WAK PUNYA GENG

Wednesday, June 30, 2010

Lelaki 90 tahun rogol empat beradik


KARL JOSEPH KRAUS (tengah) diiringi oleh beberapa anggota polis selepas ditangkap di Chiang Mai kelmarin.


BANGKOK - Seorang lelaki Australia berumur 90 tahun, Karl Joseph Kraus ditangkap dan didakwa merogol empat beradik perempuan di bawah umur di utara Thailand dengan menggunakan coklat import dan belajar bahasa Inggeris di rumahnya sebagai umpan untuk memerangkap mereka, kata polis semalam.

Dia ditangkap kelmarin di rumahnya dekat bandar Chiang Mai.

Menurut Ketua Polis Doi Saket, Kritapol Yeesakorn, polis turut merampas kira-kira 100 gambar bogel kanak-kanak.

Dia berkata, beberapa gambar menunjukkan Kraus bergambar bogel dengan sejumlah kanak-kanak dan polis kini sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti kanak-kanak berkenaan.

Ketua polis itu berkata, Kraus yang tinggal di Thailand lebih sedekad lalu memujuk keluarga budak perempuan itu pada 2008 dengan menawarkan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Dia (Kraus) akan mengumpan budak perempuan itu ke rumahnya dengan gula-gula, terutamanya coklat dari luar negara yang mahal dan meminta mereka melakukan perlakuan seks dengannya," kata Kritapol.

Menurutnya, baru-baru ini, Kraus memberi wang kepada kakak sulung empat beradik itu sebanyak 4,000 baht (RM400) bagi menggantikan gula-gula.

Ibu bapa empat beradik itu mengetahui perbuatan terkutuk tersebut selepas mendapati anak-anak mereka tidak berminat untuk keluar bermain di luar rumah.

Selepas ditanya, empat anak mereka itu yang berumur tujuh, 11 dan 12 tahun memberitahu perbuatan buruk Kraus menyebabkan satu aduan polis dibuat. - Agensi


Monday, June 21, 2010

Bekas jurutera cipta basikal gergasi


WOUTER VAN DE BOSCH mengayuh basikal ciptaannya di Arnhem, Belanda baru-baru ini.


ARNHEM - Seorang pelajar jurusan seni di Belanda, Wouter van den Bosch mencipta sebuah basikal gergasi seberat 450 kilogram dengan menggunakan peralatan yang didermakan oleh rakan-rakannya selain sebuah syarikat traktor, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki berusia 39 tahun dari sini yang juga seorang bekas jurutera mekanikal menjadi sensasi di laman YouTube selepas klip video dia mengayuh basikalnya ditonton lebih 600,000 kali dalam tempoh dua minggu.

Dia mengambil masa tiga bulan untuk menjadikan basikal raksaksa itu bergerak di atas jalan raya dengan menggunakan besi, beberapa tiub, rangka basikal dan sebuah tayar traktor.

Bosch yang memiliki hobi melakukan pengubahsuaian ekstrem pada kenderaan sejak beberapa tahun lalu, mencipta basikal tersebut sebagai projek seni pada tahun akhir pengajiannya.- Agensi


Wednesday, June 16, 2010

Sultan Brunei ceraikan Azrinaz talak satu


GAMBAR fail menunjukkan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kiri) dengan isteri pertamanya, Raja isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (kiri) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2006.


BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan perceraian dengan isterinya dari Malaysia, Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas wartawan penyiaran stesen televisyen TV3 malam semalam di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah, 63, yang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia berkahwin dengan Azrinaz pada 2005.

Azrinaz yang berumur 30 tahun melahirkan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Berita mengenai perceraian itu diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menerusi pengumuman khas di stesen televisyen Radio Televisyen Brunei pada pukul 8 malam.

Beliau membacakan kata-kata pujian kepada Allah sebelum mengumumkan mengenai berita perceraian itu.

Semasa membuat pengumuman tersebut, beliau lengkap berkot dan bersongkok dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu dengan tenang.

"Maka pada petang Rabu tiga haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 Masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar," katanya.

Beliau turut mengumumkan semua gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah telah ditarik balik mulai tarikh perceraian.

Pada pengumuman khas itu, beliau menyatakan perceraian itu dilakukan atas sebab-sebab khas tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa perceraian itu dibuat dengan dipandu dan ditentukan dengan hukum syarak dan menepati ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah dari sebahagian ayat 229 iaitu menikahi dengan baik dan melepaskan juga dengan baik.

Pengumuman itu dibuat selepas tersebarnya khabar angin mengenai perpisahan mereka di Bandar Seri Bagawan.

Menurut agensi berita AP, ia merupakan perceraian yang kedua buat Sultan Hassanal Bolkiah yang mempunyai anggaran kekayaan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM65.25 bilion).

Baginda bercerai buat pertama kali dengan seorang bekas pramugari, Mariam Abdul Aziz yang mempunyai darah keturunan Brunei, Jepun dan Scotland pada Februari 2003 selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, Sultan Hassanal Bolkiah mengekalkan perkahwinan dengan isteri pertama, Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha yang dikahwininya pada 1967.

Putera sulung baginda, Putera Al-Muhtadee Billah Bolkiah kini merupakan Putera Mahkota dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan.

Sultan Hassanal Bolkiah mula memerintah pada 5 Oktober 1967 selepas ayahanda baginda turun takhta.

Kekayaan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi legenda di kalangan golongan kaya.

Semasa bermain polo dengan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera Charles, kasut baginda untuk bermain polo telah dihantar dengan menggunakan helikopter. - Agensi


Tuesday, June 8, 2010

Telur ayam gergasi di Georgia


GAMBAR menunjukkan ayam betina yang bertelurkan telur ayam gergasi (kanan) di Zestafoni, Georgia.


TBILISI, Georgia - Seekor ayam betina milik seorang penternak haiwan, Murman Modebadze di bandar Zestafoni, 200 kilometer dari sini, bertelurkan sebiji telur gergasi baru-baru ini.

Telur gergasi itu sepanjang 82 milimeter (mm), 62mm lebar dan berat 170 gram.

Keluarga penternak itu telah membuat permohonan untuk memasukkan telur gergasi itu dalam buku rekod Guinness. - AFP


Tuesday, June 1, 2010

Kedai seks untuk suami isteri


KHADIJA ahmed berbual dengan seorang pelanggannya di kedai seks miliknya di Isa, utara Manama pada 19 Mei lalu.


MANAMA - Seorang wanita berpurdah, Khadija Ahmed, 32, membuka sebuah kedai barangan seks yang pertama di Bahrain khas untuk pasangan suami isteri.

Wanita itu berkata, dia tidak menganggap satu kesalahan untuk menjual produk seks seperti pelincir dan beraneka alat permainan seks termasuk vibrator kerana menurutnya, Islam tidak mengharamkan kenikmatan di bilik tidur.

"Ia bukan kedai seks seperti yang terdapat di Barat," kata wanita itu.

"Kedai ini bertujuan untuk membantu pasangan yang telah berkahwin dan hanya pasangan suami isteri dapat menikmati seks dengan sepenuhnya," tambahnya.

Kedai tersebut yang bernama Dar Khadija, dilancarkan secara dalam talian pada 2007 tetapi Khadija memutuskan untuk membuka perniagaan itu ekoran sambutan menggalakkan daripada pelanggan. - AFP