WAK PUNYA GENG

Wednesday, December 30, 2009

TUNTUTLAH ILMU.....

"Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad"

Datuk 88 tahun belajar sekolah rendah


ABU BAKAR bergambar bersama rakan-rakan sekelasnya di Kano.


KANO, Nigeria - Seorang datuk berumur 88 tahun, Abubakar Muhammad Barinjimi di sini masih belajar di sebuah sekolah rendah swasta dengan cita-cita untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam tempoh 25 tahun.

Datuk kepada 60 orang cucu itu menaiki bas sekolah sejauh enam kilometer ke sekolah itu di sini untuk belajar bersama rakan-rakan sekelasnya yang berumur tujuh tahun.

Dua cucunya turut belajar di sekolah itu.

"Saya tekad memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang teologi sebelum meninggalkan dunia," kata Abubakar.

Digelar Baba yang bermaksud bapa oleh penduduk setempat, dia memasuki sekolah rendah itu tahun lalu bagi mempelajari bacaan al-Quran dengan betul sebagai prasyarat untuk menjadi pakar teologi.

Setelah memperoleh ijazah kelak, Abubakar bercita-cita untuk berdakwah mengenai Islam kepada orang bukan Islam yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Salah seorang anaknya, Sani Barinjimi berumur 42 tahun yang bertugas sebagai guru sebuah kolej berkata, dia dan saudaranya yang lain terkejut apabila bapanya mahu belajar.

Menurutnya, pihak keluarga memberikan bantuan kewangan dan sokongan kepada bapanya itu.

Jika masih hidup dan berjaya dalam peperiksaan, dia akan mendapat ijazah kedoktoran semasa berumur 120 tahun. - AFP

Tuesday, December 29, 2009

MANUSIA TIDAK MAMPU 'MENCIPTA'

Manusia boleh menghasilkan sesuatu daripada sumber yang telah diCIPTA oleh Allah SWT yang Maha Pencipta. Manusia tidak mampu mencipta daripada 'tiada' kepada 'ada'.

Jepun cipta ikan emas lutsinar


GAMBAR bertarikh 7 Disember lalu menunjukkan ikan emas lutsinar yang dihasilkan penyelidik Jepun.


TOKYO - Para penyelidik Jepun berjaya menghasilkan ikan emas lutsinar yang membolehkan orang ramai melihat hati haiwan itu.

"Anda boleh melihat hati dan organ-organ lain secara langsung kerana sisik dan kulit ikan ini tiada pigmen," kata Profesor Madya Yutaka Tamaru dari Jabatan Sains Hidupan, Universiti Mie.

"Anda tidak perlu membedah ikan itu (untuk melihat isinya). Anda boleh melihat otak kecil di atas mata ikan tersebut," jelasnya.

Sekumpulan penyelidik Universiti Mie dan Universiti Nagoya di tengah Jepun melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan ikan itu.

Ikan itu dijangka mampu hidup sehingga 20 tahun dan membesar sepanjang 25 sentimeter dengan berat lebih dua kilogram.

Ia dihasilkan dengan memilih ikan emas mutan yang mempunyai kulit pucat dan membiaknya bersama-sama. - AFP

Monday, December 28, 2009

OTAK BURUNG GANTI TEMBAKAU

Penjudi2 ni mempunyai macam2 idea pelik...

Rokok hering dapat mimpi nombor ekor


SEEKOR burung hering dipamerkan di depan kedai ubat-ubatan tradisonal di pasar Farady, Johannesburg pada 10 Disember lalu.



JOHANNESBURG - Menghisap rokok yang diperbuat daripada otak burung hering yang dikeringkan akan membolehkan penghisapnya mendapat gambaran nombor ekor yang menang dalam permainan lotto di Afrika Selatan.

Perkhidmatan itu disediakan oleh seorang penjual ubat-ubatan tradisional di pinggir bandar Johhanesburg yang dikenali sebagai Scelo.

"Setiap orang bertanya mengenai otak itu. Bagi peminat nombor ekor, anda akan 'bermimpi' memperolehi nombornya," kata penjual ubat tersebut.

Menurut kepercayaan di kalangan penduduk, otak kering itu digulung dan dijadikan rokok.

Ia boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi peperiksaan dan kuda serta menarik lebih ramai pelanggan perniagaan.

Scelo menjual sebuah botol kecil yang mengandungi otak kering burung hering itu dengan harga AS$6.50 (RM22.29).

Menurut seorang pengamal perubatan tradisional, otak burung itu dikeringkan dan dicampur dengan lumpur dan dihisap seperti rokok.

Seorang lelaki, Mthembeni berkata, dia membeli campuran otak dan paruh burung itu untuk diberikan kepada anjing-anjingnya.

"Saya meletakkannya pada hidung anjing itu. Haiwan itu mampu mengesan sebarang bau ganjil beberapa kilometer jauhnya," kata pemuda tersebut. - AFP

MENEGAKKAN SYARIAT

Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah tuntutan Syariat Islam.

