WAK PUNYA GENG

Monday, November 9, 2009

FOBIA SAYUR

Orang takut kalau jumpa harimau, singa, hantu...rupa2nya orang takut sayur pun ada...

Pelajar menggeletar lihat sayur


LARRIEUX menggeletar apabila mendekati sayur-sayuran.


PORTSMOUTH - Seorang pelajar Britain, Vicki Larrieux, 22, menyatakan dirinya menggeletar apabila mendekati sayur-sayuran walaupun seulas kecil lobak, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketakutan luar biasa itu dikenali sebagai lachanophobia menyebabkan wanita itu berpeluh dan panik jika ternampak sayur-sayuran.

Berikutan fobia itu, dia memakan daging, kentang, bijirin dan epal namun menolak apabila dihidangkan menu yang mengandungi sayur.

"Sejak kecil, saya selalu menyisihkan lobak dan kacang pis daripada pinggan.

"Namun apabila semakin dewasa, saya berpendapat perbuatan itu bukannya kerana saya tidak suka pada sayur-sayuran tetapi ia sebenarnya satu fobia," kata Larrieux.

Ketakutan aneh itu menyebabkan dia terpaksa mengawal ketakutannya semasa pergi ke pasar raya kerana bahagian sayur-sayuran terletak di pintu masuk.

Seorang jurucakap Anxiety UK iaitu badan kebajikan untuk golongan fobia berkata, terdapat beberapa kumpulan dan rawatan yang boleh digunakan untuk membantu mengatasi pelbagai jenis fobia. - Agensi

Friday, November 6, 2009

SANTAPAN 'RAJA'


Singa makan daging depan mata

SEEKOR singa melompat ke atas sebuah kenderaan pelancong yang diletak daging di Zoo Weribbe, Australia baru-baru ini.

VICTORIA - Beberapa pelancong teruja seekor singa memakan daging mentah di atas bonet sebuah jip yang dinaiki mereka di Zoo Werribee di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Aksi singa itu merupakan daya tarikan terbaru di zoo tersebut yang dibuka sejak 2006.

Satu pasangan pelancong, Robyn dan Davin Price yang berumur 34 tahun membawa tiga anak mereka melawat zoo itu pada Jumaat lalu.

Robyn berkata: "Ia merupakan sesuatu yang mengagumkan. Pada mulanya kami berasa takut."

Menurut Davin, anak-anaknya cuba untuk menyentuh singa itu.

"Ia merupakan satu idea yang bijak. Anda tidak pernah berada dekat dengan haiwan yang menakjubkan ini," katanya. - Agensi

ASKAR MENGAMUK


Tembak mati 13 orang kerana enggan dihantar ke Iraq

GAMBAR yang di siarkan di stesen televisyen CNN menunjukkan Nidal (kiri) memakai jubah semasa membeli-belah di kedai 7-Eleven di Fort Hood, Texas kelmarin.

FORT HOOD - Doktor psikiatri Tentera Amerika Syarkat (AS) Mejar Nidal Malik Hasan yang menembak mati 13 orang dan mencederakan 30 lagi di pangkalan tentera Fort Hood, Texas, dilihat berpakaian tradisi Arab ketika membeli sarapan beberapa jam sebelum dia mengamuk kelmarin, lapor saluran berita CNN semalam.

Nidal dipercayai melepaskan tembakan pada pukul 1. 30 petang waktu tempatan di Pusat Persediaan Askar di pangkalan itu.

Di kawasan berdekatan, sebahagian askar melakukan persediaan untuk menghadiri majlis tamat latihan yang turut dihadiri anggota keluarga mereka.

Stesen televisyen CNN menyiarkan satu rakaman video Nidal membeli kopi dan kepingan kentang goreng daripada sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di pangkalan berkenaan pada pagi kelmarin.

Dalam klip tersebut, Nidal yang memakai jubah berbual dengan pemilik kedai itu yang juga berketurunan Arab dan bekas anggota tentera AS.

