WAK PUNYA GENG

Wednesday, September 30, 2009

Angkasawan badut buat lawak di ISS


BAIKONUR - Pengasas syarikat badut Cirque du Soleil, Guy Laliberte semalam berharap dia dapat menggeletek rakan-rakan angkasawan semasa mereka tidur di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Malah Laliberte sempat memakai hidung merah walaupun berada dalam bilik kuarantin sebelum dijadual berlepas ke angkasa di sini esok.

"Sepanjang hidup saya, banyak perkara gila dan menyeronokkan telah saya lakukan tetapi tidak sehebat berbanding lawatan ke ISS," kata pelawak Kanada berusia 50 tahun itu.

Dia ditempatkan di dalam bilik kuarantin berdinding kaca di sini bersama dua angkasawan lain bagi mengelak pencemaran sementara menunggu untuk menaiki roket ke ISS.

Menurut Laliberte yang menjadi badut pertama ke angkasa, pemergian ke ISS bukan untuk melakukan eksperimen saintifik seperti kebanyakan angkasawan lain sebelum ini.

Sebaliknya, tempoh 12 hari di stesen angkasa lepas itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk berhibur di samping memperoleh pengalaman baru.

Laliberte yang bermula sebagai penghibur jalanan sebelum mengaut kekayaan mencecah AS$2.5 bilion (RM8.7 bilion) hasil kejayaan Cirque du Soleil, membayar AS$35 juta (RM121.9 juta) untuk lawatan ke ISS. - AP

Friday, September 25, 2009

Lokasi purba puja ikan dugong ditemui dekat Dubai


PARIS 25 Sept. - Ahli arkeologi Perancis telah menemui lokasi pemujaan dugong tertua dunia yang pernah ditemui di sebuah pulau di utara Dubai.

Tempat pemujaan itu dipercayai bertarikh di antara 3,500 hingga 3,200 Sebelum Masihi ditemui di Pulau Akab di Emiriah Arab Bersatu, 50 kilometer dari Dubai.

Dua pusat penyelidikan iaitu Misi Arkeologi Perancis di Emiriah dan Muzium Umm al-Quwain berkata di dalam majalah Antiquity, tempat pemujaan di pulau yang telah dikosongkan itu menyediakan perincian penting mengenai 'upacara pemujaan oleh masyarakat persisiran pantai pra-sejarah di Teluk'.

Akab adalah sebuah kampung nelayan tuna pada lebih 6,500 tahun dahulu dengan binaan-binaan bangunan berbentuk bulat dan selonggok tulang dugong ditemui pada tahun 1990-an.

Haiwan yang dikenali dengan nama saintifik Dugong dugon itu masih wujud di Teluk dengan haiwan dewasa boleh membesar sehingga empat meter panjang dan seberat 400 kilogram.

Tempat pemujaan itu pada mulanya disangkakan sebuah rumah sembelihan tetapi analisis mendapati ia adalah platform dua tingkat yang dibina dengan teliti, mengandungi tulang-tulang sekitar 40 ekor dugong serta perkakasan, alat batu dan perhiasan.

Ahli arkeologi berkata, monumen Akab itu digunakan untuk upacara meraikan mamalia besar tersebut dan 'tidak ada persamaan dengan tempoh neolitik di tempat-tempat lain di dunia'.

Struktur serupa telah ditemui di persisiran Australia yang bagaimanapun hanya berusia beberapa ratus tahun. - AFP

Wanita AS kahwin penarik beca India

NEW DELHI - Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Whitney mengahwini seorang penarik beca India selepas menaiki becanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita berusia 26 tahun dan berasal dari Chicago itu bertemu dengan Harish Hotala pada minggu lalu di Jaipur di negeri Rajasthan yang terkenal dengan banyak istana lama.

Akhbar Mail Today melaporkan Whitney tanpa menyatakan nama keluarganya mengupah pemandu beca bermotor tersebut untuk membawanya melihat pemandangan di ibu negeri barat India itu.

"Pada hari ketiga kami mengembara, dia mengejutkan saya dengan membuat lamaran. Saya akhirnya jatuh cinta," katanya.

Mereka berkenalan pada Sabtu lalu sebelum berkahwin pada Rabu lepas dalam satu upacara ringkas dengan memakai sari tradisional dan gambar mereka disiarkan di akhbar itu.

Akhbar tersebut menyatakan Harish merupakan pemandu beca teksi yang fasih berbahasa Inggeris. Biarpun tercicir persekolahan, dia fasih berbahasa Inggeris dan memiliki tiga buah beca berenjin.

