

ORLANDO - Seorang pelatih wanita maut dalam mulut seekor ikan paus selepas haiwan itu menyambar mangsa dari platform sebuah kolam di taman tema Sea World di Amerika Syarikat (AS) dengan mengheretnya ke dalam air kolam.
Wanita itu, Dawn Brancheau, 40, dilemaskan oleh ikan paus jantan seberat lima tan yang bernama Tillikum kelmarin.
Semasa kejadian, mangsa sedang menggosok perut Tillikum selepas satu pertunjukan tengah hari di hadapan kira-kira 50 penonton.
"Tanpa amaran, paus itu menyambar mangsa dan enggan melepaskannya. Ia mengerikan," kata seorang penonton yang menyaksikan kejadian tersebut.
Penonton-penonton yang terkejut melihat kejadian itu bergegas meninggalkan stadium di kolam tersebut manakala sebahagian taman tema itu ditutup.
Pihak pengurusan Sea World kemudiannya menghentikan semua persembahan ikan paus yang berusia 30 tahun itu.
Sebelum ini, Tillikum telah menyebabkan kematian dua pelatih.
Seorang penonton, Eldon Skaggs berkata, dia sebelum ini pernah mendengar bahawa ikan itu bersifat degil dan sukar dikawal. - Agensi
TUCSON - Sebuah kawasan gurun seluas 1,052 hektar di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson di Amerika Syarikat (AS) dijadikan tempat menyimpan 4,200 pesawat lama termasuk jet pejuang bernilai AS$35 bilion (AS$118.73 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.
Ia dijadikan alat ganti untuk pesawat yang kini digunakan Tentera Udara AS.
Enjin, peluru, pendawaian elektrik dan elektronik pesawat lama itu dikitar semula untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat-pesawat tentera masa kini.
Pada 2005, kakitangan di pusat itu mengitar semula lebih 19,000 komponen pesawat-pesawat tersebut yang bernilai AS$568 juta (RM1.92 bilion).
Gurun itu merupakan tempat paling sesuai untuk menyimpan barang besi kerana kelembapan yang rendah dan hujan menyebabkan badan pesawat tidak dipenuhi karat.
Pihak tentera menggunakan kawasan gurun itu sebagai tempat simpanan pesawat sejak 60 tahun lalu.
Kawasan gurun yang unik itu pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Transformers. - Agensi
MAKKAH: Harga tanah sebesar semeter persegi di beberapa kawasan di Makkah kini didakwa mencecah SR500,000 (RM453,644) dan ia dijangka meningkat lagi selari dengan projek pembesaran Masjidil Haram.
“Harga tanah meningkat dari masa ke semasa sepanjang tempoh projek pembesaran Masjidil Haram yang bertujuan meningkatkan kapasiti jemaah.
“Nilai tanah di sekitar Masjidil Haram kini terlalu mahal, apatah lagi yang terletak hampir dengannya. Malah ia kini lebih bernilai daripada emas dan berlian,” kata pelabur hartanah, Ahmad Al-Ghamdi.
Beliau menyatakan, pelabur bagaimanapun berlumba-lumba memiliki tanah di sekitar kawasan itu kerana pulangan lumayan yang bakal mereka peroleh.
“Jutaan umat Islam membanjiri bandar ini sepanjang tahun dan atas sebab itu Makkah memerlukan lebih banyak bangunan untuk memenuhi keperluan mereka.” Pada masa sama, nilai tanah di kawasan yang berjauhan dengan Masjidil Haram turut dilapor meningkat akibat projek pembesaran itu. (bacaan lanjut)
SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara 10 minggu selepas mengaku bersalah menghempas seekor kucing ke dinding hingga haiwan itu mati.
Seorang wanita melihat ZamZam Ismail, 41, menghayun dan menghempas kucing itu ke dinding sebelum membuangnya 1 Januari lalu. Saksi melaporkan tindakan itu kepada polis dan juga Pertubuhan Menghalang Kekejaman ke atas Haiwan (SPCA).
“SPCA menyokong keputusan ini,” kata pegawai eksekutif, Deirdre Moss.
Beliau turut menggesa orang ramai memberi maklumat kepada agensi itu andai melihat haiwan dianiaya.
“Banyak kes gagal diselesaikan kerana tiada saksi atau bukti kami peroleh. Penganiayaan terhadap haiwan adalah satu jenayah,” katanya lagi.
SPCA menyiasat 864 kes pada tahun lalu, meningkat 13 peratus berbanding 2008. - AFP
KUALA LUMPUR - Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.
Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan semalam, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.
Tan Sri Robert Kuok, 86, dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota 'Raja Gula' tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.
Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan, 72, berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.
