SAMA-SAMALAH KITA BERHIJRAH KEPADA YANG LEBIH BAIK, (INSYAALLAH) KERANA:" CELAKALAH ORANG YANG BERADA PADA TAHAP YANG SAMA PADA HARI INI DAN ESOK" (MAFHUM HADIS)

LUMAJANG - Seekor monyet di Desa Pasirian di sini 'jatuh cinta' pada seekor ayam betina sehingga menjadi tumpuan penduduk kampung, lapor sebuah akhbar semalam.
Monyet itu dilihat memeluk dan mencium ayam kampung kesayangannya dengan penuh mesra.
Menurut pemilik monyet dan ayam itu, Ali Murtadi, kisah cinta unik antara kedua-dua haiwan tersebut berlaku sejak setahun lalu.
Dia berkata, monyet miliknya itu ditemui dari kawasan lereng di Gunung Semeru sebelum dipelihara dan dikurung dalam kandang di bawah pokok mempelam dekat rumahnya.
Pada awalnya, haiwan itu liar namun setelah sebulan dipelihara, ia menjadi jinak.
"Saya terkejut apabila melihat ayam milik saya sering tidur bersama monyet. Namun, kini ia tidak lagi menjadi masalah," kata Ali.
Kadangkala monyet itu menunjukkan kebolehannya menari dengan menggoyang-goyangkan badan menyebabkan ayam tersebut datang padanya.
Semasa ayam datang, monyet tersebut menyambut kekasihnya dengan pelukan dan ciuman mesra.
Aksi monyet dan ayam itu menjadi tumpuan ramai penduduk kampung apabila mereka sanggup datang untuk melihat 'percintaan' antara kedua-dua haiwan itu selepas berita mengenainya tersebar.
Semasa monyet dan haiwan itu 'berkasih-kasihan,' penduduk kampung yang melihatnya akan tertawa. - Agensi

KLANG - Biarpun baru berusia enam tahun, seorang kanak-kanak lelaki sudah digelar hero apabila mampu menarik sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240 yang dinaiki empat lelaki dewasa dengan berat keseluruhan 1,955 kilogram sejauh 120 meter dalam masa dua minit.
Kejayaan T. Santosperumal (gambar kecil) menarik beban yang hampir 56 kali ganda berat badannya dengan hanya satu lilitan tali di pinggang berjaya dicatatkan sebagai rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Sebaik berjaya sampai ke garisan penamat, anak sulung daripada empat adik beradik itu sempat melaungkan 'Satu Malaysia' sambil melompat kegembiraan.
Santosperumal ketika ditemui menyatakan dia berasa gembira kerana berjaya menarik kereta tersebut walaupun tidak menjalani latihan harian.
"Selepas ini, saya mahu tarik kapal terbang," katanya pada sidang akhbar di premis besi buruk milik bapanya, N. Thiagu, 42, di Kampung Jawa di sini semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah turut hadir menyaksikan percubaan kanak-kanak itu.


DONGWAN - Seorang lelaki di China memaut belakang sebuah bas semata-mata kerana mahu berjimat daripada membayar tambang, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengguna-pengguna jalan raya terkejut apabila melihat aksi Deng Chung, 33, itu selama 30 minit sebelum dia melompat turun setibanya di luar pejabatnya di sini, selatan China, baru-baru ini.
Susulan kejadian tersebut, polis China menyoal beberapa penumpang dan pekerja pejabat bagi mengumpul bukti untuk mendakwa lelaki itu kerana aksinya yang membahayakan keselamatan orang ramai. - Agensi

MALAM romantik pelakon komedi Rowan Atkinson atau lebih popular dikenali sebagai Mr. Bean bersama isterinya, Sunetra terganggu apabila enjin kereta mewah aktor itu tiba-tiba terbakar.
Ia berlaku ketika Atkinson, 54, dalam perjalanan pulang daripada majlis makan malam di Mayfair di sini kelmarin sebelum kereta lumba mewah Jaguar 1952 beliau mengeluarkan asap.
Atkinson dipercayai cuba memadam kebakaran itu dengan alat pemadam api di dalam kereta sebelum terpaksa menghubungi pihak bomba apabila gagal mengawal keadaan.
Beliau dan isteri yang tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudian dihantar pulang dengan menaiki sebuah trak tunda manakala kereta antik itu dihantar ke bengkel untuk dibaik pulih. - Agensi