Whitney dijangka pulang semula ke AS pada Rabu depan untuk bertemu dengan keluarganya. - AFP

Thursday, September 24, 2009

Anak panah tertusuk pada tubuh budak


BEIJING - Seorang budak yang berumur dua tahun semakin pulih selepas tubuh belakangnya terkena sebilah anak panah akibat perbuatan jirannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak itu, Tian Tian sedang bermain di perkarangan rumah keluarganya di China apabila dia terkena anak panah di bahagian belakang badannya di Nanyang.

Menurut neneknya, Yi Tsou: "Dia menjerit dan saya kemudian melihat anak panah itu tertusuk di belakang tubuhnya. Saya hampir pengsan."

Anggota-anggota perubatannya kemudian menarik anak panah itu dan mereka kini menunggu sama ada ia menyebabkan kerosakan pada tulang belakangnya.

Menurut polis, jiran keluarga Tian itu berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara kerana mencederakan seorang budak.

- Agensi

Tinggal dalam terowong di Las Vegas


LAS VEGAS - Satu pasangan kekasih, Steven dan Kathryn tinggal dalam terowong banjir yang kotor di bawah tanah bandar raya Las Vegas di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Steven dan Kathryn tidak bekerja tetapi mereka merayau-rayau di kasino yang banyak terdapat di Las Vegas dengan harapan akan menemui wang yang ditinggalkan oleh penjudi mabuk di mesin-mesin perjudian.

Walaupun berdepan dengan risiko penyakit, ancaman labah-labah dan banjir, kebanyakan penghuni terowong itu mempunyai perabot dan pelbagai perhiasan lain.

Steven berpindah ke terowong itu dua tahun lalu selepas dia kehilangan kerja sebagai kakitangan sebuah hotel kerana masalah heroin.

"Kami pernah menemui wang sebanyak AS$997 (RM3,455) di dalam satu mesin perjudian. Saya turut menemui wang berjumlah AS$500 (RM1,733) beberapa kali," kata Steven.

Satu lagi pasangan, Amy dan JR tinggal di terowong itu dengan harapan untuk mencari pekerjaan di Las Vegas.

"Saya mempunyai sejumlah buku, pemain cakera padat dan pakaian serta gambar anak saya yang telah meninggal dunia 11 tahun lalu," kata Amy.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan ancaman labah-labah dan banjir, terowong itu merupakan tempat terbaik untuk dijadikan tempat tinggal untuk golongan tidak berumah.- Agensi

Wednesday, September 23, 2009

Bayi 8.7kg paling berat di Indonesia


JAKARTA - Seorang wanita Indonesia melahirkan bayi lelaki seberat 8.7 kilogram (kg) iaitu yang terberat pernah dicatatkan di negara itu, kata seorang doktor semalam.
Bayi yang masih belum diberi nama itu mempunyai ketinggian 62 sentimeter dan dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean kelmarin di sebuah hospital awam di wilayah Sumatera Utara.
"Pembedahan itu sukar kerana bayi itu amat berat terutama ketika proses untuk membawanya keluar dari rahim ibu.
"Kakinya amat besar," kata Dr. Binsar Sitanggang yang mengambil bahagian dalam pembedahan itu.
Bayi itu berada dalam keadaan sihat walaupun pada mulanya diberikan oksigen bagi mengatasi masalah pernafasannya, tambahnya.
"Dia (bayi itu) mempunyai selera makan yang besar. "Pada setiap minit dia hampir tidak berhenti untuk minum susu.
"Bayi ini amat luar biasa. Cara dia menangis tidak seperti bayi normal. Ia amat kuat," kata Dr. Binsar.
Menurutnya, berat badan luar biasa itu mungkin disebabkan oleh ibunya, Ani yang berumur 41 tahun mempunyai penyakit diabetes. - AFP

Tuesday, September 22, 2009

'Lelaki monyet' jalani pembedahan


BEIJING - Lelaki yang mempunyai paling banyak rambut di dunia, Yu Zhenghuan menjalani pembedahan plastik sebagai usaha untuk menceburi bidang lakonan secara serius, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebanyak 96 peratus daripada tubuh Zhenghuan yang mempunyai nama jolokan lelaki monyet itu diliputi rambut.

Sebelum ini dia yang berumur 32 tahun berharap akan memegang satu watak dalam drama klasik yang berjudul Journey to the west.

Drama itu mengisahkan seekor monyet menolong tuannya.

