhatian setiap kali Ramadan kerana kegigihannya sebagai Al-Musaharati yang mengejutkan orang ramai bangun untuk bersahur.

Dia akan berjalan menyusuri jalan-jalan lama di bandar pelabuhan Sidon di selatan Lebanon sambil membawa sebuah lantera dan memukul gendang kecil dengan kuat bertalu-talu.

Bunyi pukulan itu akan mengejutkan masyarakat Islam yang tidur.

Al-Musaharati merupakan kerjaya lama yang semakin pupus kerana kebanyakan penduduk Islam memasang jam loceng untuk mengejutkan mereka bangun bagi makan sahur. - Agensi

Tuesday, August 25, 2009

Lelaki 'monyet' ditangkap polis


PERTH - Polis negeri Australia Barat terpaksa menangkap seorang lelaki, Brenton Green, 21, selepas dia didapati mengganggu beberapa orang yang sedang membeli-belah di sini pada petang Ahad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua anggota polis berbasikal menemui Green yang memakai kostum seekor monyet memeluk pengunjung sambil bergambar, melambai tangan dan menari sebelum melanggar orang awam dan merampas burger daripada seorang lelaki.

Jurucakap polis, Sarjan Graham Clifford berkata, Green membuat bunyi bising ketika disoal namanya.

Apabila disoal buat kali kedua, dia menjawab: "Monyet." Jawapan itu menyebabkan anggota polis itu menangkapnya untuk dibawa ke balai polis East Perth.

Green berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana mendapat idea daripada kejayaan kempen berpeluk anjuran seorang lelaki dari Sydney, Juan Mann.

Dia kemudian muncul di sebuah mahkamah majistret di sini kelmarin dan dihukum tiga bulan kerja komuniti.

- Agensi

Monday, August 24, 2009

Upah gunting rambut Sultan Brunei RM86,497

LONDON - Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sanggup membelanjakan £15,000 (RM86,497) bagi membawa seorang tukang gunting rambut dari sini ke Brunei, lapor akhbar Sunday Times kelmarin.

Baginda menyewa suite peribadi sebuah pesawat bagi membolehkan tukang gunting kegemarannya, Ken Modestou tidak bercampur dengan penumpang lain kerana bimbang dia dijangkiti virus selesema babi.

Sultan Brunei merupakan antara manusia yang terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai £12 bilion (RM69.15 bilion) menggunakan khidmat Modestou sejak 16 tahun lalu.

Dia bekerja di sebuah kedai gunting di Hotel Dorchester di Mayfair, tengah London.

Pada setiap tiga atau empat minggu, dia diterbangkan ke Brunei dan diberikan penginapan selama beberapa malam selain upah ribuan dolar sebelum balik ke London.

George Kadi yang bertugas dengan Modestou memberitahu: "Dia kerap ke sana. Sultan menerbangkan dia dengan kelas pertama pada kos £9,000 (RM51,873).

"Semuanya ditanggung iaitu hotel dan makanan mewah, asalkan dia mahu pergi ke Brunei."

Caj biasa yang dikenakan untuk menipiskan rambut di kedai Modestou ialah £30 (RM172.87).

Kadi berkata, Sultan Brunei yang berusia 63 tahun itu membayar Modestou melalui sekeping sampul surat yang agak tebal tetapi penuh dengan wang tunai. - Agensi

Sunday, August 23, 2009

Kepala anak kambing mirip manusia


BATAM, Indonesia - Seekor anak kambing menjadi perhatian penduduk di sebuah kampung di sini kerana kepalanya mirip bayi manusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Anak kambing itu ditemui dalam perut ibunya yang sudah disembelih oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Tohari tetapi dia tidak mengetahui haiwan itu bunting.

Semasa disembelih, ibu kambing itu tidak menunjukkan tanda sedang bunting.

"Seumur hidup saya sebagai penyembelih kambing, inilah pertama kali saya melihat wajahnya mirip manusia. Saya melihat mulutnya menjulur keluar dan bibirnya seperti bayi yang baru lahir," kata Tohari.

Selain kepalanya yang belum sempurna, anak kambing itu tidak mempunyai hidung.

Sebelum bangkai anak kambing itu ditanam, Tohari mempamerkan haiwan itu untuk dilihat oleh orang ramai di rumahnya.

Menurutnya, sebelum menyembelih ibu anak kambing itu, dia mendengar haiwan tersebut menjerit seperti suara manusia.

Tohari berkata, dia berasa binggung apabila mendengar suara itu tetapi meneruskan juga tugasnya menyembelih ibu kambing tersebut. - Agensi

Saturday, August 22, 2009

Mayat harum selepas 26 tahun ditanam

GAMBAR fail menunjukkan Kiai Abdullah (kiri) ketika sedang belajar di Mekah.

