WAK PUNYA GENG

Friday, March 5, 2010

AMARAN DEMI AMARAN

Gempa bumi semakin kerap dan semakin kuat, namum manusia tetap begitu juga.....yang pasti 'suatu gempa bumi' yang kuat dan dahsyat pasti akan berlaku yang akan memusnahkan alam ini....yaitu 'HARI KIAMAT'.

Pantai California dipenuhi buih


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan buih yang terbentuk di Pantai Hollywood, California.


LOS ANGELES - Pantai-pantai di California, Amerika Syarikat (AS), termasuk pantai Hollywood dipenuhi dengan buih yang berikutan gempa bumi pada 8.8 skala Richter yang melanda Chile pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Gabungan cuaca dan kondisi laut yang luar biasa ditambah dengan ombak-ombak besar dilihat menjadi punca kepada fenomena tersebut.

Menurut satu kaji selidik saintifik, buih laut itu terdiri daripada protein dan molekul lemak yang terhasil akibat kemusnahan hidupan mikroskopik laut.

Hidupan laut yang dikenali sebagai phaeocystis itu membentuk koloni besar di dalam air.

Buih itu terbentuk apabila angin membawa saki-baki koloni tersebut yang mereput dan menghanyutkannya ke pantai.

Pencemaran itu memberi kesan ke atas buih laut berikutan terlalu banyak nutrien di dalam air menyebabkan pembentukan koloni phaeocystis yang lebih besar.

Gempa bumi di Chile mengakibatkan tsunami yang memusnahkan bandar-bandar di pesisiran pantai.

Tsunami yang berlaku akibat gempa bumi mungkin menyebabkan kebanyakan buih laut berkumpul di Lautan Pasifik sebelum angin kuat meniupnya ke pantai-pantai di California. - Agensi

Kapal dipukul ombak gergasi misteri


KAPAL Louis Majesty berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona semalam.


BARCELONA - Dua orang maut, banyak kabin dibanjiri air, tingkap-tingkap sebuah restoran pula pecah manakala ramai penumpang diselubungi ketakutan selepas sebuah kapal persiaran di Laut Mediterranean dipukul tiga ombak gergasi misteri, kata seorang penumpang, Calude Cremex semalam.

Cremex, 73, dari Marseille, Perancis berkata, dia sedang berehat di kabinnya kerana laut bergelora apabila ombak-ombak gergasi itu menghentam kapal persiaran Louis Majesty yang membawa 1,350 penumpang dan 580 krew di kawasan pesisir timur laut Sepanyol ketika ia dalam perjalanan dari Barcelona menuju ke Genoa, Itali kelmarin.

Pemilik kapal itu, syarikat Louis Cruise Lines memberitahu, kapal berkenaan dihentam tiga ombak gergasi lebih 10 meter tinggi yang memecahkan banyak tingkap kaca bahagian hadapan.

Menurut kenyataan syarikat itu, seorang penumpang warga Jerman dan Itali maut akibat terkena serpihan kaca dan dihempap perabut manakala 14 yang lain pula cedera ringan.

Cremex berkata, dia tidak melihat ombak tersebut tetapi menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku selepas itu.

"Kesan ombak itu dahsyat," katanya semasa kapal berkenaan berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona sehari selepas kejadian.

"Air melimpah masuk. Banyak kabin dibanjiri," kata Cremex yang melancong bersama isterinya.

Jurucakap Louis Cruise Lines, Michael Maratheftis berkata, semua 1,350 penumpang itu akan dihantar pulang dengan pesawat manakala kapal itu akan meneruskan pelayaran seperti biasa setelah kerja pembaikan selesai hujung bulan ini.

"Ombak kedua dan ketiga menyebabkan kemusnahan besar. Insiden itu berlaku tanpa dijangka kerana cuaca ketika itu, tidak begitu buruk," jelasnya.

