WAK PUNYA GENG

Thursday, July 29, 2010

Lelaki 40 tahun setinggi 76 sentimeter


HUANG KAIQUAN didukung oleh ibunya.


CHENGDU - Seorang lelaki China, Huang Kaiquan cuba memperbaharui rekodGuinness untuk menjadi manusia paling pendek di dunia dengan ketinggian 76 sentimeter, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berusia 40 tahun itu memiliki berat 12 kilogram dan kini menetap bersama ibunya, Cheng Fuxiu, 58, di Hejiang, wilayah Sichuan.

Rekod dunia masih dipegang oleh He Pingping yang juga rakyat China dan berasal dari Ulanqab, Inner Mongolia dengan ketinggian 74 sentimeter.

Namun, He Pingping meninggal dunia pada 13 Mac lalu semasa berusia 21 tahun.

Huang yang bersara daripada kerjaya lakonan ketika berusia 30 tahun setelah jatuh sakit berkata, ramai orang menyangka dia seorang kanak-kanak kerana ibunya kerap mendukungnya. - Agensi


Thursday, July 22, 2010

Mesin cuci badan lembu



GAMBAR menunjukkan seekor lembu dicuci dengan mesin berus di sebuah ladang di Sweden.


STOCKHOLM - Sebuah syarikat di Sweden mengeluarkan mesin yang membersihkan lembu mirip mencuci kenderaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Mesin itu boleh meningkatkan penghasilan susu sehingga 3.5 peratus dan ia mampu memperbaiki pengedaran darah dan menghentikan pembiakan penyakit pada haiwan ternakan.

Pengeluar mesin itu, DeLaval menyatakan rekaan tersebut merupakan berita baik buat golongan penternak.

Sebanyak 30,000 unit mesin itu telah dijual di Sweden dan kini mula meneroka pasaran United Kingdom.

"Berus yang berputar ini merupakan alat membersih diri yang membuatkan lembu-pembu lebih gembira, sihat dan produktif," kata seorang jurucakap syarikat berkenaan. - Agensi

Wednesday, July 21, 2010

Majikan beri amah RM14 juta



GAMBAR menunjukkan apartmen yang dipercayai menjadi tempat tinggal Christine bersama majikannya di Singapura.


SINGAPURA - Seorang amah Filipina yang setia berkhidmat selama lebih 20 tahun menjadi jutawan segera kerana majikannya memberikannya sebanyak S$6 juta (RM14 juta) menerusi wasiat, lapor sebuah akhbar semalam.

"Sama ada memiliki atau tidak wang itu, saya merupakan amah yang paling bertuah di Singapura," katanya yang dikenali dengan nama Christine.

Berusia 47 tahun dan masih belum berkahwin, dia enggan mendedahkan identiti dirinya dan mahu dikenali sebagai Christine kerana bimbangkan keselamatannya di Filipina yang merupakan negara yang sering menjadi lokasi penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Dia mendapat wasiat itu daripada majikannya yang juga seorang wanita, Dr. Quek Kai Miew yang meninggal dunia pada tahun lalu semasa berusia 66 tahun.

Kekayaan segera itu meliputi wang tunai dan sebuah pangsapuri mewah berhampiran pusat beli-belah Orchard Road.

Dia sangat rapat dengan majikannya.

Christine yang kini sedang memohon menjadi penduduk tetap Singapura menyatakan bahawa kekayaan itu tidak akan dapat mengubah gaya hidupnya.

Amah tersebut turut menjaga ibu doktor itu dan dia diberitahu akan menjadi seorang penerima wasiat yang sedang disediakan oleh majikannya pada 2008.

"Tidak ada rahsia di antara kami. Saya tidak terkejut apabila diberitahu berapa banyak yang saya akan perolehi" katanya.

Christine berasa kecewa setahun lalu apabila majikannya meninggal dunia.

"Kematian itu amat mengecewakan saya kerana tempoh saya bersama dengan doktor itu lebih lama daripada saya bersama ibu saya," tambahnya.

