WAK PUNYA GENG

Monday, November 30, 2009

Paus terdampar di pantai Bali




SEEKOR daripada ikan paus yang terdampar cuba diselamatkan di pantai Tabanan, di Bali.

BALI: Dua ikan paus muda yang terdampar di pulau peranginan Bali, dijangka mati kerana terlalu lemah untuk hidup jika kembali ke dalam air, kata seorang pegawai semalam.

Usaha untuk menyelamatkan ikan paus itu dihentikan, kata pegawai Jabatan Ikan dan Marin Bali, Nyoman Wirna Ariwangsa.

"Ikan paus itu dalam keadaan kritikal sekarang," katanya.

Terdapat kesan calar dan lebam pada kedua-dua iklan paus bersirip pendek itu, spesies yang dilindungi, besar kemungkinan akibat tergesel jaring nelayan di laut.

Pasangan ikan paus itu adalah antara empat ikan jenis berkenaan yang terdampar di pantai berhampiran Pantai Tanah Lot kelmarin, salah sebuah destinasi pelancongan popular di Bali, kata Nyoman.

Orang ramai menolak empat ikan paus berukuran 2.1 meter dan seberat 450 kilogram itu ke dalam air dan bot nelayan berjaya membawa dua daripadanya balik ke laut, katanya. Namun ombak kuat kemudian menolak semula kedua-dua ikan paus itu ke pantai.

Ikan paus hidup jarang terdampar di pantai Bali, walaupun 10 ikan paus mati �lapan daripada jenis sirip pendek dan dua jenis sperma gergasi� dibawaombak ke pantai, Februari lalu dalam hujan ribut.

Penduduk tempatan memotong ikan paus berkenaan bagi mendapatkan minyaknya, yang diguna dalam perubatan tradisional.

Sunday, November 29, 2009

GURAU 'BEWOK'

Kerana mulut badan binasa, jadi sebelum berbuat sesuatu fikirkan baik buruknya, halal haramnya, jangan main redah je...


Kambing jadi mangsa gurauan remaja nakal


DUA remaja melarikan diri setelah menolak troli berisi biri-biri di London semalam.



LONDON - Para petugas pasar raya Asda di Bexleyheath terkejut setelah seekor kambing yang diletakkan di dalam troli tiba-tiba meluncur masuk ke dalam pusat beli-belah tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi semalam, sekumpulan remaja dirakam menolak troli tersebut sebelum melarikan diri.

Biri-biri berkenaan dipercayai dicuri dari sebuah ladang di Gravesend, Kent dan disumbat ke dalam bonet kereta sebelum dihantar ke pasar raya tersebut.

Pengurus Asda, Joe Lock berkata, para petugas terkejut melihat haiwan itu tiba-tiba berada dalam pasar raya.

Sementara itu, Persatuan Diraja Mencegah Kekejaman Terhadap Hairan (RSPCA) menyelar tindakan bodoh remaja berkenaan.

"Kami sudah mengesan pemilik biri-biri itu tetapi ia tidak dapat dikembalikan sehingga enam hari lagi berikutan peraturan tertentu," kata jurucakap SPCA, Andrew Kirby.

Remaja berkenaan berhadapan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda £5,000 (RM27,967) atau kedua-duanya jika didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap haiwan. - Agensi

Friday, November 27, 2009

Ahli politik arah kemaluan wanita ditembak



SEORANG pegawai polis merakam gambar Andal Ampatuan Jr. yang ditahan di Manila semalam.


MANILA - Ahli politik Filipina, Andal Ampatuan Jr. mengarahkan beberapa anggota tentera, anggota polis dan lelaki bersenjata untuk membunuh lebih 57 orang awam termasuk menembak kemaluan wanita, kata pihak kerajaan semalam.

Bercakap mengenai pembunuhan beramai-ramai pada Isnin lepas yang menggemparkan rantau Asia Tenggara itu, Setiausaha Kehakiman Filipina, Agnes Devanadera berkata, mangsa-mangsa wanita itu turut dirogol sebelum dibunuh.

Menurutnya, beratus-ratus anggota polis yang setia kepada Ampatuan Jr. di wilayah Maguindanao telah ditangkap kerana disyaki terlibat atau bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

"Ia (pembunuhan itu) dahsyat. Sukar untuk saya menceritakannya," kata Devanadera sebelum menerangkan bahawa dia telah melihat semua mayat mangsa dan turut mendengar keterangan kebanyakan mereka yang terbabit dalam pembunuhan itu.

