WAK PUNYA GENG

Friday, November 6, 2009

ASKAR MENGAMUK


Tembak mati 13 orang kerana enggan dihantar ke Iraq

GAMBAR yang di siarkan di stesen televisyen CNN menunjukkan Nidal (kiri) memakai jubah semasa membeli-belah di kedai 7-Eleven di Fort Hood, Texas kelmarin.

FORT HOOD - Doktor psikiatri Tentera Amerika Syarkat (AS) Mejar Nidal Malik Hasan yang menembak mati 13 orang dan mencederakan 30 lagi di pangkalan tentera Fort Hood, Texas, dilihat berpakaian tradisi Arab ketika membeli sarapan beberapa jam sebelum dia mengamuk kelmarin, lapor saluran berita CNN semalam.

Nidal dipercayai melepaskan tembakan pada pukul 1. 30 petang waktu tempatan di Pusat Persediaan Askar di pangkalan itu.

Di kawasan berdekatan, sebahagian askar melakukan persediaan untuk menghadiri majlis tamat latihan yang turut dihadiri anggota keluarga mereka.

Stesen televisyen CNN menyiarkan satu rakaman video Nidal membeli kopi dan kepingan kentang goreng daripada sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di pangkalan berkenaan pada pagi kelmarin.

Dalam klip tersebut, Nidal yang memakai jubah berbual dengan pemilik kedai itu yang juga berketurunan Arab dan bekas anggota tentera AS.

"Dia nampak normal, dia singgah di kedai ini untuk membeli makanan sarapan seperti yang dapat dilihat dalam rakaman kamera video pengawasan," kata pemilik kedai berkenaan kepada CNN tujuh jam sebelum pegawai tentera itu mengamuk.


Satu rakaman video lain premis itu pada Selasa lepas menunjukkan Nidal dilihat memakai pakaian seragam perubatan.

Stesen televisyen CNN memetik kenyataan pemilik kedai itu yang memberitahu, Nidal datang ke premisnya hampir setiap hari dan pernah menyatakan kebimbangan bahawa dia akan dikerah ke Iraq serta terpaksa memerangi saudara seagama di sana.

Menurutnya, pegawai tentera tersebut melahirkan perasaan bimbang itu seminggu sebelum dia mengamuk.

Dia berkata, Nidal turut bertanya sama ada pemilik kedai itu mahu menghadiri solat Jumaat bersamanya.

Saudara-mara Nidal memberitahu, pegawai tentera itu kerap menjadi mangsa gangguan rakan-rakan sekerja kerana dia penganut Islam dan tidak mahu dihantar ke Iraq.

Seorang sepupunya menambah, Nidal yang dinaikkan pangkat sebagai mejar itu dilahirkan di AS manakala ibu bapanya pula berasal dari Palestin.

IMEJ menunjukkan beberapa anggota tentera mengusung seorang individu yang cedera di Fort Hood, Texas kelmarin.

Dia ditembak empat kali semasa mengamuk dengan melepaskan tembakan rambang di Fort Hood.

Beberapa laporan sebelum ini menyatakan pegawai tentera itu mati ditembak tetapi Nidal disahkan masih hidup dan dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini.

Insiden tembakan rambang itu merupakan yang terburuk pernah berlaku di pangkalan tentera AS.

Dua mangsa yang cedera ialah orang awam selepas Nidal melepaskan tembakan dengan menggunakan raifal separa automatik yang diperolehnya, kata Pegawai Pemerintah Pangkalan Fort Hood, Lefetenan Jeneral Bob Cone.

Pangkalan tentera Fort Hood adalah antara yang terbesar di dunia.

Presiden AS, Barack Obama menganggap kejadian itu sebagai satu keganasan yang mengerikan. - Agensi

No comments:

Post a Comment