WAK PUNYA GENG

Thursday, October 22, 2009

Perompak minta maaf pada mangsa

INDIANAPOLIS - Seorang perompak di Amerika Syarikat (AS), Gregory Smith, 23, menangis selepas mangsanya memberikan ceramah kerohanian kepadanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai pinjaman tunai di sini pada Isnin lalu menunjukkan Smith cuba menyamun premis itu.


SMITH mengacukan senjata.


Namun, dia yang bersenjata api didapati insaf dan duduk melutut setelah kerani wanita kedai itu memberi ceramah agama sebelum mereka berpelukan sambil berdoa hampir 10 minit.

Smith dipercayai memberitahu mangsa yang dia mempunyai seorang anak berusia dua tahun dan memerlukan wang untuk menyara hidup sebelum melarikan wang tunai AS$20 (RM68).

Polis berkata, suspek yang turut menyamun telefon bimbit mangsa kemudian menyerah diri dan dia kini didakwa merompak dan memiliki senjata api tanpa lesen. - Agensi

Bulu tebal tumbuh pada kulit budak


FENGKAI, China - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengejutkan doktor-doktor di China selepas tubuhnya ditumbuhi bulu tebal berwarna kelabu mirip bulu babi hutan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian aneh yang menimpa kanak-kanak itu, Li Xiaoyuan di Fengkai, selatan China bermula beberapa bulan lalu apabila bulu mula tumbuh pada tahi lalat di belakangnya sebelum merebak dengan pantas ke belakang tubuhnya, tangan, kaki dan wajah budak itu.

"Kami sekeluarga amat sedih melihat dia merana kerana kejadian aneh ini," kata ibunya, Li Jiang.

Pakar Bedah Hospital Kulit Bandar Raya Zhaoqing, Dr. Lou Zhongquan ketika diminta mengulas mengenai penyakit ganjil itu berkata, budak perempuan tersebut mungkin menghidap sejenis penyakit yang jarang berlaku.

Menurutnya, penyakit itu menyebabkan tahi lalat tumbuh secara tidak normal.

"Sekiranya, tahi lalat itu kecil dan sedikit, kami boleh merawatnya dengan menggunakan laser tetapi jika kami membuangnya menerusi pembedahan, pendarahan selepas pembedahan mungkin berlaku," katanya. - Agensi

Wednesday, October 21, 2009

Fosil dinosaur terkecil di muzium LA


LOS ANGELES - Fosil milik dinosaur terkecil di dunia yang dinamakan Fruitadens haagarorum kini ditempatkan di Muzium Sejarah Semulajadi Institut Dinosaur di Los Angeles (LA) selepas ia ditemui di Amerika Utara, kata beberapa saintis kelmarin.

Pengarah muzim tersebut, Luis Chiappe berkata, spesies itu memiliki berat cuma 900 gram dengan tinggi 10 sentimeter manakala panjang dari kepala hingga ekornya hanya 60 sentimeter.

"Ia seperti watak kartun popular iaitu road runner," kata Chiappe.

Dinosaur itu yang mampu berlari dengan amat pantas, dipercayai memakan tumbuhan dan serangga pada penghujung zaman Jurasik iaitu kira-kira 150 juta tahun dahulu.

Rangka empat haiwan itu termasuk tengkorak, serpihan kaki dan lengan ditemui tiga dekad lalu di Fruita, barat negeri Colorado dan disimpan di muzium berkenaan. - AP

Tuesday, October 20, 2009

Ros biru dijual bulan depan


TOKYO - Syarikat Suntory Ltd. di Jepun semalam mengumumkan bunga ros biru yang pertama di dunia hasil modifikasi genetik akan dijual pada bulan depan.

Menurut syarikat itu, kajian mengenai bunga ros biru itu dilakukan sejak 20 tahun lalu, Ros biru pertama dihasilkan pada 2004 dengan kerjasama firma bioteknologi Australia, Florigene Pty Ltd.

Ros biru yang dinamakan Applause itu merupakan gabungan gen warna biru yang terdapat pada bunga lain tetapi dimasukkan ke dalam bunga ros.

Selepas memperoleh kelulusan dan hak jualan daripada kerajaan Jepun, sekuntum ros biru itu akan dijual pada harga mencecah 3,000 yen (RM111), jauh lebih mahal berbanding ros merah. - Agensi

Ayat al-Quran pada kulit bayi


MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.

Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.

Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.

Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi



Monday, October 19, 2009

Helikopter polis ditembak jatuh


RIO DE JANEIRO 18 Okt. – Sekumpulan pengedar dadah menembak jatuh sebuah helikopter polis dan membunuh dua pegawai dalam satu pertempuran dengan penjenayah, hanya dua minggu selepas bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.

Sepuluh orang dipercayai pengedar dadah turut terbunuh bersama dua penduduk yang berada di tempat kejadian di kawasan setinggan paling padat, kata para pegawai.

Peluru yang bersimpang siur dari kumpulan Morro dos Macacos (digelar Monkey Hill dalam bahasa Portugis) di kawasan setinggan di selatan Rio de Janeiro itu mengena kaki juruterbang polis, menyebabkan helikopternya hilang kawalan lalu jatuh terhempas.

Akibatnya, dua pegawai terbunuh manakala juruterbang dan tiga anggota polis lain yang berada dalam pesawat tersebut terselamat dalam kejadian itu. Juruterbang dan pegawai kedua bagaimanapun parah terkena tembakan manakala dua pegawai lagi terbakar sebahagian anggota badan, kata ketua polis tentera negeri Rio.

Para pegawai bagaimanapun tidak pasti apakah helikopter berkenaan menjadi sasaran tembakan oleh kumpulan penjenayah atau ia terkena peluru sesat, tetapi pasukan keselamatan akan terus meningkatkan tahap keselamatan di bandar raya kedua terbesar Brazil itu.

Mereka berkata, sekurang-kurangnya lapan buah bas turut musnah terbakar di beberapa kawasan setinggan lain. Serangan senjata automatik yang diguna para penjenayah dalam serangan terburuk di bandar raya itu telah mendapat liputan televisyen hampir sebulan.

Polis Rio sering mengguna helikopter untuk menangani pengedar dadah yang mendominasi perniagaan dadah di bandar raya yang diduduki oleh lebih 1,000 kawasan setinggan, tetapi inilah kali pertama kejadian helikopter yang diguna menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Bandar raya berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik pada 2 Oktober lalu, mengalahkan Chicago, Madrid dan Tokyo yang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah temasya terbesar itu.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lila da Silva dan para pegawai lain telah menafikan ancaman keganasan terhadap temasya Olimpik, dengan mengatakan Rio telah berulang kali membuktikan ia berjaya menganjurkan acara besar seumpamanya tanpa menggugat pemain atau penonton.

Rio berjaya menganjurkan Sukan Pan-Amerika 2007 dengan cemerlang tanpa sebarang kejadian tidak diingini, dengan mengerahkan lebih 15,000 pegawai yang dilatih khas. – AP

Gadis 16 tahun mula belayar solo


SYDNEY - Seorang remaja berumur 16 tahun, Jessica Watson (gambar) memulakan pelayaran dari Pelabuhan Sydney semalam bagi mencipta rekod sebagai pelayar solo termuda dunia mengelilingi dunia.

Dia yang menaiki sebuah kapal layar berwarna merah jambu merancang untuk belayar sejauh 38,000 kilometer dan akan melalui beberapa laluan sukar di dunia.

Sebelum ini terdapat perdebatan sama ada dia yang masih terlalu muda dibenarkan untuk melakukan aktiviti berbahaya itu.

Namun, keluarganya menegaskan bahawa Jessica merupakan seorang ahli pelayaran yang berpengalaman dan telah mempelajari prosedur navigasi.

Remaja itu tidak bercakap dengan pemberita semasa berlepas tetapi ibunya, Julie Watson memberitahu perkembangan pelayaran anaknya di laman blog Internet. - AP

Saturday, October 17, 2009

Berebut ikan gergasi dengan buaya


SEORANG guru seni dari Ireland Utara, Tim Smith terpaksa bertarung dengan seekor buaya besar sebelum berjaya menangkap seekor ikan raksasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia bersaing dengan reptilia itu dan secara kebetulan berebut menangkap ikan yang sama semasa memancing di atas sebuah bot kecil di sungai Victoria Nile, Uganda baru-baru ini.

Smith, 39, yang bertugas di Portora Royal School di Enniskillen dekat sini mendakwa, dia 'bertarung' selama 45 minit sebelum memperoleh ikan kerakap seberat 113 kilogram.

Buaya tersebut sudah pun membuka rahang mulutnya untuk membaham Smith sebelum dia menghidupkan enjin bot dan segera menuju ke arah kawasan air terjun Murchison.