RIYADH - Sebuah stesen televisyen keagamaan di Arab Saudi membenarkan wanita menjadi pengacara tetapi mengenakan syarat iaitu mereka perlu memakai purdah, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang penyampai rancangan bual bicara pagi di stesen televisyen Awtan TV, Ola al-Barqi muncul dengan memakai purdah berwarna hitam yang menutup muka namun berjaya menarik minat ramai penonton.
"Kami tidak menampilkan diri sebagai seorang wanita yang cantik dan penuh dengan solekan di muka.
"Penonton kami menumpukan terhadap apa yang kami persembahkan kepada mereka iaitu idea dan topik perbincangan.
"Kami menerima panggilan daripada penonton di beberapa negara yang menggalakkan kami meneruskan penampilan kami," katanya.
Terdapat lebih 60 saluran keagamaan di Asia Barat tetapi kebanyakannya memaparkan pengacara tidak memakai tudung atau memakai gaun hitam.
Stesen itu turut membenarkan wanita menjadi wartawan penyiaran di luar studio.
"Kami turut membuat laporan dari tempat kejadian dengan memakai purdah dan ia tidak menyekat kami daripada membuat tugasan," kata Ola.
Juruteknik lelaki tidak memasuki studio semasa pengacara wanita itu bertugas mengendalikan program tersebut.
Ola yang juga menjadi hos rancangan kuiz tidak kecewa jika dia tidak dikenali oleh orang ramai di jalanan.
"Kami tidak perlukan kemasyhuran," katanya. - Agensi

DARWIN - Seekor lembu di Australia nyaris lemas kerana keletihan selepas memasuki kawasan laut dalam di Pelabuhan Darwin, di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian berlaku apabila lembu seberat 500 kilogram itu dipercayai tersilap berenang di perairan dalam pada awal pagi sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat tempatan, baru-baru ini.
Mereka berhempas-pulas selama 45 minit kerana lembu itu enggan bekerjasama namun anggota-anggota penyelamat berjaya memasang tali pada kepala haiwan itu dan menariknya ke daratan. - Agensi

HONOLULU - Ribuan pengunjung dan peluncur membanjiri pantai utara Oahu, Hawaii untuk menyaksikan ombak terbesar yang boleh mencecah setinggi 15 meter di kepulauan itu kelmarin.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berkata, ombak besar itu diramalkan berterusan sehingga hari ini dan membolehkan pertandingan luncur lasak diadakan.
"Tenaga (ombak) itu semakin membesar," kata seorang pegawai ramalan kaji cuaca di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, Robert Ballard.
Hawaii tidak pernah mengalami fenomena itu sejak 2004 atau 1998. - AP