"Saya berpendapat saya merupakan calon terbaik kerana saya kelihatan seperti seekor monyet dan nama jolokan saya ialah lelaki monyet," kata Zhenghuan.

Namun, dia gagal dalam sesi uji bakat kerana wajahnya tidak tampan.

Menurutnya, dia akan menjalani pembedahan plastik bagi membolehkan dirinya menjadi 'monyet yang memiliki wajah tampan.'

Dia akan menjalani lima sesi pembedahan bagi membuang rambutnya.

Zhenghuan turut menjalani pembedahan plastik bagi membesarkan matanya dan mengurangkan saiz hidung serta bibirnya.

Semasa berumur tujuh tahun, dia menjadi popular kerana berlakon dalam sebuah filem yang berjudul Monkey Boy's Treasure Safari.

"Saya meminati bidang lakonan tetapi sebahagian orang percaya saya mencapai kejayaan kerana rambut saya. Ia tidak benar. Saya mahu membuktikan bahawa saya mempunyai bakat dan saya tidak memerlukan rambut ini," katanya. - Agensi

10 bilik hotel termewah

1. Royal Penthouse Suite, Hotel President Wilson (Geneva)

– RM229,483 satu malam

Dilengkapi lounge koktail, suite ini hanya boleh ditempah melalui pengerusi hotel. Ia terletak di tingkat teratas bangunan dan hanya boleh dimasuki menggunakan tangga bergerak persendirian.

Empat bilik di dalamnya menghadap Tasik Geneva dan Mont Blanc - gunung tertinggi di Alps dan Eropah Barat.

Ia juga dilengkapi enam bilik mandi, manakala kemasan luarnya menggunakan kaca kalis peluru.

Biasanya menjadi tempat penginapan ketua kerajaan, selebriti atau diplomat.


2. Penthouse Ty Warner, Hotel Four Seasons (New York)
– RM123,567 satu malam


Seorang jurucakap Hotel Four Seasons berkata, bisnes mereka tidak pernah terjejas sejak suite itu dibuka pada 2007.

Mempunyai sembilan bilik, hiasan dalamannya diserikan dengan ribuan mutiara, selain taman persendirian, bilik spa peribadi dihiasi pokok buluh dan perpustakaan.

Satu piano besar diletakkan di tengah suite ini.


3. Suite Presidential Suite, Hotel Cala di Volpe (Costa Smeralda, Sardinia)
– RM120,000 satu malam


Ketika cuti musim panas mencapai kemuncaknya, sewaan suite ini boleh meningkat kepada RM158,873 untuk satu malam.

Terletak di bangunan menara hotel, bilik ini seluas lebih 232 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur, tiga bilik mandi, gimnasium persendirian, bilik wap dan koleksi wain mahal.

Di bahagian luar, penyewa boleh menikmati kolam renang air masin terbuka.


4. Suite Villa La Cupola Suite, Westin Excelsior (Rome)
– RM109,446 satu malam


Ruang penginapan di Westin Excelsior menampilkan hiasan era Roman dan jacuzzi ala zaman Pompeii, lukisan dinding dan siling, serta kaca berhias digandingkan dengan seni reka moden.

Terletak di tingkat lima dan enam, suite ini mempunyai luas hampir 567 meter persegi, tidak termasuk 168 meter persegi balkoni dan kawasan rehat memandang ke arah Via Veneto - jalan paling terkenal dan mewah di Itali.


5. Suite Presidential Suite, Ritz-Carlton (Tokyo)
– RM88,162 satu malam


Terletak di tingat teratas bangunan tertinggi di ibu negara Jepun, penghuni suite ini boleh menikmati pemandangan Gunung Fuji dan Roppongi, serta suasana bandar raya Tokyo.

Ia berkeluasan 220 meter persegi.

Penginap juga dihidangkan arak Martini, Diamonds-Are-Forever bernilai lebih RM63,000 yang berisi sebutir berlian di dasarnya.


6. Suite The Bridge, The Atlantis (Bahamas)
– RM77,615 satu malam


Suite 10 bilik ini sebenarnya jambatan yang menghubungkan dua menara Hotel Atlantis.

Terletak di tingkat 23, suite ini dihiasi lantai marmar, sebuah piano bear dan lampu gantung bertatah emas 22 karat.

Sebelum ini, premis itu digelar Suite Michael Jackson kerana pernah menjadi tempat penginapan kegemarannya.

Suite The Bridge sangat eksklusif sehinggakan hotel terbabit tidak pernah mengiklankannya kepada umum.