Bagaimanapun, seorang jurucakap agensi pegawal pantai Marseilles berkata, tiga ombak misteri itu mungkin sebahagian ombak besar tsunami yang terpencil. - Agensi

Wednesday, March 3, 2010

Ratusan ikan jatuh dari langit di Australia


GAMBAR yang dirakamkan oleh Christine Balmer dan disiarkan oleh sebuah akhbar menunjukkan sejumlah ikan yang gugur dari langit di Lajamanu, Australia.


LAJAMANU, Australia - Seramai 650 penduduk di sebuah kawasan pedalaman Australia, Lajamanu seolah-olah tidak dapat berkata-kata apabila beratus-ratus ekor ikan jenis spangled perch gugur dari langit, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian itu mengejutkan salah seorang penduduk tempatan, Christine Balmer yang sedang berjalan pulang ke rumahnya apabila hujan ikan itu berlaku baru-baru ini.

"Beratus-ratus ekor ikan jatuh di merata-rata tempat. Penduduk berlari ke sana sini untuk mengutipnya. Semua ikan masih hidup semasa jatuh ke tanah.

"Justeru, ia semestinya masih hidup sewaktu 'terbang' di udara. Apabila saya memberitahu keluarga yang tinggal di tempat lain di Australia, mereka kata saya merepek.

"Sedangkan saya tidak. Apa yang boleh saya perkatakan ialah saya bersyukur tidak dihujani dengan buaya!," kata Balmer.

Seorang ahli meteorologi menyatakan insiden itu mungkin disebabkan oleh puting beliung.

Bukan sesuatu yang aneh bagi puting beliung untuk menyedut air dan ikan dari sungai sebelum menjatuhkannya pada jarak ratusan kilometer jauhnya.

"Sebaik sahaja ikan-ikan itu masuk ke dalam sistem cuaca, ia mungkin beku. Selepas beberapa tempoh, ikan-ikan tersebut 'dilepaskan'," kata Mark Kersemakers dari Biro Meteorologi Australia.

Lajamanu terletak di antara Darwin dan Alice Springs di hujung Gurun Tanami.

Ini bukanlah kali pertama bandar kecil itu mengalami kejadian ikan gugur dari langit.

Menurut seorang penduduk, Les Dillon yang berusia 48 tahun, pada awal tahun 1980-an dia berada di Hotel Alice Springs Tavern.

Apabila keluar dari biliknya, dia melihat ikan-ikan kecil jatuh dari langit.

"Ya, memang saya ada minum beberapa gelas bir. Jadi tiada seorang pun rakan yang mempercayai saya.

"Saya terpaksa menelefon ramai orang untuk memberitahu bahawa saya tidak mabuk. Ia (ikan gugur dari langit) benar-benar berlaku," kata Dillon. - Agensi

Thursday, February 25, 2010

Wanita maut diserang ikan paus



GAMBAR menunjukkan mayat Brancheau ditutup dengan kain selepas dia mati dilemaskan ikan paus di taman tema Sea World, Florida kelmarin.


ORLANDO - Seorang pelatih wanita maut dalam mulut seekor ikan paus selepas haiwan itu menyambar mangsa dari platform sebuah kolam di taman tema Sea World di Amerika Syarikat (AS) dengan mengheretnya ke dalam air kolam.

Wanita itu, Dawn Brancheau, 40, dilemaskan oleh ikan paus jantan seberat lima tan yang bernama Tillikum kelmarin.

Semasa kejadian, mangsa sedang menggosok perut Tillikum selepas satu pertunjukan tengah hari di hadapan kira-kira 50 penonton.

"Tanpa amaran, paus itu menyambar mangsa dan enggan melepaskannya. Ia mengerikan," kata seorang penonton yang menyaksikan kejadian tersebut.

Penonton-penonton yang terkejut melihat kejadian itu bergegas meninggalkan stadium di kolam tersebut manakala sebahagian taman tema itu ditutup.

Pihak pengurusan Sea World kemudiannya menghentikan semua persembahan ikan paus yang berusia 30 tahun itu.

Sebelum ini, Tillikum telah menyebabkan kematian dua pelatih.

