WAK PUNYA GENG

Sunday, May 30, 2010

Perompak tersangkut di bumbung rumah


GAMBAR menunjukkan seorang perompak remaja tersangkut di sebuah bumbung rumah di Heaton baru-baru ini.


HEATON, Britain - Salah seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk sebuah rumah di sini terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan apabila dia tersangkut di atas bumbung rumah yang dimasukinya itu.

Remaja yang berpakaian hitam itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah selepas kehadiran mereka dikesan oleh pemilik rumah tersebut, Damiano Rea, 31, yang baru pulang.

Pemilik rumah itu mendapati pintu depan rumahnya terbuka manakala kelibat perompak itu berada di ruang tamu menyebabkan dia kemudian mengejar mereka yang melarikan diri ke atas bumbung.

Namun, salah seorang perompak itu terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba dengan menggunakan sebuah tangga bertingkat setelah dia tersangkut di atas bumbung, baru-baru ini.

Dua lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan terjun dari bumbung berkenaan.

Seorang pegawai polis, Kev Benson berkata, pihak polis menerima satu panggilan telefon dari seorang pemilik rumah pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan yang mengatakan terdapat seseorang yang berada di atas bumbung rumah.

"Kami tiba di tempat kejadian bersama skuad polis helikopter dan mendapati seorang remaja berada di atas bumbung rumah itu.

"Dengan bantuan pasukan bomba, remaja tersebut dibawa turun dan diselamatkan pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan dan dia ditangkap kerana disyaki merompak," katanya.

Remaja berusia 14 tahun itu ditangkap kerana mencuri dan akan didakwa di mahkamah bulan depan. - Agensi


Friday, May 28, 2010

Wanita miliki paling banyak tatu


JULIA menunjukkan tatu pada perutnya.


NEW YORK - Seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Julia Gnuse mencipta rekod dunia Guinness World Records apabila dia memiliki tatu paling banyak di tubuhnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang menetap di Foothill Ranch, Lake Forest, California menghadiri pesta buku di sini kelmarin dengan menunjukkan 95 peratus tubuhnya dipenuhi tatu termasuk lukisan hutan dan kartun sehingga menampilkan wajah pelakon terkenal.

Menceritakan kenapa dia mempunyai banyak tatu, Julia berkata, pada mulanya dia membuat tatu di kakinya yang mengalami penyakit kulit melepuh apabila terdedah pada cahaya matahari.

Dia kemudian bertatu di perut, lengan dan belakang badan.

Menurutnya, dia kemudian menjadi seorang wanita yang ketagih tatu. - Agensi


Friday, May 21, 2010

Remaja perempuan bertukar jadi lelaki




DESA TAMBAKSARI KIDUL, Indonesia - Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di sini, Maemunah (gambar) mendakwa kemaluannya berubah menjadi lelaki, lapor beberapa media semalam.

Dia kini telah mengubah namanya menjadi Mei Purnomo dan berhasrat untuk mengesahkan identitinya sebagai lelaki dalam surat beranak.

Namun, pihak berkuasa di kampungnya di Jawa Tengah enggan mengesahkan dia sebagai lelaki sebelum mendapat bukti pengesahan rasmi daripada agensi kesihatan.

"Sehingga kini nama remaja itu yang tercatat di desa ini masih Maemunah. Kami menunggu keputusan pengadilan mengenai status kelaminnya," ujar Ketua Kampung Desa Tambak Sari Kidul, Joko Suryanto.

Seorang ketua badan kesihatan di kampung itu, Dr. Widayanto MKes berkata: "Dia (Maemunah) perlu menjalani ujian deosiribonukleik (DNA). Kromosomnya perlu dilihat sama ada dia lelaki atau perempuan."

Menurut ibu remaja itu, anaknya semasa dilahirkan mempunyai jantina perempuan.

"Bidan yang membantu saya melahirkannya mengatakan anak saya perempuan," ujar ibunya, Sarni.