7. Suite Imperial, Park Hyatt Vendôme, (Paris)
– RM70,560 satu malam


Suite ini berkonsepkan spa dalam bilik dengan bilik mandi dan spa bersama tab whirlpool, bilik wap dan meja urut.

Memiliki keluasan 232 meter persegi, ruang tamunya sangat luas, selain ruang makan, dapur dan pejabat yang selesa.


8. Suite Diraja, Burj al-Arab (Dubai)
– RM69,148 satu malam


Sejak dibina pada pertengahan 1990-an, Burj al-Arab menjadi satu daripada hotel paling cepat terkenal di dunia, antara lain kerana reka bentuknya yang amat unik.

Suite Diraja di tingkat 25 menara Burj al-Arab dihiasi anak tangga marmar bertatah emas, permaidani kulit corak harimau bintang, lif persendirian dan katil berbumbung berputar.


9. Suite Royal Armleder, Le Richemond (Geneva)
– RM66,679 satu malam


Bilik ini dinamakan sempena keluarga kaya yang pernah memiliki hotel ini sebelum ia berpindah tangan kepada Rocco Forte pada Ogos 2004.

Suite tiga bilik tidur ini memiliki keluasan 232 meter persegi terletak di tingkat tujuh, selain beranda seluas lebih 90 meter persegi menghadap pemandangan Tasik Geneva.

Cerminnya pula adalah daripada jenis kalis peluru.


10. Suite Ritz-Carlton, The Ritz-Carlton (Moscow)
– RM58,212 satu malam


Dihiasi reka bentuk zaman silam Russia, suite seluas 220 meter persegi ini menghadap pelbagai tapak terkenal di Moscow, termasuk Kremlin dan Medan Merah.

Ia dilengkapi ciri-ciri keselamatan memenuhi kehendak jutawan Russia, iaitu bilik berkubu dengan kemudahan elektrik dan telekomunikasi tersendiri.


Monday, September 21, 2009

Jocelyn semakin hodoh


DIA sudah membelanjakan lebih RM11.5 juta untuk mengubah wajahnya hanya untuk muncul sebagai contoh paling buruk akibat melakukan terlalu banyak pembedahan kosmetik.

Jocelyn Wildenstein dilihat di Los Angeles baru-baru ini dengan keadaan mukanya yang membengkak dan mengembang. Yang jelas, pembedahan demi pembedahan itu hanya menyebabkan wajahnya itu kelihatan menjadi lebih menakutkan.

Ia mungkin berpunca daripada satu lagi kegagalan pakar bedah plastiknya, yang sering dilawatinya sejak beberapa tahun lalu untuk mengubah wajahnya.

Wanita berusia 63 tahun itu digelar Pengantin Wildenstein kerana ketaksubannya menjalani pembedahan hingga menyebabkan wajahnya berubah menjadi begitu pelik.

'Lelaki terumbu karang' makin pulih


BEIJING - Seorang lelaki dikenali sebagai manusia terumbu karang, Lin Tianzhuan semakin pulih selepas mendapat rawatan khas dari sebuah klinik, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini, lelaki itu tidak dapat menggerakkan kaki dan tangannya menyebabkan dia berasakan dirinya akan menjadi seperti batu. Dia menghidap penyakit ganjil apabila tubuhnya ditumbuhi bintik-bintik besar seperti cangkerang.

Tianzhuan yang berumur 38 tahun dari Shuimen, selatan China menyatakan sebahagian besar orang ramai akan menjerit apabila melihatnya.

Lelaki itu kemudian dipinggirkan oleh rakan-rakan dan jirannya menyebabkan dia menyembunyikan diri di rumah keluarganya selepas mendapat penyakit tersebut.

Dia mula mengetahui tubuhnya ditumbuhi cangkerang itu di kaki dan tangannya semasa berumur 13 tahun.

Tianzhuan berkata: "Cangkerang itu semakin membesar dan ia merebak ke seluruh tangan, kaki dan bahagian belakang tubuh saya termasuk di kepala.

"Ia amat menakutkan. Cangkerang itu beransur-ansur menjadi tebal dan saya tidak boleh membengkokkan lengan dan kaki."

Namun, terima kasih kepada rawatan dan kejayaan pembedahan yang dilakukan oleh sekumpulan doktor di sebuah klinik kulit khas di sebuah hospital selama setahun.