Katanya, Andal Ampatuan Jr. yang menyerah diri pada Khamis lalu, mengarahkan lebih 100 anggota militia peribadinya melepaskan tembakan terhadap sekumpulan orang awam di sebuah kawasan pertanian di pedalaman selatan Filipina.

Sejurus sebelum itu, kumpulan bersenjata tersebut menculik satu konvoi yang terdiri daripada beberapa pembantu dan saudara-mara seteru politik Ampatuan Jr. iaitu Esmael Mangudadatu selain sekumpulan wartawan.

Ketika kejadian, kumpulan itu sedang menuju ke sebuah pejabat pilihan raya supaya isteri Mangudadatu dapat mencalonkan suaminya untuk menentang Ampatuan Jr. bagi jawatan Gabenor Wilayah Maguindanao dalam pilihan raya tempatan tahun depan.

Polis menyatakan sekurang-kurangnya 22 yang dibunuh adalah wanita.

Kumpulan bersenjata itu turut membunuh 27 wartawan selain 15 pemandu kenderaan yang kebetulan melalui tempat kejadian tetapi dibunuh untuk menghapuskan saksi kejadian. - Agensi

Thursday, November 26, 2009

SALAM AIDIL ADHA

Selamat Hari Raya Haji: kepada yang menunaikan haji semoga mendapat haji mabrur. Kepada yang menyembelih binatang korban, semoga 'pengorbanan' anda diterima oleh Allah SWT.


Haji VIP dapat khemah lima bintang


Sebuah khemah khas untuk jemaah haji pakej VIP.


MEKAH - Beberapa syarikat Arab Saudi dan asing memperkenalkan pakej haji lima bintang bagi menarik jemaah haji kaya raya yang mahukan layanan istimewa bertaraf VIP ketika berada di Mina dan Arafah.

"Perkhidmatan VIP itu pada dasarnya untuk memastikan seseorang jemaah haji dapat melakukan ibadah dalam keadaan tenang tanpa gangguan," kata seorang pembantu haji, Zaki Kamal Hussein.

Menurutnya, syarikat haji tempatan dan asing serta pejabat haji menyasarkan kelompok jemaah haji kaya sebagai pelanggan kerana mereka memberikan keuntungan lumayan.

"Walaupun jumlah mereka kecil, golongan itu perlu diberi tumpuan kerana banyak menyumbang kepada pendapatan kami," jelas Zaki tanpa menyebut kos pakej haji VIP itu.

Ketika ditanya tentang perbezaan di antara pakej haji biasa dan pakej VIP, pembantu haji itu memberitahu, perbezaannya ketara kerana pakej VIP menumpukan pada privasi dan keselesaan pelanggan.

"Ia (pakej VIP) bermakna jemaah haji akan diangkut dengan bas mewah, menerima layanan bertaraf hotel, dihidangkan makanan istimewa menuruti selera mereka selain ditempatkan di dalam khemah yang luas dan mewah serta tandas bersih," ujarnya.

"Kami turut menyediakan taman permainan khusus untuk kanak-kanak yang dipantau tenaga pengajar wanita supaya ibu bapa dapat mengerjakan ibadah haji dengan tenang tanpa bimbang mengenai anak-anak mereka," tambahnya.

Seorang pelabur berketurunan Mesir yang menetap di Britain, Mustapha Rajab berkata, dia memilih pakej haji VIP bagi memastikan mendapat privasi dan keselesaan tanpa gangguan akibat bunyi bising dan pencemaran udara terutama ketika musim haji tahun ini yang berdepan wabak selesema babi. - Agensi

BABI BIKIN KECOH

15 bomba tertipu akibat kentut khinzir


DUA orang penjaga zoo melihat satu-satunya babi yang
berada di Afghanistan. - Gambar hiasan



SYDNEY - Seorang penternak membuat panggilan kecemasan bomba setelah terbau 'gas bocor' namun sangkaannya meleset setelah diberitahu ia adalah bau kentut khinzir peliharaannya, kata para pegawai semalam.

Seramai 15 anggota dan dua jentera bomba dikerah ke ladang yang terletak di Axedale, Victoria, kata Perkhidmatan Bomba Negeri Victoria tersebut.

"Kami menjumpai seekor babi betina bersaiz besar dengan anggaran berat 120 kilogram. Kami percaya gas bocor itu datang daripada babi tersebut.

"Walaupun tidak terhidu gas tersebut kami dapat mendengar bunyi kentut keluar dengan jelas, lucu sungguh," kata Kapten Peter Harkins.

Tambahnya, pemilik babi tersebut kelihatan malu manakala petugas bomba mengambil masa untuk menenangkan diri.