WASHINGTON - Sekumpulan penyelidik antarabangsa mendapati firaun terkenal, Tutankhamun atau lebih dikenali sebagai Firaun Tut memiliki kaki bengkok sebelah dan berjalan menggunakan tongkat, kata laporan kajian yang disiarkan semalam.
Penyelidik-penyelidik dari Mesir, Itali dan Jerman dalam kajian itu mendedahkan penemuan tersebut menerusi ujian genetik moden dan teknologi komputer bagi mengesan rahsia misteri Tut yang meninggal dunia semasa berusia 19 tahun.
Mereka mendapati Tut yang menduduki takhta selama sembilan tahun iaitu dari 1333 hingga 1324 Sebelum Masihi (SM) mati akibat penyakit malaria dan bukan disebabkan kes kemalangan, keracunan makanan atau sengaja dibunuh.
Hasil maklumat kromosom Y, penyelidik mendapati Akhenaten iaitu firaun kontroversi yang memerintah dari 1351 hingga 1334 Sebelum Masihi ialah bapa Tutankhamun.
Namun, ibu Tut ialah adik Akhenaten.
Ia menunjukkan bahawa Tut anak hasil hubungan sumbang mahram.
Penyelidik mendapati, tiada bukti Tutankhamun dan bapanya memiliki bentuk fizikal seperti wanita seperti gambaran yang terdapat pada kebanyakan artifak berusia 3,000 tahun. - AFP
WASHINGTON - Majlis Fikah Amerika Utara mengeluarkan fatwa dengan memberi peringatan supaya penumpang beragama Islam tidak melalui alat pengimbas bogel di lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.
"Ia merupakan satu pelanggaran jelas ajaran Islam mengenai lelaki dan wanita dilihat berbogel oleh lelaki dan wanita lain," kata fatwa tersebut.
Larangan itu merupakan tamparan hebat berhubung penggunaan mesin X-ray yang ditempatkan di Lapangan Terbang Heathrow dan Manchester, Britain.
Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 40 alat pengimbas di 19 buah lapangan terbang dan dijangka meningkat sehingga 450 unit pada hujung tahun ini.
Penempatan mesin itu dibuat sebagai sebahagian daripada kawalan keselamatan selepas seorang warga Nigeria, Umar Farouk cuba meletupkan bom dalam seluar dalamnya semasa dia menaiki pesawat komersial ke AS pada 25 Disember tahun lalu.
Umar kini ditahan di sebuah penjara di AS. - Agensi
SEATTLE - Imej kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang remaja perempuan sedang dibelasah manakala tiga pengawal keselamatan cuma memerhatikannya tanpa memberi sebarang pertolongan telah mencetuskan kemarahan di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Mangsa ditumbuk dan ditendang berulang kali di kepala dalam pergaduhan tersebut berdasarkan imej yang boleh dilihat di YouTube.
Walaupun remaja perempuan berumur 15 tahun itu terbaring di tepi jalan, tiga pengawal tersebut tidak datang untuk melihatnya sama ada dia cedera parah.
Ketua tempat pengawal keselamatan itu bekeja berkata, dasar syarikat tidak membenarkan kakitangan-kakitangannya terlibat dalam pergaduhan tetapi mereka dibenarkan membuat laporan.
Namun, stesen-stesen televisyen dan media dihujani dengan aduan mengenai sikap pengawal keselamatan yang tidak membuat sebarang tindakan bagi membantu remaja berkenaan.
Mangsa itu percaya bahawa pengawal keselamatan di sebuah perhentian bas di Seattle, Washington dapat melindunginya daripada diserang oleh seorang remaja.
"Saya menghampiri pengawal keselamatan itu dan memberitahu mereka bahawa terdapat remaja lain yang mahu memukulnya," kata kenyataan gadis itu dalam dokumen mahkamah.
Gadis yang berkulit hitam memberitahu bahawa kumpulan remaja yang mahu membelasahnya itu mendakwa dia berlagak seperti orang berkulit putih.
Namun, gadis itu tidak perlu mendapatkan sebarang rawatan perubatan dan semasa kejadian dia melindungi dadanya daripada ditendang. - Agensi
Ikut syariat Islam lelaki boleh tengok muka dan tangan sebelum meminang seseorang perempuan untuk dijadikan isteri.
Isteri duta berjanggutDUBAI: Seorang duta Arab mengambil keputusan membatalkan perkahwinannya selepas mendapati wanita yang baru dinikahinya berjanggut dan juling.
Duta berkenaan mendakwa, ibu wanita itu menipu ibunya apabila dia melawat bakal isterinya, warga Teluk, dengan menunjukkan gambar adik pengantin perempuan.
Dalam samannya, dia turut meminta keluarga pengantin perempuan membayar semula 500,000 dirham (RM467,000) yang didawanya dibelanjakan untuk barang kemas, pakaian serta hadiah lain.
Sementara itu, pengantin perempuan, dalam perbicaraan kes itu, mendesak hakim menolak tuntutan pengantin lelaki dan menuntut dia membayar nafkah.