Polis tahan gadis pakai seluar ketat


SEORANG anggota polis pencegah maksiat (kanan) memberi nasihat kepada beberapa wanita (dua dari kiri) kerana memakai pakaian ketat di Banda Aceh pada Disember lalu.


BANDA ACEH - Seorang gadis yang hanya dikenali sebagai Yuli berjanji akan memakai pakaian bercirikan keislaman selepas dia ditahan oleh polis pencegah maksiat di sini baru-baru ini.

"Saya berjanji akan membeli pakaian yang lebih bercirikan keislaman," katanya yang ditahan ketika sedang menunggang motosikal.

Dia menunjukkan reaksi kesal semasa ditahan oleh seorang anggota polis lelaki.

Semasa ditahan, dia memakai seluar jean ketat dan blaus yang dianggap tidak mencerminkan pakaian Muslim.


SEORANG wanita yang menunggang motosikal ditahan kerana memakai seluar ketat di Banda Aceh pada Disember lalu.


Pasukan polis itu mempunyai 1,500 anggota termasuk 60 wanita.

Dalam operasi yang dilakukan polis itu, sebanyak 18 wanita ditahan kerana memakai pakaian terlalu ketat dan baju yang menunjukkan bentuk tubuh badan mereka.

Seramai tiga lelaki ditahan kerana memakai seluar pendek.

"Kita perlu menghormati undang-undang syariah yang telah diguna pakai oleh pemerintah wilayah dengan menetapkan wanita cuma boleh menunjukkan wajah dan tangan mereka," kata ketua polis maksiat itu, Hali Marzuki. - AFP

Sunday, December 27, 2009

'RINDU' KEHIDUPAN BIASA


Ratu Britain jadi rakyatbiasa?


‘RATU Elizabeth II’ keluar dari sebuah pasar raya selepas membeli-belah.


WARGA London minggu lalu gempar apabila melihat Ratu Elizabeth II ‘mencemar duli’ dengan pergi membeli-belah dan menaiki kereta api bersempena cuti perayaan Krismas.

Baginda dilihat menghabiskan masa membeli pelbagai barangan harian di sebuah pasar raya besar di Sandringham dengan membawa dua ekor anjing peliharaannya.

Tanpa pengawal peribadi dan tahap keselamatan yang ketat, ratu itu turut dilihat mengeluarkan wang tunai di sebuah mesin teler automatik dan makan tengah hari di sebuah restoran.

Namun, apa yang disaksikan itu hanyalah rakaman oleh seorang jurugambar ternama, Alison Jackson yang popular dengan foto-foto selebriti wajah seiras termasuk kenamaan terkenal.

Kehadiran ‘Ratu England’ itu di khalayak ramai termasuk ketika menaiki sebuah komuter awam ke Norfolk baru-baru ini memberi gambaran bagaimana kehidupan harian baginda jika diberi peluang menjadi rakyat biasa. – Agensi

Thursday, December 24, 2009

ARAK IBU MAKSIAT

Islam melarang umatnya memakan/meminum benda yang memabukkan dan 'menghilangkan' kewarasan akal. Ini kerana ia menimbulkan akibat yang buruk dan menghsilkan 'maksiat2' yang lain.

Gengster terkecil diberi amaran


WILKINSON


LANCASHIRE - Walaupun bertubuh kecil dan memiliki ketinggian sama dengan budak enam tahun, seorang lelaki, Liam Wilkinson yang berumur 19 tahun menjadi samseng yang mengancam ketenteraman jiran-jirannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Samseng terkecil di Britain itu dikenakan perintah mahkamah supaya berkelakuan baik setelah dia menakutkan penduduk setempat dengan memaki hamun mereka semasa mabuk, menyerang kediaman orang lain dan memanjat bumbung rumah.

Walaupun tinggi Wilkinson hanya 118 sentimeter, kelakuan antisosial remaja itu membangkitkan kemarahan jiran-jiran yang tidak tahan lagi dengan perangai buruknya.

"Dia adalah sampah masyarakat. Dia menyusahkan orang ramai dengan perangainya yang pemabuk dan gemar melakukan vandalisme," kata seorang penduduk setempat.

"Wilkinson akan membaling telur atau batu ke arah orang ramai setiap kali menemui mereka," tambah lelaki itu.

Pada Selasa lalu, seorang majistret di England mendengar keterangan bagaimana dia menakutkan penduduk setempat semasa mabuk sehingga polis terpaksa dipanggil untuk menangani samseng kerdil itu.

Wilkinson kini dikenakan perintah berkelakuan baik sementara menunggu kesnya disebut di mahkamah pada tahun depan.

Dia boleh dipenjara lima tahun sekiranya melanggar perintah tersebut. - Agensi

ORANG KAYA SUSAH DAPAT JODOH ?

Orang kaya pun susah nak dapat jodoh. Agaknya mereka sangat sibuk menguruskan kekayaan masing-masing, tak ada masa nak 'bercinta'...