Naib presiden hospital itu, Dr. Liu Yinghong berkata: "Dia memerlukan rawatan radioterapi tetapi dia menunjukkan pemulihan yang amat baik." - Agensi

Friday, September 18, 2009

Gempar makhluk asing ditemui




BANDAR RAYA PANAMA - Sejumlah penduduk tempatan di bandar Cerrol Azul, Panama berada dalam ketakutan selepas satu makhluk asing keluar dari sebuah kawasan air terjun dan mengganggu sekumpulan remaja, lapor sebuah akhbar semalam.

Makhluk asing itu dilihat pada Sabtu lalu apabila empat remaja berumur 14 hingga 16 tahun bermain di satu kawasan air terjun.

Menurut laporan agensi berita Telemetro, remaja-remaja tersebut menjerit apabila makhluk tersebut keluar dari sebuah gua dan mendekati mereka

Empat remaja itu yang berada dalam ketakutan membaling batu ke arah makhluk tersebut sehingga mati.

Stesen televisyen Panama, Channel 13 menunjukkan imej makhluk ganjil itu.

Remaja-remaja itu kemudian membaling bangkai makhluk asing itu ke dalam air sebelum melarikan diri.

Ibu bapa mereka yang tidak percaya dengan cerita penemuan makhluk itu kemudian pergi ke tasik tersebut dan terkejut melihat bangkai makhluk ganjil tersebut.

Namun, penduduk tempatan memberitahu wartawan Channel 13 bahawa makhluk itu mirip Gollum iaitu watak yang terdapat dalam filem Lord of the Rings.

Seorang ahli zoologi, Jacobo Arauz berkata, makhluk asing itu mungkin terjadi akibat mutasi dan ia mungkin sejenis makhluk yang bergerak perlahan.

Beberapa penduduk percaya ia merupakan makhluk dari planet lain manakala sebahagian lagi menganggapnya sebagai sejenis haiwan. - Agensi

Thursday, September 17, 2009

Rawat buta guna gigi taring


MIAMI - Pancaindera seorang nenek buta berusia 60 tahun di Amerika Syarikat (AS) pulih selepas sepasukan doktor bedah menanam sebatang gigi dalam matanya sebagai tapak untuk meletakkan sebuah kanta plastik halus, kata sekumpulan doktor kelmarin.

Menurut Institut Mata Bascom Palmer, wanita berkenaan, Sharron Thornton, menjadi buta pada 2,000 akibat sejenis penyakit mata.

Pakar mata yang merawat Thornton, Victor Perez berkata, gigi itu ditanam ke dalam mata pesakit bagi memasak sekeping lensa bertujuan memulihkan penglihatannya.

Menurut pakar berkenaan, prosedur itu dilakukan apabila tubuh pesakit menolak pemindahan kornea atau penggunaan kornea palsu.

Prosedur menanam gigi pada mata itu dipelopori di Itali tetapi merupakan pembedahan yang pertama di AS.

Ia melibatkan pasukan perubatan mengambil satu gigi taring Thornton dan sedikit tulang sebelum mereka membuat lubang pada gigi itu untuk memasukkan satu kanta bulat.

"Kita tidak menghargai deria penglihatan kita tanpa menyedari bahawa kita mungkin kehilangan anugerah itu pada bila-bila masa," kata wanita itu.

"Pembedahan ini satu keajaiban," tambahnya.

Wanita itu dapat mengenali objek dan wajah beberapa jam selepas pembedahan manakala dua minggu kemudian dia sudah boleh membaca suratkhabar. - AFP

Banduan trauma hukuman mati gagal


COLUMBUS - Seorang banduan, Romell Broom mengalami trauma berikutan hukuman mati melalui suntikan maut gagal dilaksanakan walaupun pihak penjara di sini berusaha memasukkan jarum ke lengannya selama dua jam.

Peguamnya, Adele Shank berkata, usaha pihak berkuasa untuk mencuba sekali lagi pada minggu hadapan mungkin boleh membawa bencana.

"Prosedur hukuman mati itu tidak menjadi. Broom berjalan tanpa luka pada bahagian saluran darahnya," kata Shank.

Gabenor negeri Ohio, Ted Strickland membuat keputusan untuk menghentikan prodesur pada Selasa lalu dan menundanya selama seminggu.

Shank berkata, pihaknya memohon Strickland untuk menimbangkan belas kasihan terhadap hukuman Broom.

Strickland bagaimanapun berkata, beliau akan mengkaji kejadian itu dan merujuk kepada para pegawai penjara untuk menentukan langkah berikutnya.

Pasukan perubatan gagal mengekalkan pembukaan saluran darah berikutan penggunaan dadah lampau Broom.