"Saya akan berasa sedih setiap kali saya teringatkan dia (majikannya)," kata amah tersebut. - AFP


Thursday, July 15, 2010

Wanita paling gemuk kesal layanan buruk hospital





CHELMSFORD - Seorang wanita paling gemuk di Britain, Sharon Mevsimler (gambar), 40, mendakwa doktor-doktor di sebuah hospital dekat rumahnya di sini sengaja membiarkan dia supaya mati kerana tubuhnya amat gemuk, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang memiliki berat 286 kilogram kini menghabiskan masa di atas katil hospital dengan ditemani suaminya, Tyler selain menggunakan topeng oksigen bagi membantu pernafasan.

Ibu empat anak itu mendakwa, pihak hospital membatalkan satu pembedahan pintasan usus yang melibatkan kos £30,000 (RM147,496) disebabkan tubuhnya terlalu besar bagi menjalani pembedahan.

"Tiada sesiapa yang mahu bersimpati dengan nasib orang gemuk," kata Sharon.

Pada mulanya, berat badannya normal ketika dia berkahwin pada usia 20-an.

Berat badannya bertambah selepas dia menjadi penagih makanan kesan daripada tekanan selepas melahirkan anak. - Agensi


Wednesday, July 7, 2010

Syiling dua juta euro di lebuh raya


BEBERAPA pekerja lebuh raya mengutip duit syiling dua juta euro di Foggia.


ROM - Sebuah trak yang membawa duit syiling sebanyak dua juta euro (RM8.09 juta) terbalik di sebuah lebuh raya tetapi malangnya beberapa orang sempat melarikan 10,000 duit syiling euro (RM40,516), kata polis kelmarin.

Menurut polis di Foggia selatan Itali, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu semasa trak tersebut dalam perjalanan dari sebuah kilang duit syiling ke bank-bank tempatan.

Pemandu trak dan seorang penumpang mengalami cedera ringan dalam kemalangan itu.

Beberapa orang yang merupakan pengguna lebuh raya itu melarikan duit syiling berkenaan sebelum ketibaan polis. - AP


Tuesday, July 6, 2010

Janda tinggal dengan mayat suami


GAMBAR menunjukkan Jean memegang potret suami dan dirinya yang dirakamkan pada 1940-an.


WYALUSING, Pennsylvania - Seorang janda berusia 91 tahun, Jean Stevens tinggal di sebuah rumah bersama mayat suami dan kakak kembarnya yang disimpannya selama lebih sepuluh tahun sebelum pihak polis mengetahui situasi yang menyeramkan itu.

"Saya amat sukar menerima kematian," kata Jean dengan nada terkejut.

Apabila ditanya, dia tidak ingat siapa yang membantunya menggali mayat itu.

Jean menyalahkan seorang saudara mendiang suaminya kerana melaporkan perkara itu kepada polis.

Suaminya selama hampir 60 tahun, James Stevens meninggal dunia pada tahun 1999 akibat penyakit Parkinson manakala kakak kembarnya pula June Stevens meninggal dunia pada Oktober tahun lalu kerana kanser.

Mayat itu kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa wilayah Bradford.

Mayat kakaknya itu pada mulanya ditanam di belakang rumahnya.

"Dengan cara ini (menyimpan mayat dalam rumah) saya boleh menyentuh, melihat dan bercakap dengannya." katanya.

Dia menyimpan mayat kakaknya yang dipakaikan kot terbaiknya di atas satu sofa lama di dalam sebuah bilik kosong dan turut menyemburkan kakaknya dengan minyak wangi mahal kegemarannya.

Suaminya yang sebelum ini pernah dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumahnya dipakaikan sut gelap, kemeja putih dan tali leher berwarna biru.

Dia disimpan di atas sebuah sofa di dalam sebuah garaj.

Jean mungkin berdepan tuduhan 'mendera' mayat yang disifatkan sebagai satu kesalahan jenayah. - AP


Wednesday, June 30, 2010

Lelaki 90 tahun rogol empat beradik


KARL JOSEPH KRAUS (tengah) diiringi oleh beberapa anggota polis selepas ditangkap di Chiang Mai kelmarin.


BANGKOK - Seorang lelaki Australia berumur 90 tahun, Karl Joseph Kraus ditangkap dan didakwa merogol empat beradik perempuan di bawah umur di utara Thailand dengan menggunakan coklat import dan belajar bahasa Inggeris di rumahnya sebagai umpan untuk memerangkap mereka, kata polis semalam.