Namun, menurut remaja itu, semasa berumur 10 tahun, dia berasa terdapat perubahan pada tubuhnya yang menunjukkan dirinya seorang lelaki.

Remaja itu mengakui bahawa dia turut mempunyai perasaan meminati wanita dan bukannya lelaki.

- Agensi

Wednesday, May 19, 2010

71 penyu gergasi dirampas

Kalau penyu tu idup lagi ok juga, kalau dah mati, bagi je depa makan...


SEORANG pegawai mengukur seekor penyu gergasi yang dirampas dari seorang peniaga makanan di Bali semalam.


DENPASAR - Polis Indonesia semalam merampas sebanyak 71 ekor penyu hijau gergasi yang diancam kepupusan dari sebuah warung milik seorang peniaga makanan di Bali di sini, kata seorang ketua detektif tempatan, Kolonel Andi Taqdir Rahmantiro.

Pemilik gerai itu ditahan oleh pihak polis semasa sejumlah ekor penyu tersebut dengan berat purata sekitar 200 kilogram dijumpai di dalam rumah gudang miliknya.

Andi Taqdir berkata, pemilik memberitahu polis dia membeli penyu tersebut dengan purata saiz lebih satu meter daripada beberapa nelayan yang menangkap haiwan berkenaan di pesisir pulau Sulawesi.

Daging penyu merupakan hidangan tradisi penduduk beragama Hindu di Bali. - AP


Monday, May 17, 2010

BANGGAKAH KITA ??

Wanita Islam pertama menang Ratu Cantik USA


RIMA memberikan senyuman semasa dia dimahkotakan sebagai pemenang Ratu Cantik USA 2010 di Las Vegas semalam.


LAS VEGAS - Seorang gadis berketurunan Arab Lebanon, Rima Fakih yang berusia 24 tahun menjadi wanita Islam pertama memenangi gelaran Ratu Cantik USA kelmarin.

Pertandingan itu yang disertai oleh 51 peserta berlangsung di Planet Hollywood Resort & Casino, Las Vegas.

Berasal dari Dearborn, Michigan, Rima berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bersama ibu dan bapanya sewaktu dia masih bayi. Rima kemudiannya dibesarkan di New York dan belajar di sebuah sekolah Katolik sebelum berpindah ke Michigan pada tahun 2003.

Pada pertandingan itu, dia mewakili negeri Michigan.

Dia hampir terjatuh semasa memperagakan gaun malam. Para peserta perlu memperagakan gaun malam, memakai coli dan seluar dalam pada acara pakaian renang selain perlu menjawab beberapa soalan tertentu pada sesi temu ramah.

Semasa ditanya sama ada pil perancang kelahiran harus dibayar oleh insurans kesihatan, Rima menyatakan ia patut dilakukan kerana kos perancang itu melibatkan kos mahal. Gadis cantik itu akan mewakili AS dalam pertandingan Ratu Cantik Universe 2010.

Rima juga memperoleh hadiah tinggal percuma di sebuah pangsapuri di New York, diberikan wang perbelanjaan harian, gaji yang tidak didedahkan jumlahnya dan pelbagai perkhidmatan kecantikan serta kesihatan profesional.

Semasa ditanya bagaimana perasaannya selepas memenangi mahkota kemenangan, Rima berkata: "Tanyalah saya selepas saya memakan piza."

Rima memberitahu penganjur pertandingan bahawa keluarganya mengamalkan kepercayaan Islam dan Kristian.

Panel juri terdiri daripada lapan orang termasuk bintang bola keranjang, Carmelo Anthony dan pemilik sebuah hotel, Phil Ruffin. - Agensi

Thursday, May 13, 2010

Menyamar wanita untuk kahwin lelaki





BEIJING - Seorang pemuda di China, Wang Mou ditangkap kerana menyamar sebagai wanita dan berkahwin dengan tiga lelaki sebelum melarikan wang hantaran pertunangan mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Akhbar Dahe Daily melaporkan Mou (gambar), 18, telah berkahwin dengan tiga orang lelaki pada tahun ini.

