WAK PUNYA GENG

Tuesday, October 13, 2009

Lelaki terkecil dunia sambut hari lahir

KATHMANDU - Lelaki terkecil di dunia, Khagendra Thapa Magar menyambut hari lahir yang ke-18 bersama keluarga dan rakan-rakannya baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Remaja Nepal setinggi 60 sentimeter itu masih menunggu pengesahan Rekod Dunia Guinness selepas dia didapati beberapa sentimeter lebih rendah berbanding pemegang rekod dunia, He Ping Ping dari China.

"Pada usia ini, saya menyimpan dua impian iaitu mencatat nama dalam Rekod Dunia Guinness selain beristeri wanita sekecil saya dan mempunyai empat orang anak," katanya yang dilahirkan pada 4 Oktober 1992.- Agensi


Monday, October 12, 2009

Pakar pukau boleh besarkan payu dara


LONDON - Seorang pakar hipnosis atau pukau di Britain, David Knight mendakwa dia dapat membesarkan payu dara wanita dengan memukau mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Knight menyatakan, kaedah pukau yang dicipta olehnya berhasil terhadap 85 peratus wanita manakala hampir separuh daripada mereka memakai coli lebih besar selepas mengikuti rawatan tersebut.

Dia turut merakamkan kaedah tersebut dalam bentuk cakera padat yang dijual kepada orang ramai dengan jaminan wang akan dikembalikan sekiranya ia tidak berhasil.

Sebagai pengamal hipnosis, Knight telah mengadakan 4,000 persembahan pentas secara profesional di Britain dan luar negara selain memukau lebih 40,000 sukarelawan. - Agensi

Saturday, October 10, 2009

Tiada cahaya 'letupan' di bulan


WASHINGTON - Permukaan bulan semalam diletupkan dengan menggunakan dua buah roket bagi mengesan air di bawah permukaan bulan yang boleh digunakan angkasawan dalam misi angkasa lepas pada masa depan, kata Pentadbiran Aeronautikal dan Angkasa Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, tiada cahaya 'letupan' yang dapat dilihat selepas dua roket itu sengaja dihempaskan oleh NASA.

Tepat pukul 7.30 malam semalam waktu Malaysia, roket Centaur terpisah daripada Satelit Pengesan dan Pemerhati Kawah Bulan (LCROSS) dan menghentam kawah kawasan Caebus di bahagian kutub selatan bulan pada kelajuan 9,000 kilometer sejam diikuti dengan sebuah kapal angkasa peninjau yang dilengkapi beberapa kamera canggih bagi merakam impak itu.

Sebelum terhempas, roket Centaur dan kapal angkasa peninjau tersebut bercantum membentuk satelit LCROSS.

Imej termal (suhu) pada stesen televisyen laman web NASA menghasilkan warna biru pada kawasan bersuhu sejuk dan merah pada lokasi panas di permukaan bulan tetapi tiada cahaya kilat kelihatan pada skrin televisyen ketika Centaur terhempas.

Sebelum ini, NASA memberitahu, letupan akibat hentaman itu akan menyebabkan beberapa ratus tan debu bulan naik setinggi 10 kilometer ke atmosfera dan menghasilkan cahaya selama 30 saat.

Kamera-kamera yang dipasang pada kapal angkasa peninjau seberat 891 kilogram itu akan menghantar rakaman impak pertama ketika ia terbang menerusi debu bulan itu dan menghantar data serta maklumat ke bumi sebelum ia turut terhempas ke bulan.

Menurut saintis-saintis NASA, pelanggaran kuat itu akan menyebabkan ais yang dipercayai tersimpan di bawah permukaan kawah bulan akan terurai ke atmosfera sekali gus dapat dikesan oleh kapal angkasa peninjau dan teleskop gergasi di bumi.

Satelit LCROSS direka bagi menghasilkan kawah seluas 100 kilometer dengan kedalaman empat kilometer apabila ia menghentam sebuah kawah bulan sedalam dua meter.

"Walaupun impak itu dahsyat tetapi disebabkan saiz bulan yang besar, ia seperti kesan bulu mata seorang penumpang yang jatuh ke lantai sebuah pesawat 747 semasa dalam penerbangan," kata Pengurus Projek LCROSS, Daniel Andrews. - Agensi


Saturday, October 3, 2009

Anak dibesarkan dalam bot


LONDON - Sepasang suami isteri dari Britain, Dave, 42, dan Hazel McCabe, 37, pulang selepas empat tahun mengelilingi dunia bersama seorang anak mereka yang dibesarkan di dalam bot, lapor sebuah akhbar semalam. Pelayaran mereka terhenti buat sementara di Pulau St. Martin, Puerto Rico kerana isteri Dave mahu melahirkan anak perempuan.