Dia dijatuhi hukuman mati kerana merogol dan membunuh seorang gadis, Tryna Middleton, 14, selepas menculiknya di Cleveland pada September 1984. - AP

Wednesday, September 16, 2009

Lembu amuk di kedai runcit


PUYALLUP - Pelanggan-pelanggan di sebuah kedai dekat Seattle, Amerika Syarikat (AS) menyelamatkan diri apabila seekor lembu ternakan dari satu pesta mengamuk di dalam premis itu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian itu berlaku dekat tapak Puyallup Fair apabila haiwan berkenaan terlepas semasa majlis perasmian perarakan di pesta tersebut.

Lembu itu kemudian memasuki sebuah stesen minyak dan kedai berdekatan.

Dua koboi yang menunggang kuda menggunakan kemahiran yang dimiliki mereka untuk menghalau lembu itu keluar dari kedai tersebut.

Jurucakap polis Washington, Dave McDonald berkata, ternakan itu mungkin masuk melalui pintu hadapan kedai itu

Sementara itu, jurucakap pesta tersebut, Karen LaFlamme berkata, kejadian haiwan melarikan diri merupakan fenomena biasa yang kerap berlaku pada setiap tahun. - Agensi

PAKAR TERAPI


LONDON - Seorang wanita, Mare Simone meniduri lebih seribu lelaki dengan kebanyakan daripada mereka ialah suami atau teman lelaki wanita lain, lapor sebuah akhbar semalam.

Simone, 54, yang menggelarkan dirinya 'wanita tumpang' melakukan perbuatan itu bagi membantu lelaki dan wanita mengatasi masalah hubungan intim mereka.

Sebagai pakar terapi seks bertauliah, Simone telah memberi tunjuk ajar mengenai hubungan kelamin kepada lebih 10,000 pelanggan sejak 23 tahun lalu.

Walaupun pernah mengadakan hubungan seks dengan 1,500 pelanggannya, wanita itu menegaskan bahawa kerjayanya tidak menyalahi undang-undang.

"Saya menyara hidup dengan meniduri suami atau teman lelaki wanita lain. Namun, saya bukan pelacur. Orang ramai membayar untuk kaunseling bagi mengatasi masalah mereka," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berasa bosan walaupun telah 20 tahun menceburi kerjaya yang agak luar biasa itu.

"Saya tidak merancang untuk bersara bagi tempoh 10 tahun lagi," ujar Simone. - Agensi

Friday, September 11, 2009

Tipu daya kamera

GAMBAR menunjukkan seorang wanita seolah-olah menyangga sebuah jejambat di Quebec, Kanada

GAMBAR menunjukkan seorang kanak-kanak sedang bermain dengan belon udara.

SEORANG wanita seperti berdiri di atas tangan rakannya.

LONDON - Sebuah akhbar Britain menyiarkan beberapa gambar yang dirakamkan dengan menggunakan perspektif berlainan sekali gus membuktikan bahawa kamera boleh menyebabkan manusia terpedaya, lapor sebuah akhbar semalam.

Perbezaan jarak digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan imej yang menunjukkan seorang kanak-kanak sedang bermain dengan belon udara yang terapung di atas rumahnya.

Teknik serupa turut diaplikasikan untuk menghasilkan gambar seorang wanita berdiri di atas tangan rakannya di padang garam di Bolivia.

Gambar ketiga pula yang dirakamkan di Quebec, Canada menunjukkan seorang wanita seolah-olah menyangga sebuah jejambat daripada runtuh. - Agensi

Manhattan dijual RM83.82


NEW YORK - Keseluruhan bandar raya Manhattan yang merupakan kota kewangan dunia dibeli daripada penduduk asli Red Indian dengan harga AS$24 (RM83.82), menurut satu dokumen sejarah.

Satu-satunya testimoni bertulis mengenai penjualan Manhattan pada 400 tahun lalu kini menjadi bahan penting pada satu pameran mengenai New Amsterdam iaitu sebuah penempatan Belanda yang akhirnya dirampas penjajah British tetapi ia kini dikenali sebagi New York.

Surat yang jarang-jarang dipertonton kepada umum dengan saiz kertas A3, beberapa peta, buku dan dokumen daripada Arkib Kebangsaan Belanda dipamerkan di Muzium South Street Seaport di sini, esok.

Pameran itu merupakan sebahagian sambutan yang meraikan ulang tahun ke-400 Henry Hudson yang meneroka Manhattan bagi pihak Belanda untuk Syarikat India Timur Belanda.

"Tidak seorang pun yang mengetahui satu hari nanti penempatan itu akan menjadi New York," kata Pengarah Arkib Mengenai Belanda, Martin Berendse.