Pemuda itu menyamar sebagai wanita selepas dia ditipu oleh seorang wanita lain yang menjanjikan untuk mendapatkan pekerjaan kepadanya.

Namun, apa yang berlaku pada dirinya ialah pemuda itu dijual oleh wanita yang menjanjikan pekerjaan kepadanya dengan dijadikan isteri kepada lelaki lain.

"Dia menipu saya. Saya kemudiannya mendapat peluang untuk melarikan diri. Saya menyedari bahawa saya dapat menggunakan kaedah yang sama sebagai jalan singkat untuk mendapatkan wang," kata Mou.

"Ramai orang menyangka saya ialah seorang wanita apabila kali pertama melihat saya," tambahnya.

Selepas perkahwinan pertamanya, dia menjual dirinya dengan bantuan seorang rakan kepada dua lagi lelaki dengan bayaran 10,208 yuan (RM4,797).

Pemuda itu ditangkap semasa cuba melarikan diri pada hari perkahwinan ketiganya oleh beberapa wanita tempatan yang kemudian menyerahkannya kepada polis setelah mereka menyedari dia sebenarnya seorang lelaki. - Agensi

Friday, May 7, 2010

Polis, CCTV pantau bunga orkid



SEORANG anggota polis melIihat pokok bunga anggerik di sebuah kelab golf di Silverdale, Carforth, Britain.


LANCASTER, England - Pokok bunga anggerik di sebuah padang golf di Britain terpaksa diberi kawalan keselamatan paling ketat apabila ia dijangka mengeluarkan bunga pada bulan ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Spesies anggerik The Lady's Slipper berusia 100 tahun itu dikawal di sebuah kelab golf di Silverdale, Carforth di sini dan ia dipantau 24 jam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa anggota polis peronda.

Setiap kelopak bunga anggerik itu jika dijual boleh mencecah harga setinggi £5,000 (RM24,027) dan pokok tersebut dianggap sebagai amat bernilai kerana sebahagian besar tumbuhan lain yang berusia 100 tahun sudah pun pupus. - Agensi


Sunday, May 2, 2010

Jalan kaki 3 tahun ke Britain


PELARIAN Afghanistan sering memilih Eropah sebagai negara pilihan mereka.


BUDAPEST - Polis Hungary terkejut apabila menahan empat remaja Afghanistan dipercayai pendatang asing tanpa izin yang hanya berjalan kaki dari negara asal mereka semata-mata untuk menikmati kebebasan mendengar muzik di Britain.

Kumpulan remaja itu mendakwa telah memulakan perjalanan sejak awal Januari 2007 serta menempuh jarak sejauh 4,356 kilometer dari ibu negara Kabul dan kini hanya berbaki 1,450 kilometer lagi untuk tiba di London.

"London tempat sesuai menikmati muzik terbaik dunia dan kami mahu merasai kehebatan muzik kerana di negara kami yang masih dikuasai Taliban, muzik itu haram," kata seorang pelarian yang dirahsiakan identiti.

Jurucakap polis, Peter Zsobrak berkata, imigran Afghanistan itu ditemui keletihan di kawasan perkuburan di Harkany, selatan Hungary dan mereka hidup dengan mengambil makanan di tempat buangan sampah. - Agensi


Thursday, April 29, 2010

Tak makan, minum selama 70 tahun


PRAHLAD JANI


NEW DELHI - Sekumpulan doktor yang berkhidmat dengan tentera India kini melakukan kajian terhadap seorang lelaki, Prahlad Jani selepas dia mendakwa tidak pernah makan dan minum selama 70 tahun.

Jani, 83, dikaji oleh 30 doktor yang bermula pada 22 April lalu. Kajian itu bakal mengambil masa selama 15 hingga 20 hari di sebuah hospital di bandar Ahmedabad, Gujerat selama 24 jam sehari.