21 bilionair lelaki China cari jodoh


BEBERAPA wanita memakai pakaian pengantin dalam parti mencari jodoh untuk bilionair di sebuah hotel di Beijing pada Ahad lalu.


BEIJING - Sebanyak 21 bilionair lelaki yang masih bujang dan 22 wanita yang belum berkahwin menghadiri parti temu jodoh paling mahal di negara itu pada Ahad lalu.

Parti itu diadakan sebuah hotel mewah di sini yang dianjurkan oleh laman cari jodoh, Golden Bachelor.

Tiket untuk menghadiri parti itu ialah AS$14,650 (RM50,360) bagi setiap seorang.

Namun, 22 wanita yang datang itu dipilih melalui beberapa cara antaranya dengan menjadi pemenang ratu cantik.

"Setiap gadis berhak untuk mencari kebahagiaan. Saya menghadiri parti ini dengan percuma," kata seorang pelajar universiti yang mahu dikenali sebagai Dai yang berumur 22 tahun.

"Saya berasa peluang ini amat berharga kerana berpeluang untuk menemui lelaki yang matangd an berjaya," katanya. - Agensi


Tuesday, December 22, 2009

'Harimau' bersihkan timbunan salji


SEORANG pembantu jurugambar memakai kostum harimau semasa dia membersihkan timbunan salji di Dataran Kemerdekaan di Kiev, Rusia semalam.


Kiev - Seorang penolong jurugambar memakai kostum harimau semasa membersihkan timbunan salji di Dataran Kemerdekaan di Kiev, Rusia semalam.

Aksi pembantu jurugambar itu menarik perhatian orang ramai yang melalui dataran tersebut.

Kostum itu dipilih kerana Tahun Baru Cina tahun depan merupakan tahun harimau.

Pembantu jurugambar yang membantu seorang pekerja majlis perbandaran membersihkan salji itu melakukan tugas tersebut untuk memanaskan badannya.

Sunday, December 20, 2009

Didapati bersalah bogel di dalam rumah sendiri

Kadang2 pelik juga 'dunia' ni, 'bogel' dijalanan/tempat awam tidak pula dikenakan apa-apa tindakan.





FAIRFAX, Virginia - Seorang lelaki, Erick Williamson (gambar) didapati bersalah oleh seorang hakim, Ian M. O'Flaherty di sebuah mahkamah di negeri Virginia pada Jumaat lalu kerana berbogel di rumahnya.

Kes itu dibicarakan selepas dua wanita menyatakan mereka melihat Williamson berbogel pada Oktober lalu walaupun dia tidak melakukan perbuatan tersebut di luar rumahnya.

"Saya menganggap bahawa dibicarakan dan kemudian didapati bersalah kerana melakukan perbuatan seperti ini (berbogel) adalah melampau. Saya berasa seperti tinggal di dalam balang ikan," kata Williamson.

Semasa memberi keterangan, lelaki itu menyatakan dia tidak berhasrat untuk mendedahkan tubuhnya dan cuma melakukan apa yang dianggap sebagai 'kebebasan peribadi' apabila berbogel beberapa jam ketika mengemas barang-barangnya.

Polis, pendakwa raya dan dua saksi berkata, Williamson berbogel kerana mahu menarik perhatian orang ramai terhadap dirinya.

Saksi pertama, Joyce Giuliani berkata, semasa memandu melintasi rumah lelaki itu, dia melihat Williamson sedang berbogel di belakang tingkap rumahnya.

Williamson yang merupakan seorang pemandu komersial dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan.

Namun, hukuman itu tidak akan dilaksanakan jika Williamson didapati tidak melakukan sebarang kesalahan lagi. Dia merancang untuk membuat rayuan berhubung hukuman itu. - AP

MASJID UNTUK DILAWATI

"Di akhir zaman, masjid dibina untuk bermegah2 dan dilawati" (Mafhum hadis)

Masjid kubah emas jadi tarikan baru


KEBANJIRAN pelancong untuk melihat keindahan Masjid Dian Al-Mahri turut menjana ekonomi wilayah Jawa Barat.


BANDUNG - Sebuah masjid di Jawa Barat, Indonesia kini bertukar menjadi antara tarikan baru pelancong di wilayah itu kerana memiliki kubah diperbuat daripada lapisan emas 24 karat.

Masjid Dian Al-Mahri atau lebih dikenali sebagai Masjid Kubah Emas terletak di Kelurahan Meruyung, Kecamatan Limo, Depok, 463 kilometer dari ibu negeri Jawa Barat, Bandung.

Pegawai perhubungan awam masjid itu, Yudiarto berkata, sejak dibuka pada 2006, masjid dibina di atas tanah seluas 100 hektar itu telah dikunjungi 70,000 orang sehari.

“Pelawat malah ada datang dari wilayah jiran termasuk Jawa Tengah, Jawa Timur sehingga luar Pulau Jawa menyebabkan banyak aktiviti perniagaan berkembang di sekitar masjid ini,” katanya.