Menurut laporan, duta itu meminta mahkamah Syariah merujuk wanita berkenaan kepada pakar bagi menjalani pemeriksaan masalah hormon.
Bagaimanapun, selepas menjalani pemeriksaan, wanita itu didapati tidak menghadapi masalah berkenaan.
Hakim akhirnya meluluskan perceraian mereka tetapi menolak tuntutan lelaki itu supaya pengantin perempuan mengembalikan hantaran perkahwinan. - Agensi
MIDDLETOWN - Penduduk Connecticut di Amerika Syarikat (AS) gempar apabila satu letupan kuat berlaku di sebuah loji tenaga di sini kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan usaha mencari mangsa yang hidup dan maut di bawah runtuhan loji Kleen Energy yang masih lagi dalam pembinaan selepas letupan berlaku pada pukul 11.17 pagi waktu tempatan.
Menurut beberapa pegawai mereka tidak tahu berapa ramai orang yang berada di dalam loji itu semasa kejadian berlaku.
"Setakat ini 12 orang cedera dan lima orang telah meninggal dunia," kata Datuk Bandar Middletown, Sebastian Giuliano pada satu sidang akhbar dan memberitahu, letupan itu menyebabkan banyak tingkap rumah pecah dan kediaman di sekitar loji tersebut bergegar.
Api yang marak mengakibatkan asap tebal menyelubungi langit manakala seorang penduduk, Scott Harmann mendakwa letupan itu menghasilkan satu bola api yang kuat sehingga banyak tingkap pecah.
![]() |
GAMBAR menunjukkan loji Kleen Energy selepas letupan di Middletown kelmarin. |
Seorang lagi penduduk, Mike Woronoff berkata, dia terdengar satu letupan kuat walaupun rumahnya terletak 3.2 kilometer dari loji itu.
Menurutnya, beberapa rakannya yang tinggal 24 kilometer dari situ turut mengakui mendengar letupan itu.
Seorang pegawai bomba tempatan berkata, dianggarkan 50 pekerja berada di loji itu.
Namun Giuliano mendakwa pada kebiasaannya hampir 200 orang bekerja di loji berkenaan pada setiap hari. - AFP
![]() |
IMEJ yang dirakamkan dari stesen berita Iran, Press TV menunjukkan pelancaran roket Kavoshgar 3 yang membawa satelit buatan sendiri Iran dari sebuah lokasi yang tidak didedahkan, semalam. - AFP |
TEHERAN 3 Feb. - Iran hari ini berjaya melancarkan sebuah roket satelit yang membawa tikus, penyu dan cacing ke dalam orbit, dalam ujian yang meningkatkan lagi kebimbangan Barat bahawa Republik Islam ini mahu menggunakan industri nuklear dan angkasa lepasnya untuk membina senjata atom dan peluru berpandu.
Roket Kavoshgar 3 (Pengembara) itu membawa sebuah 'kapsul eksperimen', lapor stesen televisyen kerajaan, Al-Alam.
"Kapsul tersebut membawa haiwan hidup, iaitu seekor tikus, serta beberapa ekor penyu dan cacing. Kapsul berkenaan boleh menghantar balik data empirikal," menurut laman web stesen itu.
Televisyen kerajaan menyiarkan rakaman sebuah roket dilancarkan dari sebuah tapak pelancaran di padang pasir.
Beberapa minit kemudian, imej televisyen menunjukkan kapsul tersebut berpisah daripada roket dan beredar dalam orbit.
Siaran televisyen juga menunjukkan Presiden Mahmoud Ahmadinejad mempamerkan kepada umum sebuah lagi roket pengangkut satelit buatan Iran, dikenali sebagai Simorgh.
Roket berbentuk botol susu itu, berwarna biru dengan tulisan 'Pengangkut Satelit Simorgh' tertera padanya, berkeupayaan untuk membawa sebuah satelit 100 kilogram sejauh 500 kilometer ke dalam orbit.
Kedua-dua acara itu adalah sebahagian daripada sambutan meraikan hari ulang tahun ke-31 penubuhan Republik Islam Iran.
Satelit pertama Iran, Omid (Harapan) dilancarkan pada Februari tahun lepas sempena hari ulang tahun ke-30 peristiwa tersebut.
Pelancaran itu mencemaskan kuasa Barat yang khuatir pembangunan teknologi Iran boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Barat mengesyaki Iran cuba membina bom nuklear secara rahsia dan bimbang teknologi yang digunakan untuk melancarkan roket ke angkasa lepas boleh disalurkan untuk membangunkan peluru berpandu balistik jarak jauh yang boleh membawa senjata nuklear.
Teheran menafikan program angkasa lepas atau nuklearnya mempunyai matlamat ketenteraan. - AFP