"Pemerhatian daripada kajian itu akan memberi harapan terhadap kehidupan tanpa makanan dan minuman," kata Pengarah Institut Pertahanan Fisiologi dan Sains Sokongan, Dr. G. Ilavazahagan.

Doktor-doktor itu percaya dia memiliki kualiti yang dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Setakat ini, dia tidak makan, minum atau membuang air selama enam hari tetapi beberapa doktor menyatakan, kesihatan Jani tidak terjejas akibat kekurangan zat.

Jani mendakwa dia meninggalkan rumah semasa berusia tujuh tahun sebelum mengabadikan dirinya pada Tuhan di negeri Rajasthan.

Lelaki misteri itu mendakwa dia diberi makan oleh seorang dewi yang memasukkan sejenis pati ke dalam lubang di lelangitnya.

Pasukan doktor itu menjangkakan lelaki itu akan mengalami masalah kekurangan air, penurunan berat badan, keletihan dan kegagalan fungsi beberapa organ dalam tempoh kajian. - Agensi

Sunday, April 25, 2010

Taikun India paling kaya di Britain




LONDON - Aset kelompok individu terkaya Britain melonjak 30 peratus tahun ini ketika kebanyakan penduduk negara berkenaan masih bergelut untuk pulih daripada pada kemelesetan ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Taikun besi kelahiran India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal sebagai orang terkaya Britain dengan aset £22.45 bilion (RM110.24 bilion) meningkat lebih dua kali ganda berbanding anggaran tahun lalu.

Tempat kedua kekal milik bilionair Rusia yang memiliki kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich dengan kekayaan mencecah £7.4 bilion (RM36.33 bilion) meningkat £400 juta (RM1.96 bilion) berbanding tahun lalu.

Senarai Terkaya 2010 yang dikeluarkan oleh akhbar Sunday Times itu menyatakan, peningkatan kekayaan individu terkaya di Britain kali ini adalah yang tertinggi sejak senarai itu mula disiarkan 21 tahun lalu.

Tempat ketiga diduduki oleh Duke of Westminster dengan kekayaan £6.75 bilion (RM33.14 bilion).

Dua bersaudara, Ernesto dan Kirsty Bertarelli yang terlibat dalam perniagaan farmasi berada di tempat keempat dengan kekayaan £5.95 bilion (RM)29.21 bilion).

Taikun hartanah dan Internet, David dan Simon Reuben menduduki tempat kelima dengan kekayaan £5.53 bilion (RM27.15 bilion).

Tempat keenam diduduki oleh pemilik bersama kelab bola sepak Arsenal, Alisher Usmanov dengan kekayaan £4.7 bilion (RM23 bilion).

Peningkatan kekayaan itu dipacu akibat pemulihan pasaran saham dunia dan peningkatan harga hartanah selepas krisis ekonomi global tahun lalu.

Sejak 12 bulan lalu, sebanyak 10 lagi individu berjaya bergelar bilionair sekali gus menjadikan jumlah mereka di Britain kini 53 orang.

Dalam senarai itu, terdapat 10 jutawan muda di Britain yang berumur 30 tahun ke bawah.

Antara jutawan muda itu ialah pelakon filem Harry Potter, Daniel Radcliffe dengan kekayaan £42 juta (RM206.24 juta).

Pelakon filem terkenal wanita dari Britain yang pernah membintangi filem Pirates of the Carribbean, Kiera Knightley turut disenaraikan dengan kekayaan sebanyak £28 juta (RM137.49 juta).

Aktres yang membintangi filem Harry Potter, Emma Watson turut disenaraikan dengan kekayaannya ialah £22 juta (RM106 juta) termasuk kekayaan keluarganya.

- Agensi

Saturday, April 24, 2010

Guna meriam tembak pewangi atasi bau busuk


TIGA pekerja pusat pelupusan di Beijing sibuk mengangkut sampah.


BEIJING - Sebuah pusat pelupusan sampah di sini akan memasang lebih 100 laras meriam untuk menembak pewangi bagi menangani bau busuk sampah yang menyelubungi ibu kota China itu ekoran cuaca panas.