New York kini dihuni lebih lapan juta orang serta mempunyai pelbagai bangunan hebat termasuk bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) yang diserang pengganas pada 11 September 2001. - AFP

Thursday, September 10, 2009

Jutawan China beli anjing RM2.1 juta


BEIJING - Seorang jutawan di China sanggup membayar AS$600,000 (RM2.1 juta) untuk memiliki seekor anjing sebelum mengarahkan 30 kereta mewah menyambutnya dan haiwan itu di sebuah lapangan terbang, lapor sebuah media tempatan.

Portal berita sohu.com menyatakan, jutawan wanita itu dan anjing peliharaannya berlepas ke bandar Xi'an iaitu ibu negeri wilayah Shaanxi.

Satu konvoi 30 kereta Mercedes-Benz yang didahului dua kenderaan utiliti sport tiba di lapangan terbang itu untuk mengambil pasangan wanita dan anjing itu setibanya mereka dari wilayah Qinghai, barat laut China kelmarin.

Jutawan yang dikenali sebagai Wang itu berkata, dia dan seorang rakan sudah lama mencari seekor anjing baka Tibetan mastiff tulen.

"Emas boleh dicari tetapi anjing Tibetan mastiff ini jarang didapati," kata jutawan muda itu menurut sohu.com.

Pada April lepas, majalah Hurun Report mendedahkan bahawa sejumlah 825,000 orang di China memiliki kekayaan lebih AS$1.5 juta (RM5.2 juta) atau bersamaan 0.06 peratus jumlah penduduk negara itu. - AFP


#Kalau wak dapat 1 juta, dok goyang kaki. Depa senang2 je bazirkan duit tu untuk beli anjing

Jentera bomba AS terbenam


OS ANGELES - Beberapa anggota bomba di Amerika Syarikat (AS) memerlukan bantuan apabila jentera mereka terbenam ke dalam sebuah lubang, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam kejadian baru-baru ini, pasukan bomba berkenaan dalam perjalanan untuk menangani masalah banjir kilat akibat paip pecah di sebuah kawasan perumahan di Kampung Valley, Lembah San Fernando di sini.

Namun, berat enjin kereta bomba itu menyebabkan berlakunya tanah jerlus di lokasi kejadian manakala jentera tersebut terbenam ke dalam lubang besar berisi air dan lumpur.

Bagaimanapun, tiada kecederaan berlaku kerana dua anggota bomba yang berada di dalam trak tersebut sempat menyelamatkan diri. - Agensi

Jual isteri RM867 kerana hutang

LUCKNOW - Petani-petani di utara India sanggup memilih jalan keluar dengan menjual isteri mereka untuk melangsaikan hutang yang dipinjam dari lintah darat berikutan musim kemarau di negara itu, kata beberapa aktivis.

Menurut mereka, kemiskinan, pengurusan yang lemah dan kekurangan pendidikan menjadi salah satu punca kenapa petani di wilayah Bundelkhand mengambil langkah drastik itu.

"Keadaan itu berlaku sejak sekian lama. "Namun petani-petani tersebut tidak teragak-agak untuk bertindak menjual isteri mereka," kata seorang aktivis sosial, Manoj Kumar.

Seorang pekerja sosial, Shailendra Sagar berkata, masalah petani di Bundelkhand yang menyedihkan itu turut berlaku di wilayah lain seperti Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh.

"Mereka hidup dikelilingi hutang. Menjual salah seorang isteri atau anak perempuan merupakan jalan yang terakhir untuk terus hidup," katanya.

Beberapa laporan menyatakan isteri itu dijual atau digadai pada harga antara satu rupee (RM0.07 sen) sehingga 12,000 rupee (RM867). - AFP

Sunday, September 6, 2009

Wajah wanita bukan keutamaan lelaki


WELLINGTON - Golongan wanita kerap mengadu bahawa muka mereka merupakan perkara paling terakhir yang dilihat oleh lelaki.

Bagaimanapun, satu kajian saintifik menunjukkan komen wanita itu terbukti betul.

Menurut sebuah akhbar semalam, sekumpulan penyelidik dari Universiti Wellington, New Zealand mendapati sebanyak 47 peratus daripada lelaki melihat bahagian dada wanita terlebih dahulu sebelum muka mereka.

Beberapa pakar berkata, renungan lelaki ke arah bahagian dada itu adalah yang paling lama berbanding pada tubuh lain wanita.

Keadaan itu berlaku atas sebab-sebab yang mungkin berubah mengikut situasi.