Dia ditangkap kelmarin di rumahnya dekat bandar Chiang Mai.

Menurut Ketua Polis Doi Saket, Kritapol Yeesakorn, polis turut merampas kira-kira 100 gambar bogel kanak-kanak.

Dia berkata, beberapa gambar menunjukkan Kraus bergambar bogel dengan sejumlah kanak-kanak dan polis kini sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti kanak-kanak berkenaan.

Ketua polis itu berkata, Kraus yang tinggal di Thailand lebih sedekad lalu memujuk keluarga budak perempuan itu pada 2008 dengan menawarkan pembelajaran bahasa Inggeris.

"Dia (Kraus) akan mengumpan budak perempuan itu ke rumahnya dengan gula-gula, terutamanya coklat dari luar negara yang mahal dan meminta mereka melakukan perlakuan seks dengannya," kata Kritapol.

Menurutnya, baru-baru ini, Kraus memberi wang kepada kakak sulung empat beradik itu sebanyak 4,000 baht (RM400) bagi menggantikan gula-gula.

Ibu bapa empat beradik itu mengetahui perbuatan terkutuk tersebut selepas mendapati anak-anak mereka tidak berminat untuk keluar bermain di luar rumah.

Selepas ditanya, empat anak mereka itu yang berumur tujuh, 11 dan 12 tahun memberitahu perbuatan buruk Kraus menyebabkan satu aduan polis dibuat. - Agensi


Monday, June 21, 2010

Bekas jurutera cipta basikal gergasi


WOUTER VAN DE BOSCH mengayuh basikal ciptaannya di Arnhem, Belanda baru-baru ini.


ARNHEM - Seorang pelajar jurusan seni di Belanda, Wouter van den Bosch mencipta sebuah basikal gergasi seberat 450 kilogram dengan menggunakan peralatan yang didermakan oleh rakan-rakannya selain sebuah syarikat traktor, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki berusia 39 tahun dari sini yang juga seorang bekas jurutera mekanikal menjadi sensasi di laman YouTube selepas klip video dia mengayuh basikalnya ditonton lebih 600,000 kali dalam tempoh dua minggu.

Dia mengambil masa tiga bulan untuk menjadikan basikal raksaksa itu bergerak di atas jalan raya dengan menggunakan besi, beberapa tiub, rangka basikal dan sebuah tayar traktor.

Bosch yang memiliki hobi melakukan pengubahsuaian ekstrem pada kenderaan sejak beberapa tahun lalu, mencipta basikal tersebut sebagai projek seni pada tahun akhir pengajiannya.- Agensi


Wednesday, June 16, 2010

Sultan Brunei ceraikan Azrinaz talak satu


GAMBAR fail menunjukkan Sultan Hassanal Bolkiah (tiga dari kiri) dengan isteri pertamanya, Raja isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (kiri) dan Azrinaz Mazhar Hakim pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2006.


BANDAR SERI BEGAWAN - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan perceraian dengan isterinya dari Malaysia, Azrinaz Mazhar Hakim yang merupakan bekas wartawan penyiaran stesen televisyen TV3 malam semalam di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah, 63, yang merupakan salah seorang lelaki terkaya di dunia berkahwin dengan Azrinaz pada 2005.

Azrinaz yang berumur 30 tahun melahirkan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

Berita mengenai perceraian itu diumumkan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar menerusi pengumuman khas di stesen televisyen Radio Televisyen Brunei pada pukul 8 malam.

Beliau membacakan kata-kata pujian kepada Allah sebelum mengumumkan mengenai berita perceraian itu.

Semasa membuat pengumuman tersebut, beliau lengkap berkot dan bersongkok dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu dengan tenang.

"Maka pada petang Rabu tiga haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 Masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pangeran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar," katanya.

Beliau turut mengumumkan semua gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah telah ditarik balik mulai tarikh perceraian.

Pada pengumuman khas itu, beliau menyatakan perceraian itu dilakukan atas sebab-sebab khas tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa perceraian itu dibuat dengan dipandu dan ditentukan dengan hukum syarak dan menepati ayat suci al-Quran, surah al-Baqarah dari sebahagian ayat 229 iaitu menikahi dengan baik dan melepaskan juga dengan baik.