Masjid itu dimiliki oleh keluarga seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Dian Djuriah Maimun Al Rasjid yang merupakan antara kumpulan peneroka asal wilayah Banten. – Agensi

Friday, December 18, 2009

BANDAR HILANG DAN LENYAP

Bandar dan kampung yang hilang ni tidak pelik kerana telah banyak diceritakan dalam alQuran/hadis. Bilamana sesuatu kaum menolak dakwah Rasul/Nabi mereka, maka datanglah 'bala dan kemusnahan' bagi penduduk bandar/kampung tersebut.

Dakwa temui lokasi Atlantis


GAMBAR yang disiarkan di sebuah akhbar Perancis menunjukkan satu corak
seperti bandar lama ditemui di dasar Laut Caribbean.


PARIS - Sekumpulan ahli 'arkeologi' Perancis merupakan kumpulan terbaru yang mendakwa berjaya menemui lokasi bandar purba Atlantis, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis-saintis itu yang enggan mendedahkan identiti diri mereka telah menyiarkan satu siri gambar di sebuah akhbar yang dipercayai sebagai kota Atlantis di dasar Laut Caribbean dengan tidak mendedahkan lokasi sebenarnya.

Mereka menegaskan imej itu menunjukkan tinggalan sebuah bandar selain mendakwa terdapat satu struktur dipercayai piramid.

Kumpulan tersebut kini mahu mengumpulkan dana bagi meneroka lokasi rahsia itu.

Atlantis merupakan sebuah pulau yang kaya dan pernah disebut oleh ahli falsafah Yunani, Plato tetapi ia tenggelam di dasar laut. - Agensi

Thursday, December 17, 2009

LEMBU BOLEH MEMANJAT

Jangan sangka lembu tak boleh memanjat, siap naik atas bumbung rumah lagi...

Lembu berada di atas bumbung rumah


GAMBAR menunjukkan seekor lembu berada di atas bumbung sebuah rumah di Blagdon, England.



BLAGDON, England - Seekor lembu melompat di atas bumbung sebuah rumah di sini sekali gus menyelesaikan kes beberapa bumbung rumah rosak yang disangka sebelum ini dilakukan oleh perompak, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang remaja berumur 17 tahun, William de Cothi menyatakan dia melihat lembu itu berada di atas bumbung sebuah rumah menerusi tingkapnya.

"Pada mulanya, ia merupakan satu ilusi. Namun, selepas saya melihatnya dengan teliti, lembu yang berada di atas bumbung itu memang satu realiti," katanya.

Remaja itu menyatakan dia pernah mendengar bahawa lembu boleh melompat.

Cothi turut memberitahu keluarganya supaya melihat lembu itu.

Dia turut merakamkan gambar tersebut.

Sebelum ini, pemilik rumah itu telah menghubungi polis selepas menganggap kemungkinan perompak cuba pecah masuk kerana bumbung rumahnya rosak.

Namun, seorang pegawai polis, Ray Bradley berkata: "Pada awalnya, ia direkodkan sebagai satu rompakan tetapi saya gembira kerana saya boleh membuangnya (kes itu)." - Agensi


SELAMAT TAHUN BARU 1431 HIJRAH

SAMA-SAMALAH KITA BERHIJRAH KEPADA YANG LEBIH BAIK, (INSYAALLAH) KERANA:

" CELAKALAH ORANG YANG BERADA PADA TAHAP YANG SAMA PADA HARI INI DAN ESOK" (MAFHUM HADIS)

Wednesday, December 16, 2009

MONYET MEMANG SUKA AYAM

Perkara ini tidak pelik sangat, kerana sememangnya monyet amat menyukai ayam. Kadang2 sampai mati ayam tu 'di kerjakan' oleh monyet. Cuma yang musykil kenapa ayam jadi sasaran, padahal bukan spesis 'dia' pun. Binatang lain tidak pula 'dikacau' oleh monyet.


Monyet bercinta dengan ayam betina


GAMBAR menunjukkan seekor monyet memeluk ayam betina di Desa Pasirian, Jawa Timur.




LUMAJANG - Seekor monyet di Desa Pasirian di sini 'jatuh cinta' pada seekor ayam betina sehingga menjadi tumpuan penduduk kampung, lapor sebuah akhbar semalam.

Monyet itu dilihat memeluk dan mencium ayam kampung kesayangannya dengan penuh mesra.

Menurut pemilik monyet dan ayam itu, Ali Murtadi, kisah cinta unik antara kedua-dua haiwan tersebut berlaku sejak setahun lalu.

Dia berkata, monyet miliknya itu ditemui dari kawasan lereng di Gunung Semeru sebelum dipelihara dan dikurung dalam kandang di bawah pokok mempelam dekat rumahnya.

Pada awalnya, haiwan itu liar namun setelah sebulan dipelihara, ia menjadi jinak.

"Saya terkejut apabila melihat ayam milik saya sering tidur bersama monyet. Namun, kini ia tidak lagi menjadi masalah," kata Ali.

Kadangkala monyet itu menunjukkan kebolehannya menari dengan menggoyang-goyangkan badan menyebabkan ayam tersebut datang padanya.