"Kami menangani kes itu dengan profesional tetapi kami ketawa terbahak-bahak sebaik tiba di balai," kata Harkins. - AFP

Wednesday, November 25, 2009

Banjir di Jeddah, hujan di Mekah


SEORANG lelaki mengharungi air bah di Jeddah semalam.


JEDDAH - Hujan lebat melanda sehingga menyebabkan beberapa batang jalan raya menuju ke Mekah digenangi air ketika sejumlah besar penganut Islam bersedia untuk mengerjakan haji.

Jemaah-jemaah haji memakai pakaian ihram terpaksa menggunakan payung, sebahagiannya lagi menggunakan topeng muka semasa mengelilingi Kaabah di Mekah.

Namun, berikutan hujan lebat itu, ramai jemaah membuat keputusan untuk tinggal di dalam bangunan penginapan seperti di hotel.

Terdapat juga sebahagian jemaah yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya semasa menuju ke Mekah.

Cuaca hujan itu dianggap jarang berlaku pada permulaan musim haji.

Seorang perunding dari Pusat Untuk Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Atlanda, Georgia, Shahul Ebrahim menyatakan masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa hujan akan memudahkan penyebaran wabak influenza A H1N1 atau selesema babi.

"Hujan akan menyebabkan penularan beberapa penyakit lain seperti selesema,

"Namun, kami masih tidak mengetahui bagaimana ia akan memberi kesan terhadap penyakit selesema babi.

"Kita tidak boleh membuat ramalan," katanya.


BEBERAPA lelaki menolak sebuah kereta melalui sebatang jalan raya di Jeddah semalam.


Setakat ini hujan telah menyebabkan kesesakan jalan raya di Jeddah. Musim sejuk di Mekah ialah hujan. Namun hujan lebat tidak pernah berlaku di kota suci penganut Islam itu sejak beberapa tahun lalu.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Arab Saudi, Mejar Abdullah al-Harthi berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan masalah banjir.

Menurutnya, sebanyak 300 buah bas disediakan untuk menghadapi masalah banjir bagi memindahkan jemaah.

Agensi Saudi Press melaporkan setakat ini tidak ada laporan mengenai kematian dan kesakitan akibat hujan itu.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Amer al-Amer, satu lorong di sebatang jalan raya utama menuju ke Mekah ditutup kerana banjir.

"Ia (jalan itu) tidak dapat menampung kehadiran semua orang dari luar Mekah," katanya.


TIGA jemaah haji mengharungi hujan
di Mekah semalam.


Dia mengakui, banjir itu menyebabkan perjalanan jemaah akan terjejas.

Amer berkata, jemaah haji pada tahun ini meningkat beberanding tahun lalu dengan anggaran melebihi tiga juta orang. - Agensi

Tuesday, November 24, 2009

MAKIN LAMA MAKIN BERNILAI

Buku Darwin dijangka dijual RM336,154

LONDON – Sebuah rumah lelongan menyatakan ia menjual sebuah buku edisi pertama yang dihasilkan oleh saintis terkenal, Charles Darwin berjudul On the Origin of Species.

Rumah lelongan Christie menyatakan semalam, buku itu merupakan antara 1,250 naskhah awal yang diterbitkan pada 1859.

Buku itu ditemui dalam sebuah tandas di sebuah rumah di Oxford.

Menurut rumah lelongan itu, buku tersebut dijangka dilelong pada harga AS$99,000 (RM336,154). – AP

Sunday, November 22, 2009

KEPALA BESI

Lepas ni kalau kena belasaha lagi, kepalanya tak pecah...

Dapat tengkorak logam selepas koma dibelasah


GAMBAR menunjukkan Steve sebelum dan selepas menerima plat titanium pada dahinya.


ROMFORD - Seorang pemuda di England, Steve Gater memperoleh dahi baru yang diperbuat daripada titanium, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemandu jentera itu selamat menjalani pembedahan bagi memasang plat logam ringan tersebut selama tujuh jam di Hospital Queen dekat rumahnya di sini Khamis lalu.

Steve, 26, hilang sebahagian tengkorak di depan kepalanya akibat dibelasah dua samseng remaja berusia 17 dan 18 tahun ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada 15 Januari.

Dia koma selama dua minggu manakala doktor terpaksa membuang tengkorak di dahinya.

Namun ibunya, Nina, marah apabila dimaklumkan bahawa suspek yang membelasah Steve dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Steve dibelasah dalam satu pergaduhan selepas dua samseng itu mengeluarkan kata-kata kesat berhubung seorang sepupunya.