Pengumuman itu dibuat selepas tersebarnya khabar angin mengenai perpisahan mereka di Bandar Seri Bagawan.

Menurut agensi berita AP, ia merupakan perceraian yang kedua buat Sultan Hassanal Bolkiah yang mempunyai anggaran kekayaan sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM65.25 bilion).

Baginda bercerai buat pertama kali dengan seorang bekas pramugari, Mariam Abdul Aziz yang mempunyai darah keturunan Brunei, Jepun dan Scotland pada Februari 2003 selepas 21 tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, Sultan Hassanal Bolkiah mengekalkan perkahwinan dengan isteri pertama, Raja Isteri Pangiran Hajah Anak Saleha yang dikahwininya pada 1967.

Putera sulung baginda, Putera Al-Muhtadee Billah Bolkiah kini merupakan Putera Mahkota dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan.

Sultan Hassanal Bolkiah mula memerintah pada 5 Oktober 1967 selepas ayahanda baginda turun takhta.

Kekayaan Sultan Hassanal Bolkiah menjadi legenda di kalangan golongan kaya.

Semasa bermain polo dengan pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera Charles, kasut baginda untuk bermain polo telah dihantar dengan menggunakan helikopter. - Agensi


Tuesday, June 8, 2010

Telur ayam gergasi di Georgia


GAMBAR menunjukkan ayam betina yang bertelurkan telur ayam gergasi (kanan) di Zestafoni, Georgia.


TBILISI, Georgia - Seekor ayam betina milik seorang penternak haiwan, Murman Modebadze di bandar Zestafoni, 200 kilometer dari sini, bertelurkan sebiji telur gergasi baru-baru ini.

Telur gergasi itu sepanjang 82 milimeter (mm), 62mm lebar dan berat 170 gram.

Keluarga penternak itu telah membuat permohonan untuk memasukkan telur gergasi itu dalam buku rekod Guinness. - AFP


Tuesday, June 1, 2010

Kedai seks untuk suami isteri


KHADIJA ahmed berbual dengan seorang pelanggannya di kedai seks miliknya di Isa, utara Manama pada 19 Mei lalu.


MANAMA - Seorang wanita berpurdah, Khadija Ahmed, 32, membuka sebuah kedai barangan seks yang pertama di Bahrain khas untuk pasangan suami isteri.

Wanita itu berkata, dia tidak menganggap satu kesalahan untuk menjual produk seks seperti pelincir dan beraneka alat permainan seks termasuk vibrator kerana menurutnya, Islam tidak mengharamkan kenikmatan di bilik tidur.

"Ia bukan kedai seks seperti yang terdapat di Barat," kata wanita itu.

"Kedai ini bertujuan untuk membantu pasangan yang telah berkahwin dan hanya pasangan suami isteri dapat menikmati seks dengan sepenuhnya," tambahnya.

Kedai tersebut yang bernama Dar Khadija, dilancarkan secara dalam talian pada 2007 tetapi Khadija memutuskan untuk membuka perniagaan itu ekoran sambutan menggalakkan daripada pelanggan. - AFP

Sunday, May 30, 2010

Perompak tersangkut di bumbung rumah


GAMBAR menunjukkan seorang perompak remaja tersangkut di sebuah bumbung rumah di Heaton baru-baru ini.


HEATON, Britain - Salah seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk sebuah rumah di sini terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan apabila dia tersangkut di atas bumbung rumah yang dimasukinya itu.

Remaja yang berpakaian hitam itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah selepas kehadiran mereka dikesan oleh pemilik rumah tersebut, Damiano Rea, 31, yang baru pulang.

Pemilik rumah itu mendapati pintu depan rumahnya terbuka manakala kelibat perompak itu berada di ruang tamu menyebabkan dia kemudian mengejar mereka yang melarikan diri ke atas bumbung.

Namun, salah seorang perompak itu terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba dengan menggunakan sebuah tangga bertingkat setelah dia tersangkut di atas bumbung, baru-baru ini.

Dua lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan terjun dari bumbung berkenaan.

Seorang pegawai polis, Kev Benson berkata, pihak polis menerima satu panggilan telefon dari seorang pemilik rumah pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan yang mengatakan terdapat seseorang yang berada di atas bumbung rumah.