Pelayaran itu kemudian disambung bersama anak perempuan mereka, Katie yang kini sudah berusia empat tahun.Pasangan itu belayar sejauh 22,503 kilometer selepas mereka berkahwin pada 2005 di Britain."Detik yang paling menarik ialah semasa kami berada di Lautan Atlantik apabila bot kami diiringi oleh beberapa ikan lumba-lumba," kata Dave yang merancang membuka perniagaan membina bot. - Agensi

Wednesday, September 30, 2009

Angkasawan badut buat lawak di ISS


BAIKONUR - Pengasas syarikat badut Cirque du Soleil, Guy Laliberte semalam berharap dia dapat menggeletek rakan-rakan angkasawan semasa mereka tidur di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Malah Laliberte sempat memakai hidung merah walaupun berada dalam bilik kuarantin sebelum dijadual berlepas ke angkasa di sini esok.

"Sepanjang hidup saya, banyak perkara gila dan menyeronokkan telah saya lakukan tetapi tidak sehebat berbanding lawatan ke ISS," kata pelawak Kanada berusia 50 tahun itu.

Dia ditempatkan di dalam bilik kuarantin berdinding kaca di sini bersama dua angkasawan lain bagi mengelak pencemaran sementara menunggu untuk menaiki roket ke ISS.

Menurut Laliberte yang menjadi badut pertama ke angkasa, pemergian ke ISS bukan untuk melakukan eksperimen saintifik seperti kebanyakan angkasawan lain sebelum ini.

Sebaliknya, tempoh 12 hari di stesen angkasa lepas itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk berhibur di samping memperoleh pengalaman baru.

Laliberte yang bermula sebagai penghibur jalanan sebelum mengaut kekayaan mencecah AS$2.5 bilion (RM8.7 bilion) hasil kejayaan Cirque du Soleil, membayar AS$35 juta (RM121.9 juta) untuk lawatan ke ISS. - AP

Friday, September 25, 2009

Lokasi purba puja ikan dugong ditemui dekat Dubai


PARIS 25 Sept. - Ahli arkeologi Perancis telah menemui lokasi pemujaan dugong tertua dunia yang pernah ditemui di sebuah pulau di utara Dubai.

Tempat pemujaan itu dipercayai bertarikh di antara 3,500 hingga 3,200 Sebelum Masihi ditemui di Pulau Akab di Emiriah Arab Bersatu, 50 kilometer dari Dubai.

Dua pusat penyelidikan iaitu Misi Arkeologi Perancis di Emiriah dan Muzium Umm al-Quwain berkata di dalam majalah Antiquity, tempat pemujaan di pulau yang telah dikosongkan itu menyediakan perincian penting mengenai 'upacara pemujaan oleh masyarakat persisiran pantai pra-sejarah di Teluk'.

Akab adalah sebuah kampung nelayan tuna pada lebih 6,500 tahun dahulu dengan binaan-binaan bangunan berbentuk bulat dan selonggok tulang dugong ditemui pada tahun 1990-an.

Haiwan yang dikenali dengan nama saintifik Dugong dugon itu masih wujud di Teluk dengan haiwan dewasa boleh membesar sehingga empat meter panjang dan seberat 400 kilogram.

Tempat pemujaan itu pada mulanya disangkakan sebuah rumah sembelihan tetapi analisis mendapati ia adalah platform dua tingkat yang dibina dengan teliti, mengandungi tulang-tulang sekitar 40 ekor dugong serta perkakasan, alat batu dan perhiasan.

Ahli arkeologi berkata, monumen Akab itu digunakan untuk upacara meraikan mamalia besar tersebut dan 'tidak ada persamaan dengan tempoh neolitik di tempat-tempat lain di dunia'.

Struktur serupa telah ditemui di persisiran Australia yang bagaimanapun hanya berusia beberapa ratus tahun. - AFP

Wanita AS kahwin penarik beca India

NEW DELHI - Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Whitney mengahwini seorang penarik beca India selepas menaiki becanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita berusia 26 tahun dan berasal dari Chicago itu bertemu dengan Harish Hotala pada minggu lalu di Jaipur di negeri Rajasthan yang terkenal dengan banyak istana lama.

Akhbar Mail Today melaporkan Whitney tanpa menyatakan nama keluarganya mengupah pemandu beca bermotor tersebut untuk membawanya melihat pemandangan di ibu negeri barat India itu.

"Pada hari ketiga kami mengembara, dia mengejutkan saya dengan membuat lamaran. Saya akhirnya jatuh cinta," katanya.