Ketua seksyen daerah, Zhang Quanhong berkata, meriam dicipta sendiri petugas pusat itu susulan pihak berkuasa Beijing memohon maaf kepada jutaan penduduk yang terpaksa menghidu bau tengik sampah dari situ.

Meriam tersebut berfungsi seumpama penyembur pewangi jarak jauh dengan melepaskan cecair yang diperbuat daripada ekstrak tumbuhan serta akan menutup bau busuk di 13 buah pusat pelupusan di sekitar Beijing, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Dianggarkan 17.5 juta warga Beijing menghasilkan 18,400 tan sampah sehari, menyebabkan bau busuk dan ramai mengadu tidak dapat tidur waktu malam. - Agensi

Thursday, April 15, 2010

Lintah bergigi dalam hidung budak 9 tahun


GAMBAR yang diperbesarkan menunjukkan gigi lintah yang hidup dalam hidung seorang budak perempuan.


LIMA - Seorang doktor Peru, Renzo Arauco-Brown menemui spesies baru lintah kecil dengan memiliki gigi tajam yang dijumpai menyorok di dalam hidung seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang bertugas di Universiti Peru Cayetano Heredia di sini menjumpai lintah itu semasa merawat kanak-kanak tersebut di sebuah klinik di wilayah Chanchamayo yang mengadu sakit kepala setelah mandi di sebuah tasik Amazon.

Lintah sepanjang 44.5 milimeter itu kemudian disahkan sebagai spesies baru oleh seorang kurator Muzium Semula Jadi Amerika Syarikat di New York, Mark Siddall semasa ia dibawa dari Peru ke negara tersebut untuk tujuan penyelidikan saintifik.

Ia kemudian dinamakan sebagai Tyrannobdella rex atau diringkaskan sebagai T-rex yang bererti raja lintah kejam kerana memiliki gigi tajam selebar 0.13 milimeter iaitu lebih lebar daripada ketebalan sehelai rambut manusia normal. - Agensi

Thursday, April 8, 2010

Nenek enggan tanduk dipotong



GAMBAR menunjukkan tanduk di dahi kiri Ruifang.


BEIJING - Seorang wanita China berusia 101 tahun, Zhang Ruifang enggan membuang tanduk yang tumbuh di dahi kirinya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang menetap di Linlou, wilayah Henan, mula menyedari mempunyai tanduk pertama pada tahun lalu yang kini sepanjang enam sentimeter.

Beberapa doktor tempatan pula mengesahkan satu lagi tanduk di dahi kanannya akan muncul.

"Ada juga doktor yang mendakwa mereka boleh memotong tanduk itu secara percuma namun saya enggan berbuat demikian kerana yakin akan ada satu lagi tanduk baru akan tumbuh," kata Ruifang.

Wanita itu juga menolak tawaran bagi membuang kedua-dua tanduk kerana dia kini mula berasa gembira apabila dikunjungi ramai orang yang datang melawat ke rumahnya dengan membawa bersama makanan, hadiah dan mahu bergambar dengannya.

- Agensi

Biawak gergasi baru ditemui


GAMBAR menunjukkan cicak gergasi yang ditemui di satu lokasi hutan di Pulau Luzon, Filipina.


PARIS - Para saintis biologi di sini semalam melaporkan penemuan satu spesies biawak gergasi di kawasan hutan utara Pulau Luzon, Filipina baru-baru ini.

Penemuan mengejutkan haiwan liar berukuran dua meter panjang itu disiarkan menerusi jurnal saintifik Biology Letters terbitan Royal Society di Britain.

Cicak itu ditemui di sebatang sungai berlembah di Filipina.

Haiwan itu cuma makan buah-buahan hutan. Cicak jantan itu mempunyai dua zakar.

Salah satu sebab kenapa cicak itu tidak dapat dikesan ialah kerana ia tidak pernah meninggalkan kawasan hutan yang menjadi tempat tinggalnya. - Agensi