"Dia nampak normal, dia singgah di kedai ini untuk membeli makanan sarapan seperti yang dapat dilihat dalam rakaman kamera video pengawasan," kata pemilik kedai berkenaan kepada CNN tujuh jam sebelum pegawai tentera itu mengamuk.


Satu rakaman video lain premis itu pada Selasa lepas menunjukkan Nidal dilihat memakai pakaian seragam perubatan.

Stesen televisyen CNN memetik kenyataan pemilik kedai itu yang memberitahu, Nidal datang ke premisnya hampir setiap hari dan pernah menyatakan kebimbangan bahawa dia akan dikerah ke Iraq serta terpaksa memerangi saudara seagama di sana.

Menurutnya, pegawai tentera tersebut melahirkan perasaan bimbang itu seminggu sebelum dia mengamuk.

Dia berkata, Nidal turut bertanya sama ada pemilik kedai itu mahu menghadiri solat Jumaat bersamanya.

Saudara-mara Nidal memberitahu, pegawai tentera itu kerap menjadi mangsa gangguan rakan-rakan sekerja kerana dia penganut Islam dan tidak mahu dihantar ke Iraq.

Seorang sepupunya menambah, Nidal yang dinaikkan pangkat sebagai mejar itu dilahirkan di AS manakala ibu bapanya pula berasal dari Palestin.

IMEJ menunjukkan beberapa anggota tentera mengusung seorang individu yang cedera di Fort Hood, Texas kelmarin.

Dia ditembak empat kali semasa mengamuk dengan melepaskan tembakan rambang di Fort Hood.

Beberapa laporan sebelum ini menyatakan pegawai tentera itu mati ditembak tetapi Nidal disahkan masih hidup dan dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini.

Insiden tembakan rambang itu merupakan yang terburuk pernah berlaku di pangkalan tentera AS.

Dua mangsa yang cedera ialah orang awam selepas Nidal melepaskan tembakan dengan menggunakan raifal separa automatik yang diperolehnya, kata Pegawai Pemerintah Pangkalan Fort Hood, Lefetenan Jeneral Bob Cone.

Pangkalan tentera Fort Hood adalah antara yang terbesar di dunia.

Presiden AS, Barack Obama menganggap kejadian itu sebagai satu keganasan yang mengerikan. - Agensi

Thursday, November 5, 2009

Bangunan runtuh tiba-tiba


Poster-poster masih terletak di dinding di sebuah klinik yang runtuh dalam kejadian bangunan dua tingkat di Melbourne runtuh secara tiba-tiba, semalam. – AFP


MELBOURNE 5 Nov. – Pihak berkuasa Australia hari ini menjalankan siasatan ke atas sebuah bangunan yang runtuh secara tiba-tiba dan menyebabkan batu-batuan serta habuk memenuhi jalan raya Melbourne.

Menurut saksi, bangunan dua tingkat itu mula berbunyi dan retak, menyebabkan penghuninya melarikan diri sebelum ia tiba-tiba runtuh hari ini di tengah bandar Brunswick.

“Saya baru sahaja turun dari trem selepas melalui Albion Street di Jalan Sydney dan ketika saya berjalan tiba-tiba terdengar bunyi ‘bang!’. Bangunan itu runtuh,” kata seorang saksi kepada radio awam.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut, namun seorang warga emas dikatakan hampir tercedera selepas dilanggar sebuah trem, sekali gus menyebabkan kesesakan di sepanjang Jalan Sydney.

Seham Mostafa, yang memiliki pusat latihan perubatan di dalam bangunan itu berkata, penyambut tetamunya telah menyelamatkan diri selepas menyedari terdapat rekahan di lantai bilik pembedahan dan setengah jam kemudian, bangunan itu runtuh.

“Ia sangat menakutkan, banyak habuk dan batu-bata berterbangan di merata-rata tempat,” jelas seorang saksi, Ramina Younan.