Seorang penonton, Eldon Skaggs berkata, dia sebelum ini pernah mendengar bahawa ikan itu bersifat degil dan sukar dikawal. - Agensi

Tuesday, February 23, 2010

Gurun AS simpan pesawat AS$118.73b



PESAWAT-PESAWAT B-52s diletakkan di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson.


TUCSON - Sebuah kawasan gurun seluas 1,052 hektar di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson di Amerika Syarikat (AS) dijadikan tempat menyimpan 4,200 pesawat lama termasuk jet pejuang bernilai AS$35 bilion (AS$118.73 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Ia dijadikan alat ganti untuk pesawat yang kini digunakan Tentera Udara AS.

Enjin, peluru, pendawaian elektrik dan elektronik pesawat lama itu dikitar semula untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat-pesawat tentera masa kini.

Pada 2005, kakitangan di pusat itu mengitar semula lebih 19,000 komponen pesawat-pesawat tersebut yang bernilai AS$568 juta (RM1.92 bilion).

Gurun itu merupakan tempat paling sesuai untuk menyimpan barang besi kerana kelembapan yang rendah dan hujan menyebabkan badan pesawat tidak dipenuhi karat.

Pihak tentera menggunakan kawasan gurun itu sebagai tempat simpanan pesawat sejak 60 tahun lalu.

Kawasan gurun yang unik itu pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Transformers. - Agensi

Friday, February 19, 2010

RM454,000 semeter

MAKKAH: Harga tanah sebesar semeter persegi di beberapa kawasan di Makkah kini didakwa mencecah SR500,000 (RM453,644) dan ia dijangka meningkat lagi selari dengan projek pembesaran Masjidil Haram.

“Harga tanah meningkat dari masa ke semasa sepanjang tempoh projek pembesaran Masjidil Haram yang bertujuan meningkatkan kapasiti jemaah.


“Nilai tanah di sekitar Masjidil Haram kini terlalu mahal, apatah lagi yang terletak hampir dengannya. Malah ia kini lebih bernilai daripada emas dan berlian,” kata pelabur hartanah, Ahmad Al-Ghamdi.


Beliau menyatakan, pelabur bagaimanapun berlumba-lumba memiliki tanah di sekitar kawasan itu kerana pulangan lumayan yang bakal mereka peroleh.


“Jutaan umat Islam membanjiri bandar ini sepanjang tahun dan atas sebab itu Makkah memerlukan lebih banyak bangunan untuk memenuhi keperluan mereka.” Pada masa sama, nilai tanah di kawasan yang berjauhan dengan Masjidil Haram turut dilapor meningkat akibat projek pembesaran itu. (bacaan lanjut)

Thursday, February 18, 2010

Dipenjara kerana bunuh kucing

Orang yang menyeksa binatang diakhirat nanti dihumbangkan ke neraka.

2010/02/18

SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara 10 minggu selepas mengaku bersalah menghempas seekor kucing ke dinding hingga haiwan itu mati.

Seorang wanita melihat ZamZam Ismail, 41, menghayun dan menghempas kucing itu ke dinding sebelum membuangnya 1 Januari lalu. Saksi melaporkan tindakan itu kepada polis dan juga Pertubuhan Menghalang Kekejaman ke atas Haiwan (SPCA).


“SPCA menyokong keputusan ini,” kata pegawai eksekutif, Deirdre Moss.


Beliau turut menggesa orang ramai memberi maklumat kepada agensi itu andai melihat haiwan dianiaya.


“Banyak kes gagal diselesaikan kerana tiada saksi atau bukti kami peroleh. Penganiayaan terhadap haiwan adalah satu jenayah,” katanya lagi.


SPCA menyiasat 864 kes pada tahun lalu, meningkat 13 peratus berbanding 2008. - AFP

Tuesday, February 16, 2010

ORANG-ORANG KAYA

Kuok kekal terkaya




KUALA LUMPUR - Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan semalam, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Tan Sri Robert Kuok, 86, dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota 'Raja Gula' tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan, 72, berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.



jongkomeng:

Firaun Tut anak sumbang mahram



GAMBAR fail menunjukkan wajah Firaun Tut yang dipamerkan di makamnya di Lembah Raja-Raja dekat Luxor, Mesir.