Pemuda itu kini menderita kesukaran bertutur, kehilangan ingatan dan gangguan personaliti.

"Sebelum ini Steve dapat hidup berdikari tetapi dia kini tidak lagi mampu bekerja dan memandu," katanya mengulas keputusan seorang hakim yang membebaskan dua suspek daripada dakwaan membelasah anaknya kerana kekurangan bukti.

Nina berkata, otak anaknya sebelum ini cuma dilindungi oleh kulit sebelum plat titanium itu dipasang.

Titanium dianggap logam amat kuat dan kerap dijadikan lapisan kalis panas untuk pesawat Concorde apabila ia terbang pada kelajuan 2,172 kilometer sejam. - Agensi

Saturday, November 21, 2009

MACAM-MACAM CARA MENIPU

Sami hidup mewah di Singapura dipenjara 10 bulan

SINGAPURA 21 Nov. - Seorang sami Buddha yang menikmati kehidupan mewah dan mengendalikan badan amal terkenal Singapura, dipenjarakan 10 bulan atas kesalahan penipuan, lapor pegawai mahkamah hari ini.

Shi Ming Yi, 47, dijatuhi hukuman itu selepas disabit kesalahan bulan lalu atas kesalahan berkomplot dengan pembantu peribadinya, Raymong Yeung, 34, menipu badan amal Ren Ci dengan jumlah sebanyak S$50,000 dolar (RM122,237). Yeung dihukum penjara sembilan bulan.

Ming Yi merupakan pengasas kepada Ren Ci iaitu sebuah badan amal yang menyalurkan subsidi bahan perubatan kepada pesakit warga emas dan hidup senang dengan memiliki beberapa buah kereta mewah dan hartanah di Singapura serta Australia, sebelum ditahan.

Pada 2004, beliau yang ketika itu memegang jawatan ketua eksekutif Ren Ci, telah meluluskan pinjaman tanpa kebenaran sejumlah S$50,000 (RM122,237) daripada tabung badan amal itu kepada Yeung, yang menggunakan wang tersebut bagi membayar kos pengubahsuaian rumah seorang rakannya di Hong Kong.

Pasangan itu mendakwa, wang tersebut dipinjamkan kepada sebuah kedai yang merupakan anggota gabungan badan amal berkenaan, namun juruaudit luar mendapati dakwaan itu tidak benar. - AFP

Tanduk badak sumbu atasi nilai emas

Peribahasa: "Masa itu emas" kena tukar kpd "masa itu tanduk badak". Bayangkan ada sebatang tanduk badak boleh jadi jutawan. Sebatang tanduk 7 kg dharab dgn RM 203788, sama dgn
RM 1,426,516.00. Patut lah 'pemburu' sanggup buat apa saja utk mendapatkannya.


GAMBAR fail badak sumbu dirakam di Afrika Selatan.


JOHANNESBURG - Nilai tanduk badak sumbu kini melebihi emas buat kali pertama dalam tempoh sedekad berikutan permintaan di Asia Selatan meningkat secara mendadak, lapor sebuah akhbar semalam.

Harga sekilogram tanduk badak sumbu kini mencecah £36,300 sekilogram (RM203,788) manakala harga emas tulen untuk berat yang sama hanya £24,600 (RM138,104).

Secara purata, berat sebatang tanduk badak sumbu ialah tujuh kilogram.

Pada 2007, sebanyak 13 badak sumbu dibunuh di Afrika Selatan namun tahun ini jumlah tersebut meningkat kepada 84 ekor.

Tanduk badak sumbu yang dijadikan serbuk mendapat permintaan tinggi setelah seorang menteri Vietnam mendakwa ia dapat membantu menyembuhkan penyakit kanser yang dialaminya. - Agensi

NAK MUDA JADI TUA ?

Pakailah apa2 pun...memang tabienya (telah menjadi sunnatullah) manusia akan menjadi semakin tua dan .... mati. Cumanya mungkin dari segi fizikal nampak muda sikit...


Krim kecantikan jadikan wanita lebih tua





KYOTO - Penyelidik Jepun mendapati wanita yang memakai produk kosmetik untuk antipenuaan sebenarnya mempercepatkan lagi kulit menjadi tua, lapor sebuah akhbar semalam.

Penemuan itu hasil kajian saintis di Universiti Perubatan Kyoto Prefectural yang dibiayai oleh sebuah syarikat. Penyelidik menjelaskan, proses penuaan itu diakibatkan oleh bahan-bahan pengawet yang digunakan dalam kosmetik tersebut.