KUBUR Kiai Abduulah di Tangerang, Jakarta.

JENAZAH seorang ulama di Indonesia, Kiai Abdullah H. Mukmin yang meninggal dunia pada 22 Oktober 1983 berbau wangi manakala kain kapannya masih elok ketika kuburnya digali untuk dipindahkan ke tempat lain di Tangerang, Jakarta, baru-baru ini.

Menurut sebuah akhbar semalam, mayat Kiai Abdullah tidak reput dan masih berada dalam keadaan baik sama seperti ketika ditanam 26 tahun lalu.

Kayu penutup jenazah itu didapati tidak reput termasuk kain kapan.

Anak sulung Kiai Abdullah, Mukhtar Ali yang mengangkat jenazah bapanya dari liang lahat mengaku berasa terkejut.

“Keadaan jenazah sama seperti semasa ditanam pada 22 Oktober 1983.

“Cuma tubuhnya kelihatan kurus manakala rambutnya putih,” kata Mukhtar.

Mukhtar dan keluarganya turut terkejut kerana jenazah bapa mereka berbau wangi.

Menurutnya, bau itu tidak sama dengan wangian yang dijual di kedai-kedai minyak wangi.

Beberapa orang yang berada di kubur itu melaungkan takbir semasa menyaksikan kejadian tersebut.

Kubur Kiai Abdullah terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kerja-kerja pelebaran jalan.

Ketika masih hidup, Kiai Abdullah banyak menghabiskan masanya dengan belajar dan mengajar agama.

Kubur baru ulama itu kini di depan pekarangan rumah seorang lagi anaknya, Achmad Fathi, yang terletak 15 meter dari lokasi pusara lamanya. – Agensi

Friday, August 21, 2009

Pindah wanita 250kg dengan kren



BERLIN - Anggota-anggota perkhidmatan kecemasan terpaksa menggunakan sebuah kren untuk memindahkan seorang wanita seberat 250 kilogram (kg) keluar dari rumahnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita itu kemudian dimasukkan ke dalam ambulans sebelum dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Kren itu memindahkan wanita tersebut yang berada di atas sebuah pengusung dari tingkap sebuah kediaman di Bottrop, Jerman.

Perkhidmatan kren itu digunakan setelah pelbagai cara untuk membawa wanita berkenaan keluar dari rumah tersebut menemui kegagalan. - Agensi

Thursday, August 20, 2009

Seludup dadah RM200,000 dalam al-Quran


JAKARTA - Tindakan biadap dua rakyat Indonesia cuba menyeludup masuk heroin dari Kemboja di dalam sebuah al-Quran mendapat balasan setimpal apabila mereka dicekup pihak berkuasa.

Kitab suci itu tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, di sini pada Selasa lalu menerusi penghantaran mel ekspres.

Namun, beberapa pegawai kastam mula curiga apabila pemeriksaan rutin sinar-X mendapati terdapat beberapa lubang pada kitab suci berkenaan.

"Mereka menyembunyikan empat plastik kecil heroin dalam lubang-lubang yang ditebuk pada al-Quran," kata seorang jurucakap kastam, Evy Suhartantyo.

Menurutnya, nilai rampasan tersebut dianggarkan mencecah Rp600 juta (RM211,740).

Indonesia menguatkuasakan undang-undang narkotik yang tegas di mana pengedar dadah boleh dihukum mati sekiranya didapati bersalah - AFP

Tentera Israel dagang organ


BAITULMAQDIS - Kekejaman tentera Israel bukan sekadar menyekat kemasukan makanan ke wilayah Gaza malah mereka dipercayai melapah organ penduduk Palestin untuk diperdagangkan.

Akhbar Sweden, Aftonbladet pada Isnin lalu mendakwa, wujud kaitan antara tuduhan tersebut dengan penahanan seorang lelaki Yahudi warga Amerika Syarikat (AS) berhubung penyeludupan organ manusia baru-baru ini.

Di bawah tajuk Anak-anak kami dibunuh kerana organ mereka, akhbar tersebut menyiarkan gambar jenazah seorang pemuda Palestin yang dipenuhi jahitan pada dadanya. Gambar tersebut dirakam selepas satu bedah siasat.

Lelaki Yahudi itu didakwa cuba mengimport satu ginjal dari warga Israel untuk dijual kepada seorang pesakit AS dengan harga mencecah AS$160,000 (RM567,400).

Penulis artikel itu, Donald Bostrom mendakwa ia ditulis berdasarkan keterangan beberapa penduduk Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza yang dikenali hanya dengan nama pertama mereka.

