WAK PUNYA GENG

Thursday, April 29, 2010

Tak makan, minum selama 70 tahun


PRAHLAD JANI


NEW DELHI - Sekumpulan doktor yang berkhidmat dengan tentera India kini melakukan kajian terhadap seorang lelaki, Prahlad Jani selepas dia mendakwa tidak pernah makan dan minum selama 70 tahun.

Jani, 83, dikaji oleh 30 doktor yang bermula pada 22 April lalu. Kajian itu bakal mengambil masa selama 15 hingga 20 hari di sebuah hospital di bandar Ahmedabad, Gujerat selama 24 jam sehari.

"Pemerhatian daripada kajian itu akan memberi harapan terhadap kehidupan tanpa makanan dan minuman," kata Pengarah Institut Pertahanan Fisiologi dan Sains Sokongan, Dr. G. Ilavazahagan.

Doktor-doktor itu percaya dia memiliki kualiti yang dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Setakat ini, dia tidak makan, minum atau membuang air selama enam hari tetapi beberapa doktor menyatakan, kesihatan Jani tidak terjejas akibat kekurangan zat.

Jani mendakwa dia meninggalkan rumah semasa berusia tujuh tahun sebelum mengabadikan dirinya pada Tuhan di negeri Rajasthan.

Lelaki misteri itu mendakwa dia diberi makan oleh seorang dewi yang memasukkan sejenis pati ke dalam lubang di lelangitnya.

Pasukan doktor itu menjangkakan lelaki itu akan mengalami masalah kekurangan air, penurunan berat badan, keletihan dan kegagalan fungsi beberapa organ dalam tempoh kajian. - Agensi

Sunday, April 25, 2010

Taikun India paling kaya di Britain




LONDON - Aset kelompok individu terkaya Britain melonjak 30 peratus tahun ini ketika kebanyakan penduduk negara berkenaan masih bergelut untuk pulih daripada pada kemelesetan ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Taikun besi kelahiran India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal sebagai orang terkaya Britain dengan aset £22.45 bilion (RM110.24 bilion) meningkat lebih dua kali ganda berbanding anggaran tahun lalu.

Tempat kedua kekal milik bilionair Rusia yang memiliki kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich dengan kekayaan mencecah £7.4 bilion (RM36.33 bilion) meningkat £400 juta (RM1.96 bilion) berbanding tahun lalu.

Senarai Terkaya 2010 yang dikeluarkan oleh akhbar Sunday Times itu menyatakan, peningkatan kekayaan individu terkaya di Britain kali ini adalah yang tertinggi sejak senarai itu mula disiarkan 21 tahun lalu.

Tempat ketiga diduduki oleh Duke of Westminster dengan kekayaan £6.75 bilion (RM33.14 bilion).

Dua bersaudara, Ernesto dan Kirsty Bertarelli yang terlibat dalam perniagaan farmasi berada di tempat keempat dengan kekayaan £5.95 bilion (RM)29.21 bilion).

Taikun hartanah dan Internet, David dan Simon Reuben menduduki tempat kelima dengan kekayaan £5.53 bilion (RM27.15 bilion).

Tempat keenam diduduki oleh pemilik bersama kelab bola sepak Arsenal, Alisher Usmanov dengan kekayaan £4.7 bilion (RM23 bilion).

Peningkatan kekayaan itu dipacu akibat pemulihan pasaran saham dunia dan peningkatan harga hartanah selepas krisis ekonomi global tahun lalu.

Sejak 12 bulan lalu, sebanyak 10 lagi individu berjaya bergelar bilionair sekali gus menjadikan jumlah mereka di Britain kini 53 orang.

Dalam senarai itu, terdapat 10 jutawan muda di Britain yang berumur 30 tahun ke bawah.

Antara jutawan muda itu ialah pelakon filem Harry Potter, Daniel Radcliffe dengan kekayaan £42 juta (RM206.24 juta).

Pelakon filem terkenal wanita dari Britain yang pernah membintangi filem Pirates of the Carribbean, Kiera Knightley turut disenaraikan dengan kekayaan sebanyak £28 juta (RM137.49 juta).

Aktres yang membintangi filem Harry Potter, Emma Watson turut disenaraikan dengan kekayaannya ialah £22 juta (RM106 juta) termasuk kekayaan keluarganya.