Pengarah Eksekutif badan Kerja-Kerja Menyelamat, Stan Krpan berkata, agensi keselamatan di tempat kerja akan menyiasat sama ada kemusnahan awal pada bangunan bersebelahan menyebabkan keruntuhan berlaku, yang mana ia digambarkan sebagai ‘punca yang paling dekat’.

“Kesannya mungkin mampu membawa kepada perkara yang lebih tragik, namun kita lega kerana orang ramai berjaya menyelamatkan diri,” katanya. – AFP

Wednesday, November 4, 2009

Misteri beruang hilang bulu


GAMBAR menunjukkan seekor beruang betina yang tiada bulu pada tubuhnya di Zoo Leipzig, Jerman.


LEIPZIG - Pengunjung-pengunjung di sebuah zoo di Jerman terkejut mendapati beberapa beruang betina yang dikurung kehilangan banyak bulu, lapor sebuah akhbar semalam.

Turut menjadi mangsa, dua ekor beruang popular, Dolores, 15, dan Lolita, 11, yang cuma mempunyai bulu tebal di bahagian kepala manakala bahagian lain pula tinggal kulit sahaja.

Pegawai-pegawai Zoo Leipzig yang terletak 154 kilometer dari ibu negara Berlin, hairan dengan keadaan itu dan menghubungi zoo lain di serata dunia bagi memastikan sama ada masalah serupa turut berlaku.

Pakar-pakar haiwan turut bingung apabila melihat mamalia liar itu kehilangan bulu.

Namun, misteri keanehan beruang berbulu gelap dan berasal dari benua Amerika Selatan itu menyebabkan semakin ramai datang ke zoo tersebut untuk melihat haiwan itu. - Agensi

Tuesday, November 3, 2009

Robot cakap Arab akan jadi 'pekerja' di pusat beli-belah


MAVRIDIS (kiri) bersama robot Ibn Sina.


AL-AIN - Sebuah makmal di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah mencipta robot pertama di dunia yang bertutur dalam bahasa Arab.

Pengeluaran besar-besaran robot berkenaan yang dinamakan Ibn Sina, sempena nama cendekiawan dan saintis Islam kurun ke-11 yang dikenali sebagai Avicenna di Barat itu akan dilakukan tidak lama lagi.

Robot Ibn Sina itu akan digunakan untuk menjadi 'pekerja' seperti penyambut tetamu, kakitangan jualan dan pembantu kedai di pasar raya.

Ia direka oleh sepasukan saintis terdiri daripada pelajar Universiti UAE yang diketuai oleh Profesor Madya Nikolaos Mavridis di bandar raya Al-Ain, Abu Dhabi dalam wilayah UAE.

Sebagai usaha untuk menyiapkan robot itu mirip Ibnu Sina yang lahir di Bukhara, Uzbekistan, robot itu dipakaikan jubah putih dan serban manakala wajahnya pula mempunyai janggut putih.

Ibn Sina dilengkapi modul perisian yang membolehkan ia melihat dan mengecam wajah serta objek di samping sistem sokongan bagi memproses, memahami dan membalas percakapan. - AFP

Monday, November 2, 2009

Ibu buang bayi kepala dua tepi longkang


BAYI berkepala dua dirakam sedang menyusu di sebuah hospital di Hanzhuang, China semalam.


HANZHUANG – Seorang bayi lelaki berkepala dua kini dijaga oleh sekumpulan pekerja perubatan setelah ibunya meninggalkan bayi malang tersebut di tepi sebuah longkang di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di Hanzhuang berkata, hanya satu daripada kepala bayi tersebut sempurna manakala kepala kedua lebih kecil serta kurang sempurna tetapi mempunyai dua mata, hidung, mulut dan telinga.

“Ketika bayi itu diambil petugas kesihatan, kami tidak menyedari dia berkepala dua dan kami menyangka ada sampah di kepalanya. Kami hanya menyedari kecacatan itu setelah berada di hospital,” kata pegawai perubatan itu. – Agensi

Friday, October 30, 2009

HAJI

Kapal penumpang gergasi keluar limbungan


KAPAL GERGASI Oasis of the Seas menjalani ujian pentauliahan berhampiran limbungan di Turku, Finland pada 28 September lalu.