WASHINGTON - Sekumpulan penyelidik antarabangsa mendapati firaun terkenal, Tutankhamun atau lebih dikenali sebagai Firaun Tut memiliki kaki bengkok sebelah dan berjalan menggunakan tongkat, kata laporan kajian yang disiarkan semalam.

Penyelidik-penyelidik dari Mesir, Itali dan Jerman dalam kajian itu mendedahkan penemuan tersebut menerusi ujian genetik moden dan teknologi komputer bagi mengesan rahsia misteri Tut yang meninggal dunia semasa berusia 19 tahun.

Mereka mendapati Tut yang menduduki takhta selama sembilan tahun iaitu dari 1333 hingga 1324 Sebelum Masihi (SM) mati akibat penyakit malaria dan bukan disebabkan kes kemalangan, keracunan makanan atau sengaja dibunuh.

Hasil maklumat kromosom Y, penyelidik mendapati Akhenaten iaitu firaun kontroversi yang memerintah dari 1351 hingga 1334 Sebelum Masihi ialah bapa Tutankhamun.

Namun, ibu Tut ialah adik Akhenaten.

Ia menunjukkan bahawa Tut anak hasil hubungan sumbang mahram.

Penyelidik mendapati, tiada bukti Tutankhamun dan bapanya memiliki bentuk fizikal seperti wanita seperti gambaran yang terdapat pada kebanyakan artifak berusia 3,000 tahun. - AFP

Sunday, February 14, 2010

Fatwa larang lalui pengimbas bogel



GAMBAR menunjukkan salah satu pengimbas yang terdapat di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 2 Februari lalu.


WASHINGTON - Majlis Fikah Amerika Utara mengeluarkan fatwa dengan memberi peringatan supaya penumpang beragama Islam tidak melalui alat pengimbas bogel di lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.

"Ia merupakan satu pelanggaran jelas ajaran Islam mengenai lelaki dan wanita dilihat berbogel oleh lelaki dan wanita lain," kata fatwa tersebut.

Larangan itu merupakan tamparan hebat berhubung penggunaan mesin X-ray yang ditempatkan di Lapangan Terbang Heathrow dan Manchester, Britain.

Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 40 alat pengimbas di 19 buah lapangan terbang dan dijangka meningkat sehingga 450 unit pada hujung tahun ini.

Penempatan mesin itu dibuat sebagai sebahagian daripada kawalan keselamatan selepas seorang warga Nigeria, Umar Farouk cuba meletupkan bom dalam seluar dalamnya semasa dia menaiki pesawat komersial ke AS pada 25 Disember tahun lalu.

Umar kini ditahan di sebuah penjara di AS. - Agensi

Friday, February 12, 2010

KAU-KAU, AKU-AKU

Perkara macam ni menyebab jenayah banyak berlaku, sebab orang sekeliling buat tak tau je...

Pengawal tidak bantu remaja dibelasah


DUA pengawal keselamatan memerhati dua remaja bertumbuk di sebuah perhentian bas di Seattle.


SEATTLE - Imej kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang remaja perempuan sedang dibelasah manakala tiga pengawal keselamatan cuma memerhatikannya tanpa memberi sebarang pertolongan telah mencetuskan kemarahan di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Mangsa ditumbuk dan ditendang berulang kali di kepala dalam pergaduhan tersebut berdasarkan imej yang boleh dilihat di YouTube.

Walaupun remaja perempuan berumur 15 tahun itu terbaring di tepi jalan, tiga pengawal tersebut tidak datang untuk melihatnya sama ada dia cedera parah.

Ketua tempat pengawal keselamatan itu bekeja berkata, dasar syarikat tidak membenarkan kakitangan-kakitangannya terlibat dalam pergaduhan tetapi mereka dibenarkan membuat laporan.

Namun, stesen-stesen televisyen dan media dihujani dengan aduan mengenai sikap pengawal keselamatan yang tidak membuat sebarang tindakan bagi membantu remaja berkenaan.