Mereka berkenalan pada Sabtu lalu sebelum berkahwin pada Rabu lepas dalam satu upacara ringkas dengan memakai sari tradisional dan gambar mereka disiarkan di akhbar itu.

Akhbar tersebut menyatakan Harish merupakan pemandu beca teksi yang fasih berbahasa Inggeris. Biarpun tercicir persekolahan, dia fasih berbahasa Inggeris dan memiliki tiga buah beca berenjin.

Whitney dijangka pulang semula ke AS pada Rabu depan untuk bertemu dengan keluarganya. - AFP

Thursday, September 24, 2009

Anak panah tertusuk pada tubuh budak


BEIJING - Seorang budak yang berumur dua tahun semakin pulih selepas tubuh belakangnya terkena sebilah anak panah akibat perbuatan jirannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak itu, Tian Tian sedang bermain di perkarangan rumah keluarganya di China apabila dia terkena anak panah di bahagian belakang badannya di Nanyang.

Menurut neneknya, Yi Tsou: "Dia menjerit dan saya kemudian melihat anak panah itu tertusuk di belakang tubuhnya. Saya hampir pengsan."

Anggota-anggota perubatannya kemudian menarik anak panah itu dan mereka kini menunggu sama ada ia menyebabkan kerosakan pada tulang belakangnya.

Menurut polis, jiran keluarga Tian itu berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara kerana mencederakan seorang budak.

- Agensi

Tinggal dalam terowong di Las Vegas


LAS VEGAS - Satu pasangan kekasih, Steven dan Kathryn tinggal dalam terowong banjir yang kotor di bawah tanah bandar raya Las Vegas di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Steven dan Kathryn tidak bekerja tetapi mereka merayau-rayau di kasino yang banyak terdapat di Las Vegas dengan harapan akan menemui wang yang ditinggalkan oleh penjudi mabuk di mesin-mesin perjudian.

Walaupun berdepan dengan risiko penyakit, ancaman labah-labah dan banjir, kebanyakan penghuni terowong itu mempunyai perabot dan pelbagai perhiasan lain.

Steven berpindah ke terowong itu dua tahun lalu selepas dia kehilangan kerja sebagai kakitangan sebuah hotel kerana masalah heroin.

"Kami pernah menemui wang sebanyak AS$997 (RM3,455) di dalam satu mesin perjudian. Saya turut menemui wang berjumlah AS$500 (RM1,733) beberapa kali," kata Steven.

Satu lagi pasangan, Amy dan JR tinggal di terowong itu dengan harapan untuk mencari pekerjaan di Las Vegas.

"Saya mempunyai sejumlah buku, pemain cakera padat dan pakaian serta gambar anak saya yang telah meninggal dunia 11 tahun lalu," kata Amy.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan ancaman labah-labah dan banjir, terowong itu merupakan tempat terbaik untuk dijadikan tempat tinggal untuk golongan tidak berumah.- Agensi

Wednesday, September 23, 2009

Bayi 8.7kg paling berat di Indonesia


JAKARTA - Seorang wanita Indonesia melahirkan bayi lelaki seberat 8.7 kilogram (kg) iaitu yang terberat pernah dicatatkan di negara itu, kata seorang doktor semalam.
Bayi yang masih belum diberi nama itu mempunyai ketinggian 62 sentimeter dan dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean kelmarin di sebuah hospital awam di wilayah Sumatera Utara.
"Pembedahan itu sukar kerana bayi itu amat berat terutama ketika proses untuk membawanya keluar dari rahim ibu.
"Kakinya amat besar," kata Dr. Binsar Sitanggang yang mengambil bahagian dalam pembedahan itu.
Bayi itu berada dalam keadaan sihat walaupun pada mulanya diberikan oksigen bagi mengatasi masalah pernafasannya, tambahnya.
"Dia (bayi itu) mempunyai selera makan yang besar. "Pada setiap minit dia hampir tidak berhenti untuk minum susu.
"Bayi ini amat luar biasa. Cara dia menangis tidak seperti bayi normal. Ia amat kuat," kata Dr. Binsar.
Menurutnya, berat badan luar biasa itu mungkin disebabkan oleh ibunya, Ani yang berumur 41 tahun mempunyai penyakit diabetes. - AFP

Tuesday, September 22, 2009

'Lelaki monyet' jalani pembedahan


BEIJING - Lelaki yang mempunyai paling banyak rambut di dunia, Yu Zhenghuan menjalani pembedahan plastik sebagai usaha untuk menceburi bidang lakonan secara serius, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebanyak 96 peratus daripada tubuh Zhenghuan yang mempunyai nama jolokan lelaki monyet itu diliputi rambut.