LAS VEGAS - Seorang kaki judi di Amerika Syarikat (AS), Terrance Watanabe (gambar) melonjak popular selepas dia mengalami kerugian sebanyak AS$127 juta (RM431.4 juta) dalam tempoh cuma setahun ekoran nasib malangnya ketika berjudi di dua buah kasino di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kerugian lelaki itu amat besar sehingga mencecah lebih lima peratus pendapatan keseluruhan dua kasino yang dikunjunginya iaitu Caesars Palace dan The Rio.
Berita kerugian besar Watanabe, 52, menjadi legenda tersendiri selain menjadikannya popular di kalangan pelancong.
"Orang ramai akan berkunjung ke kasino-kasino berkenaan semata-mata kerana mahu melihat dia berjudi," kata seorang pengunjung tetap kasino di sini.
Watanabe yang memiliki kekayaan hasil perniagaan penganjuran keraian yang diasaskan oleh bapanya, setakat ini telah membayar balik sebanyak AS$112 juta (RM390.7 juta) tetapi enggan melunaskan baki hutangnya.
Dia yang berasal dari Omaha, Nebraska tetapi berketurunan Jepun itu mendakwa pihak kasino sengaja memberikan banyak minuman keras dan ubat penahan sakit semasa dia berjudi bagi menjejaskan tumpuannya sehingga menyebabkan dia kalah judi.
Sepanjang tahun 2007, dia tinggal di dua kasino berkenaan dan membuat taruhan berjumlah AS$825 juta (RM2.8 bilion).
Watanebe bertindak menyaman dua kasino itu kerana mendakwa dia dibenarkan berjudi semasa mabuk dan gagal mengawal diri sekali gus melanggar undang-undang perjudian Las Vegas.
Bekas peguamnya, David Chesnoff, menyerahkan sepucuk surat kepada seorang juri awal bulan ini yang menyatakan bahawa beberapa saksi di kasino itu akan memberi keterangan bahawa anak guamnya itu kerap mabuk.
Saksi-saksi itu dipercayai termasuk seorang pengawal keselamatan di kasino Caesars Palace yang mengakui dia tidak pernah melihat Watanabe dalam keadaan tidak mabuk.
Namum, syarikat induk kedua-dua kasino tersebut iaitu Harrah yang dinamakan sebagai defendan dalam saman Watanabe menolak dakwaannya dengan alasan malang yang menimpa lelaki itu adalah kerana salahnya sendiri.
"Watanabe ialah seorang defendan kes jenayah yang berdepan hukuman penjara," kata jurucakap syarikat Harrah, Jan Jones.
Syarikat perjudian itu mengambil tindakan mahkamah terhadap Watanabe kerana jenayah mencuri dan memberi cek tendang berhubung hutang berbaki AS$14.5 juta (RM48.6 juta) yang masih belum dibayar kepada pihak kasino.
Watanabe kini bebas dengan ikat jamin AS$1.5 juta (RM5 juta) sementara menunggu perbicaraan pada Julai depan dan dia boleh dipenjara hingga 16 tahun sekiranya didapati bersalah. - Agensi
Cori Rist |
ORLANDO: Wanita seksi dikenali sebagai Cori Rist dilaporkan menjadi wanita keenam yang dinamakan sebagai perempuan simpanan kepada bintang golf terkenal Amerika Syarikat, Tiger Woods.
Cori, 31, dipercayai bertemu dengan Tiger, 33, di sebuah kelab di New York tahun lalu, lapor akhbar The Sun.
Mereka didakwa sering keluar bersama dan bintang sukan ternama itu didakwa secara rahsia pernah membawa wanita berkenaan terbang bersamanya mengelilingi dunia.

SEPUCUK surat yang ditulis sendiri oleh presiden pertama Amerika Syarikat (AS), George Washington dilelong pada harga AS$.32 juta (RM10.8 juta), sekali gus mencipta rekod dunia baru.
Acara berlangsung di Christie kelmarin memecah rekod surat paling mahal sebelum ini yang juga ditulis oleh Washington, dan dilelong pada 2002 lalu dengan harga AS$834,000 (RM2.8 juta).
Surat itu ditulis Washington pada 1787 kepada seorang sepupunya yang meminta pengesahan berhubung draf perlembagaan baru bagi pengisytiharan kemerdekaan AS.
Namun agensi lelongan Christie tidak mendedahkan identiti pembida yang berjaya memperoleh warkah bersejarah itu. - AP

JAKARTA - Ketika seluruh dunia kini memberi fokus pada sidang kemuncak global mengenai perubahan iklim di Copenhagen pada 7 Disember ini, pemerintah Indonesia bergelut untuk membersihkan imej sebatang sungai di Pulau Jawa yang dianggap paling kotor di bumi, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebahagain Sungai Citarum sepanjang 322 kilometer itu amat kotor kerana ia dipenuhi pelbagai jenis sampah.
Namun, sungai itu membekalkan lebih 80 peratus bekalan air untuk penduduk Jakarta.
Pada tahun lalu, Bank Pembangunan Asia meluluskan pinjaman berjumlah AS$500 juta (RM1.69 bilion) untuk membiayai kerja-kerja pembersihan di sungai itu. - Agensi
SYANGBOCHE, Nepal 4 Dis. - Pemimpin Nepal, hari ini menggunakan tangki oksigen dan mengadakan mesyuarat Kabinet di tengah-tengah cuaca dingin dan udara nipis di kawasan pergunungan Everest bagi menekankan tentang bahaya pemanasan global, yang memberi kesan kepada glasier menjelang persidangan perubahan iklim antarabangsa pada minggu depan.
Kerajaan Nepal menamakan majlis tersebut sebagai mesyuarat Kabinet paling tinggi di dunia.
Perdana Menteri Nepal, Madhav Kumar, dua timbalan perdana menteri termasuk 20 menteri Kabinet telah diperiksa oleh doktor sebelum menaiki helikopter menuju ke Kalapathar, kawasan rata di altitud setinggi 5,250 meter bersebelahan tapak perkhemahan Everest, tempat para pendaki memulakan pendakian ke atas gunung tertinggi di dunia itu.
Persatuan Penyelamat Himalaya, Bikram Neupane berkata, pemimpin-pemimpin itu memakai jaket tebal, pakaian kalis angin dan topi berbulu biri-biri dengan kesemua mereka dilengkapi tahap oksigen yang mencukupi dalam darah, selain memastikan mereka tidak berada dalam keadaan berbahaya.
Mesyuarat Kabinet itu diadakan bersebelahan gunung bagi mengelak mana-mana menteri yang tidak biasa dengan ketinggian Himalaya diserang sakit berada di altitud yang tinggi.
Kesemua menteri itu bermalam di bandar Lukla semalam, yang terletak di ketinggian kira-kira 2,800 meter, untuk menyesuaikan diri dengan aras ketinggian.
Mereka kemudiannya bergerak ke Syangboche, yang berada di ketinggian 3,900 meter, di mana mereka menaiki helikopter menuju ke gunung tersebut.
Mereka dijangka kembali semula ke Syangboche selepas itu untuk mengadakan sidang media. - AP