HELSINKI - Kapal penumpang terbesar di dunia, Oasis of the Seasmemulakan pelayaran pertamanya menuju ke Miami, Amerika Syarikat (AS) dari sebuah limbungan kapal tempat ia dibina di Finland.

Kapal sepanjang 360 meter berharga AS$1.5 bilion (RM5.1 bilion) itu dimiliki oleh syarikat perkapalan Royal Caribbean Cruise Lines.

Ia dijadual memulakan operasi di Miami Disember ini. Kapal berkenaan dilengkapi 16 dek penumpang di samping 2,700 kabin serta mampu menampung seramai 6,300 penumpang dan 2,100 krew.

Ia turut memiliki arena terbuka bersaiz sebuah padang bola selain menampilkan beberapa kemudahan lain untuk aktiviti penumpang seperti teater dengan 750 tempat duduk, sebuah gelanggang luncur ais dan kawasan hiburan remaja.

Oasis of the Seas dibina oleh firma Korea Selatan, STX meninggalkan pelabuhan Turku, barat daya Finland semalam serta dijadual singgah di pelabuhan Southampton, England sebelum belayar ke Florida. - AP


Lelaki 112 tahun pikat dara 17 tahun


AHMED MUHAMED DORE bersama Safia Abdulleh di Guriceel, Mogadishu kelmarin.


MOGADISHU - Seorang warga emas Somalia yang layak dipanggil moyang, Ahmed Muhamed Dore, menikahi Safia Abdulleh selepas berjaya memujuk gadis berumur 17 tahun tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Ratusan tetamu membanjiri majlis perkahwinan meriah lelaki berumur 112 tahun itu di bandar Guriceel, 364 kilometer dari ibu negara Mogadishu kelmarin.

Isterinya berasal dari kampung yang sama dan dianggap setaraf dengan piut Ahmed malah dia terpaksa menunggu Safia mencapai usia remaja sebelum melamarnya.

Dalam satu wawancara BBC, Ahmed menjelaskan dia dilahirkan di Dhusamareeb, tengah Somalia pada 1897 dengan memiliki sijil kelahiran ditulis tangan oleh bapanya di atas kulit kambing.

Ahmed menyertai pasukan tentera kolonial British selama 10 tahun sebelum menjadi pegawai polis sebaik Somalia mencapai kemerdekaan pada 1960. Dia mempunyai 13 orang anak dan 101 orang cucu dan cicit.

Anak sulungnya berumur 80 tahun manakala tiga daripada lima orang isterinya sudah meninggal dunia namun Ahmed berharap memperoleh lebih ramai lagi anak dengan Safia.

"Saya tidak memaksa dia bahkan menggunakan pengalaman dalam memikat Safia bagi meyakini cinta saya sebelum kami bersetuju untuk berkahwin," katanya. - Agensi


Thursday, October 29, 2009

Wanita telan 78 sudu dan garpu


GAMBAR menunjukkan 78 sudu dan garpu yang dikeluarkan dari perut Daalman.



AMSTERDAM - Seorang wanita Belanda, Margaret Daalman menelan sebanyak 78 sudu dan garpu kerana dia tidak dapat mengawal diri daripada memakannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia pergi ke sebuah hospital selepas mengadu perutnya sakit dan doktor yang membuat pemeriksaan X-ray berasa terkejut melihat banyak sudu dan garpu dalam perutnya.

Wanita yang berumur 52 tahun itu kemudian dibedah dan semua sudu serta garpu tersebut telah dikeluarkan.


IMEJ X-ray menunjukkan timbunan sudu dan garpu (gumpalan berwarna putih)
dalam perut Daalman.


Namun, kejadian itu berlaku 30 tahun lalu dan gambar sudu dan garpu tersebut disiarkan buat pertama kali dalam sebuah majalah perubatan Belanda.