Menurutnya, terdapat kekurangan organ untuk pembedahan pemindahan di Israel pada masa kini dan rejim Zionis pernah melancarkan kempen menderma organ pada 1992.

"Ketika kempen ini diadakan, ramai pemuda Palestin hilang dan jenazah mereka dihantar pulang beberapa hari kemudian dengan kesan dilapah," katanya. - AFP

Friday, August 14, 2009

Rekod dunia baling ratusan pai


COLCHESTER, England - Seramai 200 orang penduduk sebuah bandar kecil di Essex mencipta rekod dunia apabila berjaya membaling ratusan keping pai ke udara, lapor sebuah akhbar semalam.
Acara yang diadakan kelmarin itu mengambil masa beberapa minit melibatkan 648 keping pai.
Rekod terdahulu melibatkan 120 orang yang dilakukan di Los Angeles, California pada 2008.
Naib Presiden Pengurusan Rekod Dunia Guinness, Marco Frigatti berkata: "Rekod terbaru ini perlu mengikut peraturan rasmi. Saya perlu mengukur pai, jumlah pai dan bilangan peserta."
Semua peserta yang terlibat kelihatan gembira semasa mengambil bahagian dalam acara balingan pai itu.
"Saya gembira dengan rekod itu dan ada peserta yang secara tidak sengaja telah membaling pai ke arah muka saya," kata Frigatti. - Agensi

Thursday, August 13, 2009

Ikan duyung ada di Israel?


TEL AVIV - Sebuah pihak berkuasa tempatan dekat Haifa akan memberikan ganjaran AS$1 juta (RM3.54 juta) kepada orang ramai yang berjaya merakamkan gambar atau menangkap ikan duyung yang didakwa terdapat di laut bandar Kirvat Yam, Israel, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut jurucakap Majlis Perbandaran Kirvat Yam, Natti Zilberman, hadiah wang tunai itu ditawarkan kerana terdapat banyak dakwaan bahawa ramai orang terserempak dengan ikan tersebut.

"Ada yang berkata badannya separuh wanita dan separuh ikan. Ia melompat seperti ikan lumba-lumba, membuat pelbagai helah dan kemudian hilang begitu sahaja," kata Zilberman.

Kebanyakan saksi menyatakan mereka menyaksikan ikan itu semasa matahari terbenam.

Dakwaan itu menyebabkan ramai pelancong dan penduduk tempatan mengunjungi kawasan pantai dengan harapan dapat melihat makhluk tersebut.

Seorang saksi, Shlomo Cohen berkata, dia bersama lima rakannya pada mulanya terserempak dengan seorang wanita sedang berbaring di atas pasir dalam keadaan pelik.

"Kami menyangka ada wanita sedang berjemur tetapi apabila kami menghampirinya, ikan duyung itu terus melompat ke dalam air dan hilang. Kami terkejut dan tidak percaya dengan apa yang kami lihat kerana wanita itu ada ekor," katanya. - Agensi

Dipenjara enam bulan kerana menguap


JOLIET - Gara-gara menguap terlalu kuat ketika mengikuti satu perbicaraan di Mahkamah Will County di sini, seorang penduduk negeri Illinois, Amerika Syarikat berhadapan hukuman penjara enam bulan.

Ketika kejadian, Clifton Williams, 33, menghadiri perbicaraan sepupunya, Jason Mayfield yang dibicarakan atas kesalahan dadah pada 23 Julai lalu.

Tindakan William menguap menyebabkan pihak pendakwa raya mengadu kepada Hakim Daniel Rozak dengan menganggap perbuatan itu sebagai cubaan mengganggu perbicaraan.

"Bunyi dia menguap terlalu kuat, bising dan mengganggu perbicaraan," kata pendakwa.

Hakim Rozak mendapati perbuatan itu sebagai menghina mahkamah dan menjatuhi hukuman penjara tetapi beliau sedia membebaskan Williams selepas mendengar perbicaraan hari ini dan permohonan maaf. - AP

Wednesday, August 12, 2009

Polis Australia bingung siasat kes curi timun


ADELAIDE - Polis Australia bingung dan keliru memikirkan motif rompakan sejumlah timun berharga lebih AS$90,700 (RM320,523) dalam 11 kejadian berasingan di sini sejak tiga bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis memberitahu, perompak-perompak menjadikan beberapa buah kebun di utara Adelaide sebagai sasaran mereka. Kejadian terbaru melibatkan 50 beg timun yang dicuri dari sebuah rumah kaca di sini pada hujung minggu lalu.