"Saya melihat buaya itu meluru ke depan bot saya dan cuba menarik ekor ikan kerakap tetapi ia gagal berbuat demikian kerana saiz ikan ini amat besar sebelum buaya itu merempuh kuat bot saya pula," katanya.

Ikan air tawar sepanjang 1.82 meter yang dipancing Smith itu turut mengatasi rekod ikan kerakap terbesar sebelum ini dan pernah ditangkap di kawasan sama yang beratnya 104 kilogram. - Agensi

Friday, October 16, 2009

Artik jadi laut dalam tempoh 10 tahun


LONDON 16 Okt. - Bongkah ais di Artik akan cair sepenuhnya semasa musim panas menjelang 20 hingga 30 tahun dari sekarang, demikian menurut penemuan terbaru oleh satu pasukan penyelidikan di kutub utara.

Menurut ekspedisi yang diketuai pengembara, Pen Hadow berkata, kemungkinan besar kutub utara tidak akan mempunyai ais semasa musim panas dalam tempoh sedekad.

Pengembara veteran, Hadow dan dua lagi rakyat Britain yang menjelajah kutub utara selama 73 hari dalam musim bunga, mengambil lebih 6,000 ukuran dan pemantauan ais laut di sana. Data mentah yang diperoleh dari Mac hingga Mei lalu telah dianalisis dan seterusnya memberikan ramalan mengenai keadaan bongkah ais.

"Liputan ais musim panas akan hilang sepenuhnya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun tetapi dalam masa kurang daripada itu ia akan berkurangan dengan banyak.

"Dalam masa 10 tahun, kawasan Artik akan menjadi laut lepas," kata ketua kumpulan fizik lautan polar dari Universiti Cambridge, Profesor Peter Wadhams.

Bermula dari utara Kanada, kumpulan yang disertai Hadow, Martin Hartley dan Ann Daniels berski untuk mengukur ketebalan bongkah ais yang tinggal, ketumpatan dan kedalaman salji serta mengambil bacaan suhu persekitaran dan lautan.

Sepanjang laluan sejauh 450 kilometer, purata ketebalan ais adalah 1.8 meter dan ukuran 4.8 meter jika mengambil kira rabung ais.

"Ais setebal itu adalah ais tahun pertama yang lebih mudah cair dalam musim panas, manakala ais bertahun-tahun semakin berkurangan dengan banyak. Ia adalah contoh konkrit perubahan global sedang berlaku," kata Wadhams. - AFP

Thursday, October 15, 2009

Kereta polis terpantas


DUA anggota polis Itali (memakai sut) bersama polis Switzerland (tengah) bergambar di hadapan kereta polis trafik Itali, Lamborghini Gallardo, yang merupakan kereta polis terpantas di dunia semasa berhenti di kawasan rehat Bellinzona, selatan Switzerland, baru-baru ini.

Lamborghini tersebut dipamerkan di sidang polis antarabangsa di Belanda. - AP

Pertandingan ratu jalanan di Belgium


BRUSSELS - Sekumpulan pertubuhan hak asasi wanita Belgium membidas pertandingan ratu cantik tanpa rumah, lapor sebuah akhbar semalam.

Acara yang diadakan itu dimenangi oleh Therese Van Belle, 58, dari Schaarbeek di sini yang mendapat hadiah penginapan secara percuma di sebuah flat selama setahun.

Dia menewaskan sembilan lagi peserta pada pusingan akhir. Peserta-peserta lain yang tewas kini kembali merempat di jalanan bersama 17,000 orang tanpa rumah.

Pertandingan itu diilhamkan oleh seorang wanita, Matilde Pelsers yang mengurus lima buah rumah perlindungan dengan anak perempuannya, Aline Duportail.

Aktivis hak asasi wanita Belgium, Jacqueline Aubenas mengkritik penganjuran pertandingan itu dengan menganggap ia tidak sesuai diadakan. - Agensi

Tuesday, October 13, 2009

Lelaki terkecil dunia sambut hari lahir

KATHMANDU - Lelaki terkecil di dunia, Khagendra Thapa Magar menyambut hari lahir yang ke-18 bersama keluarga dan rakan-rakannya baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Remaja Nepal setinggi 60 sentimeter itu masih menunggu pengesahan Rekod Dunia Guinness selepas dia didapati beberapa sentimeter lebih rendah berbanding pemegang rekod dunia, He Ping Ping dari China.