HEFEI - Seorang lelaki China, Xie Zhongcai menunjukkan aksi lagak ngeri apabila dia menunda sebuah van kecil dengan kelopak matanya sendiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia berjaya menarik van itu dalam satu demonstrasi seni mempertahankan diri yang diadakan di Dataran Heping, ibu negeri wilayah Anhui di sini, 1,071 kilometer dari Beijing.
Dia turut mempamerkan aksi menarik van tersebut dengan telinga pada pertunjukan yang diadakan 30 November lalu. - Agensi

JAKARTA - Makan telur jadi tinggi?
Seorang buruh, Suparwono yang makan telur 15 biji sehari menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.
Pada mulanya dia dianggap sebagai lelaki paling tinggi di dunia apabila pihak hospital membuat ukuran mendapati ketinggiannya 2.71 meter mengatasi lelaki tertinggi di dunia milik rakyat Turki, Sultan Kosen.
Namun, ukuran yang dibuat oleh Muzium Rekod Indonesia semalam mendapati tinggi Suparwono yang berumur 25 tahun ialah 2.42 meter.
Ketinggian itu menyebabkan dia menjadi lelaki paling tinggi di Indonesia.
"Kami menerima laporan pada waktu pagi bahawa keputusan ukuran dari sebuah hospital ialah 2.71 meter. Namun, kami perlu kekal dengan ukuran ketinggian kami (2.42 meter)," kata Pengurus Muzium Rekod Indonesia, Ngadri.
Suparwono menjadi terkenal pada minggu ini selepas salah seorang saudaranya di kampung Tri Tunggal Jaya, Lampung, Sumatera menjemput beberapa jiran untuk bergambar dengan lelaki tertinggi itu.
Dalam tempoh beberapa hari, dia muncul dalam beberapa program bual bicara di sini dan mendapat gelaran Gergasi Lampung.

Menurut Suparwono, dia mula mengetahui tubuhnya tinggi semasa berumur 10 tahun.
"Ketika itu, saya sudah pun menjadi orang paling tinggi di sekolah dan kampung saya.
"Saya makan tiga kilogram nasi pada setiap hari dan sekurang-kurangnya 15 biji telur," katanya.
Menurutnya, dia mengalami masalah untuk menaiki bas dan mencari pakaian yang sesuai ekoran ketinggiannya itu.
Bekas jurulatih olahraga Suparwono, Willy Winoto, berkata, selepas dua tahun lelaki itu menjalani latihan, dia didapati tidak sesuai untuk menjadi atlet kebangsaan kerana tubuhnya tidak mempunyai daya ketahanan tinggi selain mengalami masalah tulang.
Dia kini tinggal bersama keluarga dan melakukan kerja-kerja kampung untuk mendapatkan wang.
Gabenor Lampung, Sjachroedin Zainal berjanji dia akan diberikan kerja yang bersesuaian selain menjadikannya sebagai duta untuk wilayah tersebut.
"Pada 2010, kami akan menamakannya sebagai ikon Tahun Melawat Lampung," katanya. - Agensi