- Agensi

Saturday, April 24, 2010

Guna meriam tembak pewangi atasi bau busuk


TIGA pekerja pusat pelupusan di Beijing sibuk mengangkut sampah.


BEIJING - Sebuah pusat pelupusan sampah di sini akan memasang lebih 100 laras meriam untuk menembak pewangi bagi menangani bau busuk sampah yang menyelubungi ibu kota China itu ekoran cuaca panas.

Ketua seksyen daerah, Zhang Quanhong berkata, meriam dicipta sendiri petugas pusat itu susulan pihak berkuasa Beijing memohon maaf kepada jutaan penduduk yang terpaksa menghidu bau tengik sampah dari situ.

Meriam tersebut berfungsi seumpama penyembur pewangi jarak jauh dengan melepaskan cecair yang diperbuat daripada ekstrak tumbuhan serta akan menutup bau busuk di 13 buah pusat pelupusan di sekitar Beijing, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Dianggarkan 17.5 juta warga Beijing menghasilkan 18,400 tan sampah sehari, menyebabkan bau busuk dan ramai mengadu tidak dapat tidur waktu malam. - Agensi

Thursday, April 15, 2010

Lintah bergigi dalam hidung budak 9 tahun


GAMBAR yang diperbesarkan menunjukkan gigi lintah yang hidup dalam hidung seorang budak perempuan.


LIMA - Seorang doktor Peru, Renzo Arauco-Brown menemui spesies baru lintah kecil dengan memiliki gigi tajam yang dijumpai menyorok di dalam hidung seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang bertugas di Universiti Peru Cayetano Heredia di sini menjumpai lintah itu semasa merawat kanak-kanak tersebut di sebuah klinik di wilayah Chanchamayo yang mengadu sakit kepala setelah mandi di sebuah tasik Amazon.

Lintah sepanjang 44.5 milimeter itu kemudian disahkan sebagai spesies baru oleh seorang kurator Muzium Semula Jadi Amerika Syarikat di New York, Mark Siddall semasa ia dibawa dari Peru ke negara tersebut untuk tujuan penyelidikan saintifik.

Ia kemudian dinamakan sebagai Tyrannobdella rex atau diringkaskan sebagai T-rex yang bererti raja lintah kejam kerana memiliki gigi tajam selebar 0.13 milimeter iaitu lebih lebar daripada ketebalan sehelai rambut manusia normal. - Agensi

Thursday, April 8, 2010

Nenek enggan tanduk dipotong



GAMBAR menunjukkan tanduk di dahi kiri Ruifang.


BEIJING - Seorang wanita China berusia 101 tahun, Zhang Ruifang enggan membuang tanduk yang tumbuh di dahi kirinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang menetap di Linlou, wilayah Henan, mula menyedari mempunyai tanduk pertama pada tahun lalu yang kini sepanjang enam sentimeter.

Beberapa doktor tempatan pula mengesahkan satu lagi tanduk di dahi kanannya akan muncul.

"Ada juga doktor yang mendakwa mereka boleh memotong tanduk itu secara percuma namun saya enggan berbuat demikian kerana yakin akan ada satu lagi tanduk baru akan tumbuh," kata Ruifang.

Wanita itu juga menolak tawaran bagi membuang kedua-dua tanduk kerana dia kini mula berasa gembira apabila dikunjungi ramai orang yang datang melawat ke rumahnya dengan membawa bersama makanan, hadiah dan mahu bergambar dengannya.

- Agensi

Biawak gergasi baru ditemui


GAMBAR menunjukkan cicak gergasi yang ditemui di satu lokasi hutan di Pulau Luzon, Filipina.


PARIS - Para saintis biologi di sini semalam melaporkan penemuan satu spesies biawak gergasi di kawasan hutan utara Pulau Luzon, Filipina baru-baru ini.

Penemuan mengejutkan haiwan liar berukuran dua meter panjang itu disiarkan menerusi jurnal saintifik Biology Letters terbitan Royal Society di Britain.

Cicak itu ditemui di sebatang sungai berlembah di Filipina.

Haiwan itu cuma makan buah-buahan hutan. Cicak jantan itu mempunyai dua zakar.

Salah satu sebab kenapa cicak itu tidak dapat dikesan ialah kerana ia tidak pernah meninggalkan kawasan hutan yang menjadi tempat tinggalnya. - Agensi

Friday, April 2, 2010

Makhluk aneh ditemui


GAMBAR menunjukkan makhluk aneh yang ditemui di Teluk Mexico baru-baru ini.


