Ratusan ikan jatuh dari langit di Australia
LAJAMANU, Australia - Seramai 650 penduduk di sebuah kawasan pedalaman Australia, Lajamanu seolah-olah tidak dapat berkata-kata apabila beratus-ratus ekor ikan jenis spangled perch gugur dari langit, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian itu mengejutkan salah seorang penduduk tempatan, Christine Balmer yang sedang berjalan pulang ke rumahnya apabila hujan ikan itu berlaku baru-baru ini.
"Beratus-ratus ekor ikan jatuh di merata-rata tempat. Penduduk berlari ke sana sini untuk mengutipnya. Semua ikan masih hidup semasa jatuh ke tanah.
"Justeru, ia semestinya masih hidup sewaktu 'terbang' di udara. Apabila saya memberitahu keluarga yang tinggal di tempat lain di Australia, mereka kata saya merepek.
"Sedangkan saya tidak. Apa yang boleh saya perkatakan ialah saya bersyukur tidak dihujani dengan buaya!," kata Balmer.
Seorang ahli meteorologi menyatakan insiden itu mungkin disebabkan oleh puting beliung.
Bukan sesuatu yang aneh bagi puting beliung untuk menyedut air dan ikan dari sungai sebelum menjatuhkannya pada jarak ratusan kilometer jauhnya.
"Sebaik sahaja ikan-ikan itu masuk ke dalam sistem cuaca, ia mungkin beku. Selepas beberapa tempoh, ikan-ikan tersebut 'dilepaskan'," kata Mark Kersemakers dari Biro Meteorologi Australia.
Lajamanu terletak di antara Darwin dan Alice Springs di hujung Gurun Tanami.
Ini bukanlah kali pertama bandar kecil itu mengalami kejadian ikan gugur dari langit.
Menurut seorang penduduk, Les Dillon yang berusia 48 tahun, pada awal tahun 1980-an dia berada di Hotel Alice Springs Tavern.
Apabila keluar dari biliknya, dia melihat ikan-ikan kecil jatuh dari langit.
"Ya, memang saya ada minum beberapa gelas bir. Jadi tiada seorang pun rakan yang mempercayai saya.
"Saya terpaksa menelefon ramai orang untuk memberitahu bahawa saya tidak mabuk. Ia (ikan gugur dari langit) benar-benar berlaku," kata Dillon. - Agensi
No comments:
Post a Comment