Wanita yang mempunyai dada besar dan pinggang yang kecil seperti penyanyi opera terkenal di Britain, Katherine Jenkins (gambar) mempunyai hormon wanita oestrogen yang tinggi sekali gus memberi petunjuk bahawa dia seorang yang subur.

Namun, beberapa penyelidik itu mengaku mungkin terdapat penjelasan yang lebih membosankan.

"Golongan lelaki kerap melihat bahagian dada kerana mereka berasa seronok tanpa mengambil kira saiznya," kata penyelidik itu. - Agensi

Saturday, September 5, 2009

Buru ikan mulut mirip buaya


BIMBANGKAN tahap keselamatan orang ramai, pihak berkuasa Hong Kong melakukan pemeriksaan di beberapa buha kolam dan tasik awam selepas 16 ikan yang mempunyai mulut seperti buaya, Alligator gar ditemui.

Ikan itu dipercayai dibuang oleh pemiliknya di kolam dan tasik disebabkan saiznya yang semakin membesar.

Akhbar South China Morning Post semalam melaporkan seekor ikan Alligator gar sepanjang satu meter berjaya ditangkap di sebuah kolam di taman awam pada Jumaat lalu.

Ikan yang berasal daripada Amerika Utara itu dijual di Hong Kong untuk dipelihara di dalam akuarium semasa panjangnya kurang 30 sentimeter.

Ikan itu boleh membesar sehingga tiga meter panjang dan seberat 140 kilogram.

Menurut akhbar itu, sebanyak 15 ekor ikan ditemui di beberapa kolam dan tasik di sekitar Hong Kong.

Walaupun ikan itu agresif dan merupakan spesies karnivor, ia tidak menyerang manusia. - AFP

Datuk Bandar London gesa bukan Muslim berpuasa


BAGI meningkatkan pengetahuan terhadap penganut Islam, Datuk Bandar London, Boris Johnson menggalakkan orang ramai bukan beragama itu turut berpuasa selama satu hari dalam bulan Ramadan.

Menurut sebuah akhbar semalam, Johnson membuat kenyataan itu ketika melakukan lawatan ke sebuah masjid dan Pusat Islam London.

Dia berkata, penganut 'di ibu kota itu 'mencabar pandangan tradisional mereka' dengan cuba menjadi sebahagian daripada komuniti arus perdana.

"Itulah sebab kenapa saya menggesa orang ramai, terutamanya dalam Ramadan supaya mengenali lebih lanjut mengenai Islam, tingkatkan pemahaman anda dan pembelajaran (agama Islam), malah berpuasa satu hari dengan jiran Muslim anda serta berbuka puasa di masjid tempatan.

"Saya akan berasa amat terkejut jika anda tidak menemui bahawa anda (sebenarnya) berkongsi banyak persamaan," kata Johnson. - Agensi

Friday, September 4, 2009

Bekas khas kutip bayi dibuang


JOHANNESBURG - Sebuah rumah kebajikan di sini, Afrika Selatan mempunyai cara tersendiri bagi mengambil bayi yang dibuang oleh ibu bapa yang menghadapi kesan krisis ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Lubang yang diperbuat daripada logam itu dikenali sebagai Baby Bin memberi harapan baru kepada keluarga miskin yang berhubung nasib masa depan bayi mereka.

Pengurus pertubuhan kebajikan yang dikenali sebagai Door of Hope, Kate Allen, 34, yang mengurus Baby Bin berkata: "Adalah mengejutkan apabila melihat kesan kemelesetan ekonomi. Terdapat terlalu sedikit golongan kaya yang menawarkan kerja kepada penduduk miskin Afrika Selatan."

Bilangan bayi dibuang di Afrika Selatan kini meningkat daripada lima orang sebulan pada tiga tahun lalu kepada 15 orang setiap bulan.

Kebanyakan bayi itu tidak cukup zat makanan dan dibuang pada waktu malam. - Agensi

Kucing hidup ditusuk panah


BLOOMINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seekor kucing di sini masih mampu hidup walaupun kepalanya ditembusi sebilah anak panah, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang doktor haiwan di sini berjaya menyelamatkan nyawa Brownie yang berusia empat tahun apabila anak panah sepanjang 33 sentimeter di bahagian tengkorak itu dikeluarkan.

Haiwan berkenaan dipercayai dipanah oleh individu yang tidak bertanggungjawab namun doktor haiwan tersebut percaya kucing itu selamat kerana ia baru kehilangan salah satu daripada sembilan nyawanya. - Agensi