"Masalah dalam kes ini adalah semua timun kelihatan serupa dan sukar bagi kami menentukan pemilik timun yang sebenar. Kami juga masih menyiasat ke mana timun-timun itu dibawa," kata Ketua Inspektor, Kym Zander dalam satu wawancara radio semalam. - Agensi

Saturday, August 8, 2009

Kecoh lelaki bogel di lebuh raya


KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Lapangan terbang Sungai Besi di sini semalam agak kecoh apabila seorang lelaki kurang siuman cuba melintas jalan raya dalam keadaan bogel.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu menjadi bertambah cemas apabila lelaki tersebut tiba-tiba dilanggar sebuah kereta menyebabkan dia cedera dan terbaring di tengah-tengah lebuh raya.

Berikutan itu, laluan menghala ke Kuala Lumpur menjadi sesak apabila pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing bagi mengelak daripada melanggar lelaki tersebut.

Bagaimanapun sejurus kemudian, seorang orang awam yang prihatin melihat kejadian berusaha membantu lelaki terbabit dengan bertindak menahan kenderaan yang bertali arus.

Lelaki itu yang tidak boleh berjalan berikutan kecederaan selepas itu mengesot perlahan-lahan melintas jalan sebelum dibawa ke hospital oleh unit peronda lebuh raya. (kosmo online)

Friday, August 7, 2009

Jutaan ladybird landa Norfolk



NORFOLK - Britain berdepan serangan kumbang Ladybirdterburuk sejak 1976 apabila puluhan juta serangga itu membiak dengan cepat dengan memakan kutu daun yang menjadi makanan kegemarannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumbang itu dipercayai berhijrah dari Benua Eropah kerana bekalan makanan di rantau berkenaan semakin berkurangan sepanjang musim panas tahun ini.

Orang ramai bertindak menutup tingkap dan pintu rumah bagi mengelakkan kumbang itu memasuki rumah mereka. Sebuah kereta Volkswagen Beetle milik seorang wanita turut dikerumuni kumbang tersebut.

Pakar-pakar percaya serangan itu akan berlarutan selama beberapa hari sehingga kutu daun mula berkurangan. - Agensi


Kenderaan tenggelam dalam lumpur


TAUNTON - Seorang pemilik kenderaan utiliti sukan Honda, David Foster berputih mata apabila kenderaannya perlahan-lahan tenggelam di kawasan pantai berlumpur dekat sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika kejadian baru-baru ini, Foster memandu kenderaan yang berusia 15 tahun itu ke pantai berkenaan untuk mencari kawasan memancing.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila kenderaan itu tersekat dalam lumpur sejurus sebelum air pasang.

"Tiada apa yang dapat kami lakukan. Kami terpaksa menunggu sehingga air surut kembali dan menunda kenderaan itu," kata warden pantai tersebut, Pete Williams. - Agensi


Thursday, August 6, 2009

Tradisi campak kanak-kanak



KAMPUNG HARANGAL, India - Beberapa kanak-kanak yang berumur dua tahun di sini dicampakkan dari bumbung sebuah bangunan setinggi 15 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Kanak-kanak itu akan disambut oleh orang ramai dengan menggunakan kain cadar selepas dia dicampakkan dari bumbung tersebut.

Jeritan kanak-kanak itu boleh didengari semasa dia jatuh selepas dicampak oleh seseorang di atas bumbung.

Amalan tradisi itu diamalkan sejak 700 tahun lalu oleh penduduk di kampung tersebut dengan kepercayaan ia mampu membawa kesihatan yang baik dan kemakmuran dalam keluarga.

Beberapa pegawai kerajaan menyatakan tidak ada kecederaan dilaporkan berhubung amalan itu.

- Agensi

Perut hamil seksi ?


Trend wanita rakam perut hamil

SEORANG jurufoto merakamkan gambar seorang ibu yang hamil dalam keadaan bogel di sebuah studio di Tokyo.TOKYO - Semakin ramai wanita Jepun suka merakamkan gambar perut mereka yang sedang hamil tanpa seurat benang, lapor sebuah akhbar semalam.

Trend itu berlaku selepas tersiarnya gambar bintang pop tempatan, Hitomo berbogel ketika hamil bagi mempromosi album terbarunya.

Sejak itu, semakin ramai ibu yang hanya mahu seorang anak mengunjungi studio-studio foto bagi merakamkan gambar perut mereka bagi meraikan pengalaman berharga tersebut.

"Saya amat gembira ketika mengandung. Gambar ini merakamkan kenangan indah yang tidak akan muncul kembali," kata seorang ibu, Kumiko Yoda yang melahirkan seorang anak lelaki pada 19 Julai lepas ketika berusia 40 tahun.

- Reuters