Kaki judi kalah RM431.4j jadi tumpuan
LAS VEGAS - Seorang kaki judi di Amerika Syarikat (AS), Terrance Watanabe (gambar) melonjak popular selepas dia mengalami kerugian sebanyak AS$127 juta (RM431.4 juta) dalam tempoh cuma setahun ekoran nasib malangnya ketika berjudi di dua buah kasino di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kerugian lelaki itu amat besar sehingga mencecah lebih lima peratus pendapatan keseluruhan dua kasino yang dikunjunginya iaitu Caesars Palace dan The Rio.
Berita kerugian besar Watanabe, 52, menjadi legenda tersendiri selain menjadikannya popular di kalangan pelancong.
"Orang ramai akan berkunjung ke kasino-kasino berkenaan semata-mata kerana mahu melihat dia berjudi," kata seorang pengunjung tetap kasino di sini.
Watanabe yang memiliki kekayaan hasil perniagaan penganjuran keraian yang diasaskan oleh bapanya, setakat ini telah membayar balik sebanyak AS$112 juta (RM390.7 juta) tetapi enggan melunaskan baki hutangnya.
Dia yang berasal dari Omaha, Nebraska tetapi berketurunan Jepun itu mendakwa pihak kasino sengaja memberikan banyak minuman keras dan ubat penahan sakit semasa dia berjudi bagi menjejaskan tumpuannya sehingga menyebabkan dia kalah judi.
Sepanjang tahun 2007, dia tinggal di dua kasino berkenaan dan membuat taruhan berjumlah AS$825 juta (RM2.8 bilion).
Watanebe bertindak menyaman dua kasino itu kerana mendakwa dia dibenarkan berjudi semasa mabuk dan gagal mengawal diri sekali gus melanggar undang-undang perjudian Las Vegas.
Bekas peguamnya, David Chesnoff, menyerahkan sepucuk surat kepada seorang juri awal bulan ini yang menyatakan bahawa beberapa saksi di kasino itu akan memberi keterangan bahawa anak guamnya itu kerap mabuk.
Saksi-saksi itu dipercayai termasuk seorang pengawal keselamatan di kasino Caesars Palace yang mengakui dia tidak pernah melihat Watanabe dalam keadaan tidak mabuk.
Namum, syarikat induk kedua-dua kasino tersebut iaitu Harrah yang dinamakan sebagai defendan dalam saman Watanabe menolak dakwaannya dengan alasan malang yang menimpa lelaki itu adalah kerana salahnya sendiri.
"Watanabe ialah seorang defendan kes jenayah yang berdepan hukuman penjara," kata jurucakap syarikat Harrah, Jan Jones.
Syarikat perjudian itu mengambil tindakan mahkamah terhadap Watanabe kerana jenayah mencuri dan memberi cek tendang berhubung hutang berbaki AS$14.5 juta (RM48.6 juta) yang masih belum dibayar kepada pihak kasino.
Watanabe kini bebas dengan ikat jamin AS$1.5 juta (RM5 juta) sementara menunggu perbicaraan pada Julai depan dan dia boleh dipenjara hingga 16 tahun sekiranya didapati bersalah. - Agensi
No comments:
Post a Comment