Semasa ayam datang, monyet tersebut menyambut kekasihnya dengan pelukan dan ciuman mesra.

Aksi monyet dan ayam itu menjadi tumpuan ramai penduduk kampung apabila mereka sanggup datang untuk melihat 'percintaan' antara kedua-dua haiwan itu selepas berita mengenainya tersebar.

Semasa monyet dan haiwan itu 'berkasih-kasihan,' penduduk kampung yang melihatnya akan tertawa. - Agensi

Monday, December 14, 2009

BUDAK KUAT MALAYSIA

Kuat betul budak ni...wak nak angkat cangkul pun dah sakit pinggang. Wak ada petua nak jadi kuat, sapa2 yg ada lembu yang baru melahirkan anak, angkatlah anak lembu tu tiap2 hari sampai ia besar/dewasa...insyaallah anda berjaya mengangkat seekor lembu !!


Budak enam tahun tarik kereta Mercedes E240


SANTOSPERUMAL menarik kereta Mercedes E240 dinaiki empat lelaki dewasa dengan berat keseluruhan 1,955 kilogram di Kampung Jawa, Klang semalam.


KLANG - Biarpun baru berusia enam tahun, seorang kanak-kanak lelaki sudah digelar hero apabila mampu menarik sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240 yang dinaiki empat lelaki dewasa dengan berat keseluruhan 1,955 kilogram sejauh 120 meter dalam masa dua minit.

Kejayaan T. Santosperumal (gambar kecil) menarik beban yang hampir 56 kali ganda berat badannya dengan hanya satu lilitan tali di pinggang berjaya dicatatkan sebagai rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Sebaik berjaya sampai ke garisan penamat, anak sulung daripada empat adik beradik itu sempat melaungkan 'Satu Malaysia' sambil melompat kegembiraan.

Santosperumal ketika ditemui menyatakan dia berasa gembira kerana berjaya menarik kereta tersebut walaupun tidak menjalani latihan harian.

"Selepas ini, saya mahu tarik kapal terbang," katanya pada sidang akhbar di premis besi buruk milik bapanya, N. Thiagu, 42, di Kampung Jawa di sini semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah turut hadir menyaksikan percubaan kanak-kanak itu.

Sunday, December 13, 2009

TIP UTK BERJIMAT

Boleh la berimat 2-3 ringgit, (kalau) terjatuh patah kaki, luka2... maka kos ubatnya lebih tinggi lagi. Seksa badan menanggung lagi...tapi di India, Pakistan depa bergayut penuh keretapi.






CHUNG memaut belakang sebuah bas di bandar Dongwan, China baru-baru ini.


DONGWAN - Seorang lelaki di China memaut belakang sebuah bas semata-mata kerana mahu berjimat daripada membayar tambang, lapor sebuah akhbar semalam.

Pengguna-pengguna jalan raya terkejut apabila melihat aksi Deng Chung, 33, itu selama 30 minit sebelum dia melompat turun setibanya di luar pejabatnya di sini, selatan China, baru-baru ini.

Susulan kejadian tersebut, polis China menyoal beberapa penumpang dan pekerja pejabat bagi mengumpul bukti untuk mendakwa lelaki itu kerana aksinya yang membahayakan keselamatan orang ramai. - Agensi

























Saturday, December 12, 2009

INI BETUL2.....



Kereta Mr. Bean terbakar

(yang terbakar ni kereta 'real' mr bean, bukan kereta dia yang kiut tu...)


MR. BEAN popular dengan imej kereta Mini.


MALAM romantik pelakon komedi Rowan Atkinson atau lebih popular dikenali sebagai Mr. Bean bersama isterinya, Sunetra terganggu apabila enjin kereta mewah aktor itu tiba-tiba terbakar.

Ia berlaku ketika Atkinson, 54, dalam perjalanan pulang daripada majlis makan malam di Mayfair di sini kelmarin sebelum kereta lumba mewah Jaguar 1952 beliau mengeluarkan asap.

Atkinson dipercayai cuba memadam kebakaran itu dengan alat pemadam api di dalam kereta sebelum terpaksa menghubungi pihak bomba apabila gagal mengawal keadaan.

Beliau dan isteri yang tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudian dihantar pulang dengan menaiki sebuah trak tunda manakala kereta antik itu dihantar ke bengkel untuk dibaik pulih. - Agensi

Friday, December 11, 2009

Pengacara berpurdah diminati ramai



GAMBAR menunjukkan dua wanita memakai purdah muncul dalam satu program di Awtan TV baru-baru ini.


RIYADH - Sebuah stesen televisyen keagamaan di Arab Saudi membenarkan wanita menjadi pengacara tetapi mengenakan syarat iaitu mereka perlu memakai purdah, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang penyampai rancangan bual bicara pagi di stesen televisyen Awtan TV, Ola al-Barqi muncul dengan memakai purdah berwarna hitam yang menutup muka namun berjaya menarik minat ramai penonton.

