WAK PUNYA GENG

Saturday, April 9, 2011

Batu nisan 20 kubur lama 'hidup'


Mohd. Zin menunjukkan antara batu nisan yang 'hidup' di Kampung Batu Melintang, Gua Musang, Kelantan semalam.


GUA MUSANG – Penduduk Kampung Batu Melintang dekat sini terkejut kerana batu-batu nisan di sebuah kubur lama di kampung itu didakwa hidup apabila saiznya semakin membesar dan meninggi.

Kubur tersebut yang dikatakan wujud sejak 200 tahun lalu, menyemadikan penduduk tempatan pada zaman dahulu.

Kini ia sudah tidak digunakan lagi setelah perkuburan baharu disediakan di Kampung Kuala Sungai tiga tahun lalu.

Sejak penggunaan tanah perkuburan beralih ke kubur baharu, kubur lama yang menempatkan hampir 150 jenazah penduduk beragama Islam itu kini terbiar dan dipenuhi pokok-pokok hutan.

Sebelum ini, menurut penduduk, batu- batu nisan itu memang telah dilihat membesar, namun tidak pernah dilapor- kan media.

Tinjauan Kosmo! Ahad ke lokasi tersebut mendapati, sebanyak 20 buah kubur lama yang batu nisannya menjadi tinggi, manakala kawasannya dipenuhi dengan semak-samun.

Batu-batu nisan di kawasan perkuburan itu memang besar dan tinggi sehingga ada yang hampir menyamai tinggi orang dewasa.

Wednesday, March 16, 2011

Pemilik upah lelaki rosakkan Lamborghini miliknya


BEBERAPA orang yang diupah merosakkan kereta Lamborghini Gallardo di Qingdao, wilayah Shandong, China.


BEIJING - Seorang ahli perniagaan China mengupah sekumpulan lelaki dari Shandong untuk merosakkan kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang berharga AS$804,301 (RM2.45 juta) dengan menggunakan tukul di Qingdao kelmarin.

Tindakan itu dibuat selepas beliau sangat kecewa dengan perkhidmatan servis pengedar kereta terbabit yang gagal menyelesaikan pelbagai kerosakan yang dialami Lamborghini miliknya.

Ahli perniagaan itu turut mendapati terdapat kerosakan yang dilakukan seseorang ke atas kereta miliknya di bahagian depan dan kerangka kereta sport itu semasa ia sedang dibaiki.

Orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki merosakkan kereta mewah itu yang sering rosak sejak dihantar kepada tuannya pada Oktober tahun lalu.

Selepas bertengkar dengan pengedar dan beberapa orang wakil kanan pengedar kereta Lamborghini, ahli perniagaan tersebut mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk melindungi haknya ialah dengan merosakkan kereta itu pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. - Agensi

Monday, March 7, 2011

Kura-kura dua kepala dipamer


BENTUK belakang seekor kura-kura yang mempunyai dua kepala yang dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.


ZILINA, Slovakia - Seekor kura-kura kecil daripada spesies Geochelone sulcata yang mempunyai dua kepala dan lima kaki dipamerkan di Zilina, Slovakia semalam.

Kura-kura yang berusia tujuh minggu itu dilahirkan di Slovakia dan diberi dua nama, Magda untuk kepala kiri dan Lenka untuk kepala kanan. - Reuters

Monday, February 21, 2011

Ikan buaya paling berat di dunia ditangkap


DUA orang ahli biologi Jabatan Perikanan, Hidupan Liar dan Taman Mississippi mengukur ikan buaya yang ditangkap Kenny Williams di Tasik Chotard, Amerika Syarikat pada 14 Februari lalu.


TASIK CHOTARD, Amerika Syarikat - Seekor ikan buaya paling berat di dunia berjaya ditangkap oleh seorang pemancing, Kenny Williams di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Berat ikan itu ialah 148.32 kilogram (kg), panjang 2.59 meter dan dianggarkan berusia di antara 50 hingga 70 tahun.

Sebelum ini seekor ikan buaya berjaya ditangkap di Rio Grande, Texas pada 1951 dengan berat 126.55kg.

Menurut Williams, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa ikan yang ditangkapnya pada 14 Februari lalu itu cukup besar.

Lelaki tersebut berkata, selepas dia menaikkan tangkapannya di atas bot, dia berasa terkejut melihat ikan buaya itu yang terlalu besar.

Williams membuat keputusan untuk menyerahkan ikan itu kepada Muzium Sains Semula Jadi Mississippi di Jackson untuk dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi