WAK PUNYA GENG

Friday, December 4, 2009

Mesyuarat Kabinet di pergunungan Everest

SYANGBOCHE, Nepal 4 Dis. - Pemimpin Nepal, hari ini menggunakan tangki oksigen dan mengadakan mesyuarat Kabinet di tengah-tengah cuaca dingin dan udara nipis di kawasan pergunungan Everest bagi menekankan tentang bahaya pemanasan global, yang memberi kesan kepada glasier menjelang persidangan perubahan iklim antarabangsa pada minggu depan.

Kerajaan Nepal menamakan majlis tersebut sebagai mesyuarat Kabinet paling tinggi di dunia.

Perdana Menteri Nepal, Madhav Kumar, dua timbalan perdana menteri termasuk 20 menteri Kabinet telah diperiksa oleh doktor sebelum menaiki helikopter menuju ke Kalapathar, kawasan rata di altitud setinggi 5,250 meter bersebelahan tapak perkhemahan Everest, tempat para pendaki memulakan pendakian ke atas gunung tertinggi di dunia itu.

Persatuan Penyelamat Himalaya, Bikram Neupane berkata, pemimpin-pemimpin itu memakai jaket tebal, pakaian kalis angin dan topi berbulu biri-biri dengan kesemua mereka dilengkapi tahap oksigen yang mencukupi dalam darah, selain memastikan mereka tidak berada dalam keadaan berbahaya.

Mesyuarat Kabinet itu diadakan bersebelahan gunung bagi mengelak mana-mana menteri yang tidak biasa dengan ketinggian Himalaya diserang sakit berada di altitud yang tinggi.

Kesemua menteri itu bermalam di bandar Lukla semalam, yang terletak di ketinggian kira-kira 2,800 meter, untuk menyesuaikan diri dengan aras ketinggian.

Mereka kemudiannya bergerak ke Syangboche, yang berada di ketinggian 3,900 meter, di mana mereka menaiki helikopter menuju ke gunung tersebut.

Mereka dijangka kembali semula ke Syangboche selepas itu untuk mengadakan sidang media. - AP

No comments:

Post a Comment