Mereka malah mendapati secara purata wanita lazim melakukan solekan rutin dengan menggunakan sejumlah 515 bahan kimia sintetik berbeza pada tubuh mereka setiap hari.

Kebanyakan produk di pasaran didapati berasaskan kepada bahan pembersih kediaman yang boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti alahan dan kulit sensitif.

Ia juga menyebabkan gangguan hormon, kesuburan dan barah manakala bahan paraben seperti Methylparaben mudah menjadi toksik apabila didedah kepada sinaran matahari.

Bahan popular ini yang digunakan sebagai pengawet dapat ditemui di dalam lebih 16,000 produk termasuk syampu, gel rambut, losyen badan, pelembap dan ubat gigi. - Agensi

Thursday, November 19, 2009

PADAH WARNA RAMBUT

ELOK2 RAMBUT PERANG NAK TUKAR WARNA LAIN, ITULAH PADAHNYA. JADI..REDHA LAH DENGAN KETENTUAN ILAHI TERHADAP DIRI KITA.

Muka bengkak kerana pewarna rambut


WAJAH Abigail yang bengkak disebabkan penggunaan sejenis pewarna rambut.


SYDENHAM, England - Wajah seorang pelajar wanita di sebuah sekolah di sini, Abigail Colbourne kini seperti 'makhluk asing' kerana bengkak disebabkan alah kepada sejenis pewarna rambut.

Abigail yang berumur 15 tahun mewarnakan rambut perangnya supaya kelihatan hitam tetapi dia tidak melakukan ujian alahan terlebih dahulu.

"Mata saya seperti digam dan kepala saya bengkak. Ia merupakan sesuatu yang amat dahsyat," katanya seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

Doktor berjaya mengurangkan bengkak yang dialami oleh Abigail dengan memberikannya ubat tetapi ibunya, Joanna Leech berkata: "Orang ramai sepatutnya mengetahui kesan penggunaan bahan pewarna." - Agensi


BERTEMU RABU DENGAN KHAMIS

Hulk Hogan dibelasah Ric Flair


GAMBAR menunjukkan Flair membelasah Hogan di sebuah stadium di Sydney semalam.


SYDNEY - Kepala penggusti terkenal, Hulk Hogan, 56, berlumuran darah selepas dia bergaduh dengan saingannya, Ric Flair pada satu sidang akhbar bagi mempromosikan jelajah gusti Hulkamania di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Sidang akhbar itu bertukar menjadi ganas apabila Flair yang berumur 60 tahun dan Hogan yang saling bermusuhan mula bertengkar sebelum mereka bergaduh.

Hogan terjatuh dan kepalanya berdarah apabila Flair menumbuknya berulang kali.

Beberapa orang didapati memapah Hogan yang berlumuran darah keluar dari tempat sidang akhbar.

Flair kemudian menanggalkan tali pinggangnya dan mengancam menyebat sesiapa yang berada dekat dengannya.

Dalam insiden itu, lampu kamera seorang jurugambar, Phil Rogers pecah kerana Flair yang menjuarai kategori heavyweight dunia sebanyak 16 kali melemparkan meja keluar dari pentas.

Pergaduhan berakhir apabila Flair dihalang oleh beberapa orang daripada meneruskan tindakan ganasnya.

Setakat ini tidak diketahui sama ada insiden itu merupakan satu lakonan. - Agensi

TANDA2 KEBESARAN ALLAH DIMANA2

Misteri batu bergerak di gurun Amerika Syarikat


GAMBAR menunjukkan sebongkah batu yang meninggalkan jejak laluannya di Taman Negara Death Valley, Amerika Syarikat.


LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam.

Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius.

Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan.

Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.

Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.

Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.

Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.

"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.

"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya." - Agensi

Sunday, November 15, 2009

CARI BALA

Melompat elak ditanduk lembu


DUA orang melompat semasa seekor lembu jantan berlari ke arah mereka.


VALENCIA - Seorang jurugambar Chile, Mery Alin Nunez merakamkan beberapa gambar yang menunjukkan beberapa lelaki melompat bagi mengelak daripada ditanduk oleh seekor lembu jantan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Permainan itu merupakan tradisi yang dilakukan pada era legenda Raja Minos yang berkuasa semasa kewujudan tamadun di Crete kira-kira 1,500 Sebelum Masihi.

Pada setiap tahun, pasukan-pasukan yang menyertai laga lembu di seluruh Sepanyol akan berhimpun di stadium Plaza de Toros, Valencia untuk menyertai pertandingan itu.

"Pelompat itu akan melakukan pelbagai muslihat dan mereka kelihatan amat berani," kata Nunez yang merakamkan gambar tersebut. - Agensi