NEW YORK - Sejenis makhluk aneh yang diberi jolokan pijat-pijat gergasi ditemui di Teluk Mexico, lapor sebuah akhbar semalam.

Panjang makhluk itu ialah 76.2 sentimeter dan ia ditemui di sebuah lokasi pada kedalaman 2,590 meter di Teluk Mexico dekat Amerika Syarikat (AS).

Makhluk itu ditemui sedang melekat pada badan kapal selam yang dihantar ke dalam laut dari sebuah pelantar minyak di Teluk Mexico baru-baru ini.

Seorang pakar evolusi dari Pusat Evolusi Sintesis Carolina Utara, Profesor Craig McClain berkata: "Beberapa makhluk sepertinya bersaiz lebih besar lagi." - Agensi

Thursday, April 1, 2010

Gempar kelakuan budak 4 tahun


GAMBAR yang disiarkan di laman web Detiksurabaya.com menunjukkan Sandy menghisap rokok.


JAKARTA - Rakyat Indonesia digemparkan dengan satu klip video di laman web YouTube yang menunjukkan seorang budak kecil merokok sambil bercakap lucah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Video selama tiga minit yang dipercayai dirakamkan di kediaman kanak-kanak itu di Jl Nusakambangan No 19 C, Malang, Jawa Timur, dimuat naik pada Ahad lepas dan ditonton sebanyak 1,200 kali sebelum ditarik balik tiga hari kemudian kerana melanggar syarat penggunaan YouTube.

Laman itu menunjukkan seorang budak lelaki berusia sekitar empat tahun dikenali sebagai Sandy W, menghisap sebatang rokok dan menghembus asap berbentuk cincin sambil menjawab soalan daripada beberapa orang dewasa.

Sandy berkata, dia mahu menjadi seorang pencuri apabila dewasa dan wang yang diperoleh akan digunakan untuk melanggan pelacur di Dolly, sebuah rumah pelacuran popular di Surabaya.

Bapanya, Mulud, 50, menyatakan Sandy mula merokok sejak berusia satu setengah tahun dan budak itu tidak mengendahkan laranganya supaya berhenti merokok.

Sementara itu, kumpulan aktivis hak kanak-kanak mahu polis melakukan siasatan supaya mereka yang bertanggungjawab mengajar perilaku negatif kepada budak itu dihadapkan ke muka pengadilan. - Agensi

Jadi jutawan kutip tin kosong



CURT DEGERMAN


SKELLEFTEA, Sweden - Seorang lelaki berumur 60 tahun di sini memiliki kekayaan rahsia lebih AS$1.6 juta (RM5.21 juta) menerusi pelaburan di pasaran saham dengan cuma bermodalkan wang yang diperoleh daripada mengutip dan menjual tin kosong, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Curt Degerman yang digelar Kurt Tin Kosong, meninggal dunia 18 bulan lalu manakala saudara-maranya bertengkar berhubung siapa sepatutnya mewarisi kekayaannya.

Sejak 40 tahun lalu, Degerman dipandang rendah oleh masyarakat kerana menyara hidupnya dengan menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari tin kosong dan menjualnya di sebuah loji kitar semula.

Bagaimanapun, setelah dia meninggal dunia semasa berusia 60 tahun akibat serangan jantung, saudara-maranya mendapati dia memiliki wang AS$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank Switzerland.

Mendiang turut menyimpan jongkong emas bernilai kira-kira AS$378,000 (RM1.2 juta) selain wang AS$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Di sebalik penampilannya yang selekeh, Degerman sebenarnya seorang pelabur aktif dalam pasaran saham antarabangsa.

Selain memakan sisa makanan daripada tong sampah dan memakai sehelai kot kotor, dia akan meluangkan masa di perpustakaan awam pada setiap hari untuk mengkaji berita kewangan di akhbar.

"Dia pergi ke perpustakaan setiap hari kerana tidak membeli akhbar. Di perpustakaan itu, dia membaca akhbar kewangan Dagens Industri," kata seorang sepupunya.

"Dia amat arif tentang pasaran saham," tambahnya.

Jutawan itu disifatkan saudara-maranya sebagai seorang kanak-kanak genius yang berhenti sekolah kerana krisis peribadi.

Kekayaan lelaki itu akhirnya dikongsi oleh dua sepupunya dalam satu penyelesaian di luar mahkamah. - Agensi