"Kami tiba di tempat kejadian bersama skuad polis helikopter dan mendapati seorang remaja berada di atas bumbung rumah itu.

"Dengan bantuan pasukan bomba, remaja tersebut dibawa turun dan diselamatkan pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan dan dia ditangkap kerana disyaki merompak," katanya.

Remaja berusia 14 tahun itu ditangkap kerana mencuri dan akan didakwa di mahkamah bulan depan. - Agensi


Friday, May 28, 2010

Wanita miliki paling banyak tatu


JULIA menunjukkan tatu pada perutnya.


NEW YORK - Seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Julia Gnuse mencipta rekod dunia Guinness World Records apabila dia memiliki tatu paling banyak di tubuhnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang menetap di Foothill Ranch, Lake Forest, California menghadiri pesta buku di sini kelmarin dengan menunjukkan 95 peratus tubuhnya dipenuhi tatu termasuk lukisan hutan dan kartun sehingga menampilkan wajah pelakon terkenal.

Menceritakan kenapa dia mempunyai banyak tatu, Julia berkata, pada mulanya dia membuat tatu di kakinya yang mengalami penyakit kulit melepuh apabila terdedah pada cahaya matahari.

Dia kemudian bertatu di perut, lengan dan belakang badan.

Menurutnya, dia kemudian menjadi seorang wanita yang ketagih tatu. - Agensi


Friday, May 21, 2010

Remaja perempuan bertukar jadi lelaki




DESA TAMBAKSARI KIDUL, Indonesia - Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di sini, Maemunah (gambar) mendakwa kemaluannya berubah menjadi lelaki, lapor beberapa media semalam.

Dia kini telah mengubah namanya menjadi Mei Purnomo dan berhasrat untuk mengesahkan identitinya sebagai lelaki dalam surat beranak.

Namun, pihak berkuasa di kampungnya di Jawa Tengah enggan mengesahkan dia sebagai lelaki sebelum mendapat bukti pengesahan rasmi daripada agensi kesihatan.

"Sehingga kini nama remaja itu yang tercatat di desa ini masih Maemunah. Kami menunggu keputusan pengadilan mengenai status kelaminnya," ujar Ketua Kampung Desa Tambak Sari Kidul, Joko Suryanto.

Seorang ketua badan kesihatan di kampung itu, Dr. Widayanto MKes berkata: "Dia (Maemunah) perlu menjalani ujian deosiribonukleik (DNA). Kromosomnya perlu dilihat sama ada dia lelaki atau perempuan."

Menurut ibu remaja itu, anaknya semasa dilahirkan mempunyai jantina perempuan.

"Bidan yang membantu saya melahirkannya mengatakan anak saya perempuan," ujar ibunya, Sarni.

Namun, menurut remaja itu, semasa berumur 10 tahun, dia berasa terdapat perubahan pada tubuhnya yang menunjukkan dirinya seorang lelaki.

Remaja itu mengakui bahawa dia turut mempunyai perasaan meminati wanita dan bukannya lelaki.

- Agensi

Wednesday, May 19, 2010

71 penyu gergasi dirampas

Kalau penyu tu idup lagi ok juga, kalau dah mati, bagi je depa makan...


SEORANG pegawai mengukur seekor penyu gergasi yang dirampas dari seorang peniaga makanan di Bali semalam.


DENPASAR - Polis Indonesia semalam merampas sebanyak 71 ekor penyu hijau gergasi yang diancam kepupusan dari sebuah warung milik seorang peniaga makanan di Bali di sini, kata seorang ketua detektif tempatan, Kolonel Andi Taqdir Rahmantiro.

Pemilik gerai itu ditahan oleh pihak polis semasa sejumlah ekor penyu tersebut dengan berat purata sekitar 200 kilogram dijumpai di dalam rumah gudang miliknya.

Andi Taqdir berkata, pemilik memberitahu polis dia membeli penyu tersebut dengan purata saiz lebih satu meter daripada beberapa nelayan yang menangkap haiwan berkenaan di pesisir pulau Sulawesi.

Daging penyu merupakan hidangan tradisi penduduk beragama Hindu di Bali. - AP