Sebelum ini dia yang berumur 32 tahun berharap akan memegang satu watak dalam drama klasik yang berjudul Journey to the west.

Drama itu mengisahkan seekor monyet menolong tuannya.

"Saya berpendapat saya merupakan calon terbaik kerana saya kelihatan seperti seekor monyet dan nama jolokan saya ialah lelaki monyet," kata Zhenghuan.

Namun, dia gagal dalam sesi uji bakat kerana wajahnya tidak tampan.

Menurutnya, dia akan menjalani pembedahan plastik bagi membolehkan dirinya menjadi 'monyet yang memiliki wajah tampan.'

Dia akan menjalani lima sesi pembedahan bagi membuang rambutnya.

Zhenghuan turut menjalani pembedahan plastik bagi membesarkan matanya dan mengurangkan saiz hidung serta bibirnya.

Semasa berumur tujuh tahun, dia menjadi popular kerana berlakon dalam sebuah filem yang berjudul Monkey Boy's Treasure Safari.

"Saya meminati bidang lakonan tetapi sebahagian orang percaya saya mencapai kejayaan kerana rambut saya. Ia tidak benar. Saya mahu membuktikan bahawa saya mempunyai bakat dan saya tidak memerlukan rambut ini," katanya. - Agensi

10 bilik hotel termewah

1. Royal Penthouse Suite, Hotel President Wilson (Geneva)

– RM229,483 satu malam

Dilengkapi lounge koktail, suite ini hanya boleh ditempah melalui pengerusi hotel. Ia terletak di tingkat teratas bangunan dan hanya boleh dimasuki menggunakan tangga bergerak persendirian.

Empat bilik di dalamnya menghadap Tasik Geneva dan Mont Blanc - gunung tertinggi di Alps dan Eropah Barat.

Ia juga dilengkapi enam bilik mandi, manakala kemasan luarnya menggunakan kaca kalis peluru.

Biasanya menjadi tempat penginapan ketua kerajaan, selebriti atau diplomat.


2. Penthouse Ty Warner, Hotel Four Seasons (New York)
– RM123,567 satu malam


Seorang jurucakap Hotel Four Seasons berkata, bisnes mereka tidak pernah terjejas sejak suite itu dibuka pada 2007.

Mempunyai sembilan bilik, hiasan dalamannya diserikan dengan ribuan mutiara, selain taman persendirian, bilik spa peribadi dihiasi pokok buluh dan perpustakaan.

Satu piano besar diletakkan di tengah suite ini.


3. Suite Presidential Suite, Hotel Cala di Volpe (Costa Smeralda, Sardinia)
– RM120,000 satu malam


Ketika cuti musim panas mencapai kemuncaknya, sewaan suite ini boleh meningkat kepada RM158,873 untuk satu malam.

Terletak di bangunan menara hotel, bilik ini seluas lebih 232 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, tiga bilik mandi, gimnasium persendirian, bilik wap dan koleksi wain mahal.

Di bahagian luar, penyewa boleh menikmati kolam renang air masin terbuka.


4. Suite Villa La Cupola Suite, Westin Excelsior (Rome)
– RM109,446 satu malam


Ruang penginapan di Westin Excelsior menampilkan hiasan era Roman dan jacuzzi ala zaman Pompeii, lukisan dinding dan siling, serta kaca berhias digandingkan dengan seni reka moden.

Terletak di tingkat lima dan enam, suite ini mempunyai luas hampir 567 meter persegi, tidak termasuk 168 meter persegi balkoni dan kawasan rehat memandang ke arah Via Veneto - jalan paling terkenal dan mewah di Itali.


5. Suite Presidential Suite, Ritz-Carlton (Tokyo)
– RM88,162 satu malam


Terletak di tingat teratas bangunan tertinggi di ibu negara Jepun, penghuni suite ini boleh menikmati pemandangan Gunung Fuji dan Roppongi, serta suasana bandar raya Tokyo.

Ia berkeluasan 220 meter persegi.

Penginap juga dihidangkan arak Martini, Diamonds-Are-Forever bernilai lebih RM63,000 yang berisi sebutir berlian di dasarnya.


6. Suite The Bridge, The Atlantis (Bahamas)
– RM77,615 satu malam


Suite 10 bilik ini sebenarnya jambatan yang menghubungkan dua menara Hotel Atlantis.

Terletak di tingkat 23, suite ini dihiasi lantai marmar, sebuah piano bear dan lampu gantung bertatah emas 22 karat.

Sebelum ini, premis itu digelar Suite Michael Jackson kerana pernah menjadi tempat penginapan kegemarannya.