"Kami tidak menampilkan diri sebagai seorang wanita yang cantik dan penuh dengan solekan di muka.

"Penonton kami menumpukan terhadap apa yang kami persembahkan kepada mereka iaitu idea dan topik perbincangan.

"Kami menerima panggilan daripada penonton di beberapa negara yang menggalakkan kami meneruskan penampilan kami," katanya.

Terdapat lebih 60 saluran keagamaan di Asia Barat tetapi kebanyakannya memaparkan pengacara tidak memakai tudung atau memakai gaun hitam.

Stesen itu turut membenarkan wanita menjadi wartawan penyiaran di luar studio.

"Kami turut membuat laporan dari tempat kejadian dengan memakai purdah dan ia tidak menyekat kami daripada membuat tugasan," kata Ola.

Juruteknik lelaki tidak memasuki studio semasa pengacara wanita itu bertugas mengendalikan program tersebut.

Ola yang juga menjadi hos rancangan kuiz tidak kecewa jika dia tidak dikenali oleh orang ramai di jalanan.

"Kami tidak perlukan kemasyhuran," katanya. - Agensi

Wednesday, December 9, 2009

HARGA 'SEBUAH' NYAWA

Hatta nyawa seekor lembu 'orang' bersusah payah untuk menyelamatkannya. Tapi nyawa seorang manusia sesenang je 'diragut' oleh 'peragut'.


Lembu 'degil' diselamatkan


GAMBAR menunjukkan seekor lembu diselamatkan dengan menggunakan pelampung di Pelabuhan Darwin baru-baru ini.



DARWIN - Seekor lembu di Australia nyaris lemas kerana keletihan selepas memasuki kawasan laut dalam di Pelabuhan Darwin, di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian berlaku apabila lembu seberat 500 kilogram itu dipercayai tersilap berenang di perairan dalam pada awal pagi sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat tempatan, baru-baru ini.

Mereka berhempas-pulas selama 45 minit kerana lembu itu enggan bekerjasama namun anggota-anggota penyelamat berjaya memasang tali pada kepala haiwan itu dan menariknya ke daratan. - Agensi

Tuesday, December 8, 2009

TIADA HALANGAN HANYALAH PELUANG

Ombak kecil tak seronok, ombak besar baru seronok...



Ombak gergasi membadai Hawaii


BEBERAPA peluncur bermain ombak besar di Teluk Waimea, Hawaii kelmarin.


HONOLULU - Ribuan pengunjung dan peluncur membanjiri pantai utara Oahu, Hawaii untuk menyaksikan ombak terbesar yang boleh mencecah setinggi 15 meter di kepulauan itu kelmarin.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berkata, ombak besar itu diramalkan berterusan sehingga hari ini dan membolehkan pertandingan luncur lasak diadakan.

"Tenaga (ombak) itu semakin membesar," kata seorang pegawai ramalan kaji cuaca di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, Robert Ballard.

Hawaii tidak pernah mengalami fenomena itu sejak 2004 atau 1998. - AP

TOKEY JUDI KAYA, KAKI KUDI KAYAP

Kaki judi kalah RM431.4j jadi tumpuan




LAS VEGAS - Seorang kaki judi di Amerika Syarikat (AS), Terrance Watanabe (gambar) melonjak popular selepas dia mengalami kerugian sebanyak AS$127 juta (RM431.4 juta) dalam tempoh cuma setahun ekoran nasib malangnya ketika berjudi di dua buah kasino di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kerugian lelaki itu amat besar sehingga mencecah lebih lima peratus pendapatan keseluruhan dua kasino yang dikunjunginya iaitu Caesars Palace dan The Rio.

Berita kerugian besar Watanabe, 52, menjadi legenda tersendiri selain menjadikannya popular di kalangan pelancong.

"Orang ramai akan berkunjung ke kasino-kasino berkenaan semata-mata kerana mahu melihat dia berjudi," kata seorang pengunjung tetap kasino di sini.

Watanabe yang memiliki kekayaan hasil perniagaan penganjuran keraian yang diasaskan oleh bapanya, setakat ini telah membayar balik sebanyak AS$112 juta (RM390.7 juta) tetapi enggan melunaskan baki hutangnya.

Dia yang berasal dari Omaha, Nebraska tetapi berketurunan Jepun itu mendakwa pihak kasino sengaja memberikan banyak minuman keras dan ubat penahan sakit semasa dia berjudi bagi menjejaskan tumpuannya sehingga menyebabkan dia kalah judi.

Sepanjang tahun 2007, dia tinggal di dua kasino berkenaan dan membuat taruhan berjumlah AS$825 juta (RM2.8 bilion).

Watanebe bertindak menyaman dua kasino itu kerana mendakwa dia dibenarkan berjudi semasa mabuk dan gagal mengawal diri sekali gus melanggar undang-undang perjudian Las Vegas.

Bekas peguamnya, David Chesnoff, menyerahkan sepucuk surat kepada seorang juri awal bulan ini yang menyatakan bahawa beberapa saksi di kasino itu akan memberi keterangan bahawa anak guamnya itu kerap mabuk.