Mangsa itu percaya bahawa pengawal keselamatan di sebuah perhentian bas di Seattle, Washington dapat melindunginya daripada diserang oleh seorang remaja.

"Saya menghampiri pengawal keselamatan itu dan memberitahu mereka bahawa terdapat remaja lain yang mahu memukulnya," kata kenyataan gadis itu dalam dokumen mahkamah.

Gadis yang berkulit hitam memberitahu bahawa kumpulan remaja yang mahu membelasahnya itu mendakwa dia berlagak seperti orang berkulit putih.

Namun, gadis itu tidak perlu mendapatkan sebarang rawatan perubatan dan semasa kejadian dia melindungi dadanya daripada ditendang. - Agensi

Thursday, February 11, 2010

LAGI KES 'PERKAHWINAN TIPU'

Ikut syariat Islam lelaki boleh tengok muka dan tangan sebelum meminang seseorang perempuan untuk dijadikan isteri.

Isteri duta berjanggut

DUBAI: Seorang duta Arab mengambil keputusan membatalkan perkahwinannya selepas mendapati wanita yang baru dinikahinya berjanggut dan juling.

Duta berkenaan mendakwa, ibu wanita itu menipu ibunya apabila dia melawat bakal isterinya, warga Teluk, dengan menunjukkan gambar adik pengantin perempuan.

Lelaki Arab itu yang berjawatan menteri penuh, memberitahu sebuah mahkamah Syariah di Dubai, keluarga pengantin perempuan menunjukkan ibunya gambar adik pengantin perempuan, bukan wanita yang bakal dikahwininya.

Sumber yang rapat dengan kes itu memberitahu akhbar Gulf News, duta itu hanya menemui bakal isterinya beberapa kali.
Dia tidak menyedari wanita itu berjanggut kerana dia sentiasa berpurdah ketika mereka bertemu.

"Setiap kali mereka bertemu, pengantin perempuan akan berusaha sedaya upaya untuk tidak mendedahkan keseluruhan mukanya.

"Selepas duta itu dan wanita berkenaan, ahli fizik, dinikahkan, pengantin lelaki cuba mencium pengantin perempuan. Ketika itu baru dia sedar wanita itu berjanggut dan juling," kata sumber itu.

Duta itu kemudian mengambil keputusan membatalkan majlis perkahwinan dan mengemukakan tuntutan cerai dengan mendakwa dia ditipu mentuanya.

Lelaki itu juga menuntut bayaran ganti rugi kerana tekanan emosi dan moral.


Dalam samannya, dia turut meminta keluarga pengantin perempuan membayar semula 500,000 dirham (RM467,000) yang didawanya dibelanjakan untuk barang kemas, pakaian serta hadiah lain.

Sementara itu, pengantin perempuan, dalam perbicaraan kes itu, mendesak hakim menolak tuntutan pengantin lelaki dan menuntut dia membayar nafkah.



Menurut laporan, duta itu meminta mahkamah Syariah merujuk wanita berkenaan kepada pakar bagi menjalani pemeriksaan masalah hormon.

Bagaimanapun, selepas menjalani pemeriksaan, wanita itu didapati tidak menghadapi masalah berkenaan.

Hakim akhirnya meluluskan perceraian mereka tetapi menolak tuntutan lelaki itu supaya pengantin perempuan mengembalikan hantaran perkahwinan. - Agensi

Monday, February 8, 2010

Loji elektrik AS meletup

- Angka kematian sebenar tidak diketahui


SATU pemandangan dari udara menunjukkan kawasan letupan di loji Kleen Energy kelmarin.


MIDDLETOWN - Penduduk Connecticut di Amerika Syarikat (AS) gempar apabila satu letupan kuat berlaku di sebuah loji tenaga di sini kelmarin.

Beberapa pegawai berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan usaha mencari mangsa yang hidup dan maut di bawah runtuhan loji Kleen Energy yang masih lagi dalam pembinaan selepas letupan berlaku pada pukul 11.17 pagi waktu tempatan.