Suite The Bridge sangat eksklusif sehinggakan hotel terbabit tidak pernah mengiklankannya kepada umum.


7. Suite Imperial, Park Hyatt Vendôme, (Paris)
– RM70,560 satu malam


Suite ini berkonsepkan spa dalam bilik dengan bilik mandi dan spa bersama tab whirlpool, bilik wap dan meja urut.

Memiliki keluasan 232 meter persegi, ruang tamunya sangat luas, selain ruang makan, dapur dan pejabat yang selesa.


8. Suite Diraja, Burj al-Arab (Dubai)
– RM69,148 satu malam


Sejak dibina pada pertengahan 1990-an, Burj al-Arab menjadi satu daripada hotel paling cepat terkenal di dunia, antara lain kerana reka bentuknya yang amat unik.

Suite Diraja di tingkat 25 menara Burj al-Arab dihiasi anak tangga marmar bertatah emas, permaidani kulit corak harimau bintang, lif persendirian dan katil berbumbung berputar.


9. Suite Royal Armleder, Le Richemond (Geneva)
– RM66,679 satu malam


Bilik ini dinamakan sempena keluarga kaya yang pernah memiliki hotel ini sebelum ia berpindah tangan kepada Rocco Forte pada Ogos 2004.

Suite tiga bilik tidur ini memiliki keluasan 232 meter persegi terletak di tingkat tujuh, selain beranda seluas lebih 90 meter persegi menghadap pemandangan Tasik Geneva.

Cerminnya pula adalah daripada jenis kalis peluru.


10. Suite Ritz-Carlton, The Ritz-Carlton (Moscow)
– RM58,212 satu malam


Dihiasi reka bentuk zaman silam Russia, suite seluas 220 meter persegi ini menghadap pelbagai tapak terkenal di Moscow, termasuk Kremlin dan Medan Merah.

Ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan memenuhi kehendak jutawan Russia, iaitu bilik berkubu dengan kemudahan elektrik dan telekomunikasi tersendiri.


Monday, September 21, 2009

Jocelyn semakin hodoh


DIA sudah membelanjakan lebih RM11.5 juta untuk mengubah wajahnya hanya untuk muncul sebagai contoh paling buruk akibat melakukan terlalu banyak pembedahan kosmetik.

Jocelyn Wildenstein dilihat di Los Angeles baru-baru ini dengan keadaan mukanya yang membengkak dan mengembang. Yang jelas, pembedahan demi pembedahan itu hanya menyebabkan wajahnya itu kelihatan menjadi lebih menakutkan.

Ia mungkin berpunca daripada satu lagi kegagalan pakar bedah plastiknya, yang sering dilawatinya sejak beberapa tahun lalu untuk mengubah wajahnya.

Wanita berusia 63 tahun itu digelar Pengantin Wildenstein kerana ketaksubannya menjalani pembedahan hingga menyebabkan wajahnya berubah menjadi begitu pelik.

'Lelaki terumbu karang' makin pulih


BEIJING - Seorang lelaki dikenali sebagai manusia terumbu karang, Lin Tianzhuan semakin pulih selepas mendapat rawatan khas dari sebuah klinik, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini, lelaki itu tidak dapat menggerakkan kaki dan tangannya menyebabkan dia berasakan dirinya akan menjadi seperti batu. Dia menghidap penyakit ganjil apabila tubuhnya ditumbuhi bintik-bintik besar seperti cangkerang.

Tianzhuan yang berumur 38 tahun dari Shuimen, selatan China menyatakan sebahagian besar orang ramai akan menjerit apabila melihatnya.

Lelaki itu kemudian dipinggirkan oleh rakan-rakan dan jirannya menyebabkan dia menyembunyikan diri di rumah keluarganya selepas mendapat penyakit tersebut.

Dia mula mengetahui tubuhnya ditumbuhi cangkerang itu di kaki dan tangannya semasa berumur 13 tahun.

Tianzhuan berkata: "Cangkerang itu semakin membesar dan ia merebak ke seluruh tangan, kaki dan bahagian belakang tubuh saya termasuk di kepala.

"Ia amat menakutkan. Cangkerang itu beransur-ansur menjadi tebal dan saya tidak boleh membengkokkan lengan dan kaki."

Namun, terima kasih kepada rawatan dan kejayaan pembedahan yang dilakukan oleh sekumpulan doktor di sebuah klinik kulit khas di sebuah hospital selama setahun.

Naib presiden hospital itu, Dr. Liu Yinghong berkata: "Dia memerlukan rawatan radioterapi tetapi dia menunjukkan pemulihan yang amat baik." - Agensi