Saksi-saksi itu dipercayai termasuk seorang pengawal keselamatan di kasino Caesars Palace yang mengakui dia tidak pernah melihat Watanabe dalam keadaan tidak mabuk.

Namum, syarikat induk kedua-dua kasino tersebut iaitu Harrah yang dinamakan sebagai defendan dalam saman Watanabe menolak dakwaannya dengan alasan malang yang menimpa lelaki itu adalah kerana salahnya sendiri.

"Watanabe ialah seorang defendan kes jenayah yang berdepan hukuman penjara," kata jurucakap syarikat Harrah, Jan Jones.

Syarikat perjudian itu mengambil tindakan mahkamah terhadap Watanabe kerana jenayah mencuri dan memberi cek tendang berhubung hutang berbaki AS$14.5 juta (RM48.6 juta) yang masih belum dibayar kepada pihak kasino.

Watanabe kini bebas dengan ikat jamin AS$1.5 juta (RM5 juta) sementara menunggu perbicaraan pada Julai depan dan dia boleh dipenjara hingga 16 tahun sekiranya didapati bersalah. - Agensi

Monday, December 7, 2009

Tiger Woods: apa halangannya??

Kaya, terkenal, hensom itu yang ada pada TW. Jadi wanita mana yang tidak ingin berdampingan dengannya...dan lelaki mana yang 'berupaya' menolaknya.

Kecualilah mereka yang bertakwa dan beriman.


Cori Rist pula didedah intim dengan Woods



Cori Rist

ORLANDO: Wanita seksi dikenali sebagai Cori Rist dilaporkan menjadi wanita keenam yang dinamakan sebagai perempuan simpanan kepada bintang golf terkenal Amerika Syarikat, Tiger Woods.

Cori, 31, dipercayai bertemu dengan Tiger, 33, di sebuah kelab di New York tahun lalu, lapor akhbar The Sun.

Mereka didakwa sering keluar bersama dan bintang sukan ternama itu didakwa secara rahsia pernah membawa wanita berkenaan terbang bersamanya mengelilingi dunia.

Saturday, December 5, 2009

Surat paling mahal RM10.8j

Kalau masih ada surat2 'zaman bercinta' dulu, patut disimpan. Pusakakan kepada anak cucu, 100-200 tahun nanti surat tu mungkin bernilai berjuta2. Zaman sekarang ni pun susah nak 'tengok' surat yang ditulis tangan dan dikirimkan melalui pejabat pos apatah lagi 100 tahun akan datang.





TANDA tangan Washington masih kelihatan pada halaman
surat ini yang dibeli pada acara lelongan di New York kelmarin.


SEPUCUK surat yang ditulis sendiri oleh presiden pertama Amerika Syarikat (AS), George Washington dilelong pada harga AS$.32 juta (RM10.8 juta), sekali gus mencipta rekod dunia baru.

Acara berlangsung di Christie kelmarin memecah rekod surat paling mahal sebelum ini yang juga ditulis oleh Washington, dan dilelong pada 2002 lalu dengan harga AS$834,000 (RM2.8 juta).

Surat itu ditulis Washington pada 1787 kepada seorang sepupunya yang meminta pengesahan berhubung draf perlembagaan baru bagi pengisytiharan kemerdekaan AS.

Namun agensi lelongan Christie tidak mendedahkan identiti pembida yang berjaya memperoleh warkah bersejarah itu. - AP

Friday, December 4, 2009

Citarum sungai terkotor dunia



Tak dapat nak dibayangkan sungai yang sekotor ini membekalkan air ke sebahagian besar rumah di kota Jakarta.

JAKARTA - Ketika seluruh dunia kini memberi fokus pada sidang kemuncak global mengenai perubahan iklim di Copenhagen pada 7 Disember ini, pemerintah Indonesia bergelut untuk membersihkan imej sebatang sungai di Pulau Jawa yang dianggap paling kotor di bumi, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebahagain Sungai Citarum sepanjang 322 kilometer itu amat kotor kerana ia dipenuhi pelbagai jenis sampah.

Namun, sungai itu membekalkan lebih 80 peratus bekalan air untuk penduduk Jakarta.

Pada tahun lalu, Bank Pembangunan Asia meluluskan pinjaman berjumlah AS$500 juta (RM1.69 bilion) untuk membiayai kerja-kerja pembersihan di sungai itu. - Agensi

Mesyuarat Kabinet di pergunungan Everest

SYANGBOCHE, Nepal 4 Dis. - Pemimpin Nepal, hari ini menggunakan tangki oksigen dan mengadakan mesyuarat Kabinet di tengah-tengah cuaca dingin dan udara nipis di kawasan pergunungan Everest bagi menekankan tentang bahaya pemanasan global, yang memberi kesan kepada glasier menjelang persidangan perubahan iklim antarabangsa pada minggu depan.

Kerajaan Nepal menamakan majlis tersebut sebagai mesyuarat Kabinet paling tinggi di dunia.