"Pada usia ini, saya menyimpan dua impian iaitu mencatat nama dalam Rekod Dunia Guinness selain beristeri wanita sekecil saya dan mempunyai empat orang anak," katanya yang dilahirkan pada 4 Oktober 1992.- Agensi


Monday, October 12, 2009

Pakar pukau boleh besarkan payu dara


LONDON - Seorang pakar hipnosis atau pukau di Britain, David Knight mendakwa dia dapat membesarkan payu dara wanita dengan memukau mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Knight menyatakan, kaedah pukau yang dicipta olehnya berhasil terhadap 85 peratus wanita manakala hampir separuh daripada mereka memakai coli lebih besar selepas mengikuti rawatan tersebut.

Dia turut merakamkan kaedah tersebut dalam bentuk cakera padat yang dijual kepada orang ramai dengan jaminan wang akan dikembalikan sekiranya ia tidak berhasil.

Sebagai pengamal hipnosis, Knight telah mengadakan 4,000 persembahan pentas secara profesional di Britain dan luar negara selain memukau lebih 40,000 sukarelawan. - Agensi

Saturday, October 10, 2009

Tiada cahaya 'letupan' di bulan


WASHINGTON - Permukaan bulan semalam diletupkan dengan menggunakan dua buah roket bagi mengesan air di bawah permukaan bulan yang boleh digunakan angkasawan dalam misi angkasa lepas pada masa depan, kata Pentadbiran Aeronautikal dan Angkasa Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, tiada cahaya 'letupan' yang dapat dilihat selepas dua roket itu sengaja dihempaskan oleh NASA.

Tepat pukul 7.30 malam semalam waktu Malaysia, roket Centaur terpisah daripada Satelit Pengesan dan Pemerhati Kawah Bulan (LCROSS) dan menghentam kawah kawasan Caebus di bahagian kutub selatan bulan pada kelajuan 9,000 kilometer sejam diikuti dengan sebuah kapal angkasa peninjau yang dilengkapi beberapa kamera canggih bagi merakam impak itu.

Sebelum terhempas, roket Centaur dan kapal angkasa peninjau tersebut bercantum membentuk satelit LCROSS.

Imej termal (suhu) pada stesen televisyen laman web NASA menghasilkan warna biru pada kawasan bersuhu sejuk dan merah pada lokasi panas di permukaan bulan tetapi tiada cahaya kilat kelihatan pada skrin televisyen ketika Centaur terhempas.

Sebelum ini, NASA memberitahu, letupan akibat hentaman itu akan menyebabkan beberapa ratus tan debu bulan naik setinggi 10 kilometer ke atmosfera dan menghasilkan cahaya selama 30 saat.

Kamera-kamera yang dipasang pada kapal angkasa peninjau seberat 891 kilogram itu akan menghantar rakaman impak pertama ketika ia terbang menerusi debu bulan itu dan menghantar data serta maklumat ke bumi sebelum ia turut terhempas ke bulan.

Menurut saintis-saintis NASA, pelanggaran kuat itu akan menyebabkan ais yang dipercayai tersimpan di bawah permukaan kawah bulan akan terurai ke atmosfera sekali gus dapat dikesan oleh kapal angkasa peninjau dan teleskop gergasi di bumi.

Satelit LCROSS direka bagi menghasilkan kawah seluas 100 kilometer dengan kedalaman empat kilometer apabila ia menghentam sebuah kawah bulan sedalam dua meter.

"Walaupun impak itu dahsyat tetapi disebabkan saiz bulan yang besar, ia seperti kesan bulu mata seorang penumpang yang jatuh ke lantai sebuah pesawat 747 semasa dalam penerbangan," kata Pengurus Projek LCROSS, Daniel Andrews. - Agensi


Saturday, October 3, 2009

Anak dibesarkan dalam bot


LONDON - Sepasang suami isteri dari Britain, Dave, 42, dan Hazel McCabe, 37, pulang selepas empat tahun mengelilingi dunia bersama seorang anak mereka yang dibesarkan di dalam bot, lapor sebuah akhbar semalam. Pelayaran mereka terhenti buat sementara di Pulau St. Martin, Puerto Rico kerana isteri Dave mahu melahirkan anak perempuan.

Pelayaran itu kemudian disambung bersama anak perempuan mereka, Katie yang kini sudah berusia empat tahun.Pasangan itu belayar sejauh 22,503 kilometer selepas mereka berkahwin pada 2005 di Britain."Detik yang paling menarik ialah semasa kami berada di Lautan Atlantik apabila bot kami diiringi oleh beberapa ikan lumba-lumba," kata Dave yang merancang membuka perniagaan membina bot. - Agensi