Menurut beberapa pegawai mereka tidak tahu berapa ramai orang yang berada di dalam loji itu semasa kejadian berlaku.

"Setakat ini 12 orang cedera dan lima orang telah meninggal dunia," kata Datuk Bandar Middletown, Sebastian Giuliano pada satu sidang akhbar dan memberitahu, letupan itu menyebabkan banyak tingkap rumah pecah dan kediaman di sekitar loji tersebut bergegar.

Api yang marak mengakibatkan asap tebal menyelubungi langit manakala seorang penduduk, Scott Harmann mendakwa letupan itu menghasilkan satu bola api yang kuat sehingga banyak tingkap pecah.


GAMBAR menunjukkan loji Kleen Energy selepas letupan di Middletown kelmarin.


Seorang lagi penduduk, Mike Woronoff berkata, dia terdengar satu letupan kuat walaupun rumahnya terletak 3.2 kilometer dari loji itu.

Menurutnya, beberapa rakannya yang tinggal 24 kilometer dari situ turut mengakui mendengar letupan itu.

Seorang pegawai bomba tempatan berkata, dianggarkan 50 pekerja berada di loji itu.

Namun Giuliano mendakwa pada kebiasaannya hampir 200 orang bekerja di loji berkenaan pada setiap hari. - AFP

Thursday, February 4, 2010

ORANG 'BARAT' MEMANG TAK SUKA ORANG ISLAM MAJU DAN KUAT

Depa buat tak apa, kita buat depa mula susah hati...

Barat khuatir roket satelit baru Iran


IMEJ yang dirakamkan dari stesen berita Iran, Press TV menunjukkan pelancaran roket Kavoshgar 3 yang membawa satelit buatan sendiri Iran dari sebuah lokasi yang tidak didedahkan, semalam. - AFP


TEHERAN 3 Feb. - Iran hari ini berjaya melancarkan sebuah roket satelit yang membawa tikus, penyu dan cacing ke dalam orbit, dalam ujian yang meningkatkan lagi kebimbangan Barat bahawa Republik Islam ini mahu menggunakan industri nuklear dan angkasa lepasnya untuk membina senjata atom dan peluru berpandu.

Roket Kavoshgar 3 (Pengembara) itu membawa sebuah 'kapsul eksperimen', lapor stesen televisyen kerajaan, Al-Alam.

"Kapsul tersebut membawa haiwan hidup, iaitu seekor tikus, serta beberapa ekor penyu dan cacing. Kapsul berkenaan boleh menghantar balik data empirikal," menurut laman web stesen itu.

Televisyen kerajaan menyiarkan rakaman sebuah roket dilancarkan dari sebuah tapak pelancaran di padang pasir.

Beberapa minit kemudian, imej televisyen menunjukkan kapsul tersebut berpisah daripada roket dan beredar dalam orbit.

Siaran televisyen juga menunjukkan Presiden Mahmoud Ahmadinejad mempamerkan kepada umum sebuah lagi roket pengangkut satelit buatan Iran, dikenali sebagai Simorgh.

Roket berbentuk botol susu itu, berwarna biru dengan tulisan 'Pengangkut Satelit Simorgh' tertera padanya, berkeupayaan untuk membawa sebuah satelit 100 kilogram sejauh 500 kilometer ke dalam orbit.

Kedua-dua acara itu adalah sebahagian daripada sambutan meraikan hari ulang tahun ke-31 penubuhan Republik Islam Iran.

Satelit pertama Iran, Omid (Harapan) dilancarkan pada Februari tahun lepas sempena hari ulang tahun ke-30 peristiwa tersebut.

Pelancaran itu mencemaskan kuasa Barat yang khuatir pembangunan teknologi Iran boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Barat mengesyaki Iran cuba membina bom nuklear secara rahsia dan bimbang teknologi yang digunakan untuk melancarkan roket ke angkasa lepas boleh disalurkan untuk membangunkan peluru berpandu balistik jarak jauh yang boleh membawa senjata nuklear.

Teheran menafikan program angkasa lepas atau nuklearnya mempunyai matlamat ketenteraan. - AFP