Perdana Menteri Nepal, Madhav Kumar, dua timbalan perdana menteri termasuk 20 menteri Kabinet telah diperiksa oleh doktor sebelum menaiki helikopter menuju ke Kalapathar, kawasan rata di altitud setinggi 5,250 meter bersebelahan tapak perkhemahan Everest, tempat para pendaki memulakan pendakian ke atas gunung tertinggi di dunia itu.

Persatuan Penyelamat Himalaya, Bikram Neupane berkata, pemimpin-pemimpin itu memakai jaket tebal, pakaian kalis angin dan topi berbulu biri-biri dengan kesemua mereka dilengkapi tahap oksigen yang mencukupi dalam darah, selain memastikan mereka tidak berada dalam keadaan berbahaya.

Mesyuarat Kabinet itu diadakan bersebelahan gunung bagi mengelak mana-mana menteri yang tidak biasa dengan ketinggian Himalaya diserang sakit berada di altitud yang tinggi.

Kesemua menteri itu bermalam di bandar Lukla semalam, yang terletak di ketinggian kira-kira 2,800 meter, untuk menyesuaikan diri dengan aras ketinggian.

Mereka kemudiannya bergerak ke Syangboche, yang berada di ketinggian 3,900 meter, di mana mereka menaiki helikopter menuju ke gunung tersebut.

Mereka dijangka kembali semula ke Syangboche selepas itu untuk mengadakan sidang media. - AP

Thursday, December 3, 2009

LELAKI: KUAT DAN HEBAT

Dengan hanya menggunakan kelopak mata boleh tarik van..jangan main-main...


Guna kelopak mata tarik van


ZHONGCAI menarik sebuah van dengan kelopak mata.


HEFEI - Seorang lelaki China, Xie Zhongcai menunjukkan aksi lagak ngeri apabila dia menunda sebuah van kecil dengan kelopak matanya sendiri, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia berjaya menarik van itu dalam satu demonstrasi seni mempertahankan diri yang diadakan di Dataran Heping, ibu negeri wilayah Anhui di sini, 1,071 kilometer dari Beijing.

Dia turut mempamerkan aksi menarik van tersebut dengan telinga pada pertunjukan yang diadakan 30 November lalu. - Agensi

Wednesday, December 2, 2009

Suparwono paling tinggi di Indonesia


SUPARWONO (tengah) dibantu oleh dua lelaki semasa menaiki tangga di Lampung kelmarin.


JAKARTA - Makan telur jadi tinggi?
Seorang buruh, Suparwono yang makan telur 15 biji sehari menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.

Pada mulanya dia dianggap sebagai lelaki paling tinggi di dunia apabila pihak hospital membuat ukuran mendapati ketinggiannya 2.71 meter mengatasi lelaki tertinggi di dunia milik rakyat Turki, Sultan Kosen.

Namun, ukuran yang dibuat oleh Muzium Rekod Indonesia semalam mendapati tinggi Suparwono yang berumur 25 tahun ialah 2.42 meter.

Ketinggian itu menyebabkan dia menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.

"Kami menerima laporan pada waktu pagi bahawa keputusan ukuran dari sebuah hospital ialah 2.71 meter. Namun, kami perlu kekal dengan ukuran ketinggian kami (2.42 meter)," kata Pengurus Muzium Rekod Indonesia, Ngadri.

Suparwono menjadi terkenal pada minggu ini selepas salah seorang saudaranya di kampung Tri Tunggal Jaya, Lampung, Sumatera menjemput beberapa jiran untuk bergambar dengan lelaki tertinggi itu.

Dalam tempoh beberapa hari, dia muncul dalam beberapa program bual bicara di sini dan mendapat gelaran Gergasi Lampung.


GAMBAR menunjukkan Sultan Kosen di The Hague, Belanda pada 9 November lalu.


Menurut Suparwono, dia mula mengetahui tubuhnya tinggi semasa berumur 10 tahun.

"Ketika itu, saya sudah pun menjadi orang paling tinggi di sekolah dan kampung saya.

"Saya makan tiga kilogram nasi pada setiap hari dan sekurang-kurangnya 15 biji telur," katanya.

Menurutnya, dia mengalami masalah untuk menaiki bas dan mencari pakaian yang sesuai ekoran ketinggiannya itu.

Bekas jurulatih olahraga Suparwono, Willy Winoto, berkata, selepas dua tahun lelaki itu menjalani latihan, dia didapati tidak sesuai untuk menjadi atlet kebangsaan kerana tubuhnya tidak mempunyai daya ketahanan tinggi selain mengalami masalah tulang.

Dia kini tinggal bersama keluarga dan melakukan kerja-kerja kampung untuk mendapatkan wang.

Gabenor Lampung, Sjachroedin Zainal berjanji dia akan diberikan kerja yang bersesuaian selain menjadikannya sebagai duta untuk wilayah tersebut.

"Pada 2010, kami akan menamakannya sebagai ikon Tahun Melawat Lampung," katanya. - Agensi