Daalman memberitahu doktor: "Saya tidak mengetahui kenapa (saya menelannya) tetapi saya berasa mahu untuk memakannya. Saya tidak dapat membantu diri saya (untuk tidak menelannya)." - Agensi


Berbogel untuk bayar hutang


DANNII ditemu bual oleh Morgan berhubung kisah hidupnya di stesen televisyen ITV1, London baru-baru ini.



LONDON - Juri program realiti televisyen popular,The X Factor, Dannii Minogue mengakui dia pernah berbogel dalam sebuah majalah kerana dia mahu mendapat wang untuk membayar hutang, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyanyi pop Australia dan adik kepada penyanyi, Kylie, 41, itu mendakwa, dia bertindak demikian bagi menjelaskan tunggakan sewa rumah berjumlah £150,000 (RM845,597) pada 1995.

Dannii, 38, ketika itu dalam proses perceraian dengan suaminya, seorang aktor terkenal, Julian McMahon.

Dia berbogel dalam sebuah majalah lucah edisi Australia pada Oktober 1995.

"Keluaran bulan itu paling laris dan pihak penerbit terpaksa mencetak lebih banyak naskhah," katanya.

Dia mendedahkan pengalaman sedih itu dalam satu rakaman wawancara bersama dengan pengacara Piers Morgan di stesen televisyen ITV1 yang akan disiarkan esok.

"Saya tidak menyesal tetapi berasa lega apabila ramai orang tahu kenapa saya nekad berbogel kerana saya memikul beban yang berat," kata Dannii. - Agensi


Lima pondan merompak

SHANGHAI – Lima pondan Filipina dibicara di sini selepas dituduh memberi makanan yang mengandungi ubat tidur kepada beberapa lelaki sebelum merompak mereka.

Menurut pendakwa raya, lima lelaki itu memakai pakaian wanita dan membawa mangsa-mangsa menaiki teksi ke rumah atau hotel sebelum memberi mereka makanan yang mengandungi ubat tidur.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, kelima-lima lelaki itu mengaku bersalah dan pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman dalam tempoh terdekat. – Reuters

Tuesday, October 27, 2009

Dulu atlet wanita, kini jadi lelaki


ANDREAS menunjukkan
wajahnya semasa dia
menjadi atlet wanita.



MAGDEBURG, Jerman - Seorang atlet wanita, Heidi Krieger pernah menjadi juara menembak di Eropah pada 1986 semasa mewakili Jerman Timur yang kini dibubarkan dan menjadi sebahagian daripada Jerman.

Namun, dia kini merupakan seorang lelaki setelah menjalani pembedahan penukaran jantina dengan menggunakan nama Andreas.

Dia bertindak menukar jantina selepas mendapati dirinya mempunyai ciri-ciri kelakian semasa menjadi atlet akibat penyalahgunaan hormon testoteron.

Selepas bersara pada 1990, Andreas menjalani pembedahan penukaran jantina manakala kad pengenalannya kini menyatakan dia ialah seorang lelaki.

Andreas yang kini bermisai memiliki sebuah kedai pakaian di bandar Magdeburg, 119 kilometer dari Berlin.

"Saya cuma berusia kira-kira 16 tahun apabila jurulatih saya memberikan pil testoteron. Saya tidak diberi pilihan," kata Andreas yang kini berusia 44 tahun dan telah berumah tangga dengan seorang bekas atlet renang. - AFP

Monday, October 26, 2009

Jerung gergasi ada di Australia?


SEEKOR ikan jerung yang dijadikan umpan hampir putus dibaham oleh seekor jerung gergasi di perairan Queensland.


QUEENSLAND - Pihak berkuasa Australia meminta orang ramai tidak turun ke laut selepas seekor jerung putih raksasa didapati berkeliaran mencari mangsa di tepi sebuah pantai popular di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Amaran yang melibatkan sekitar perairan Pulau Stradbroke dikeluarkan selepas jerung berukuran lebih enam meter panjang itu membaham seekor jerung putih sepanjang empat meter yang dijadikan umpan sehingga hampir putus dua.

"Saiznya pasti amat besar. Kami akan lebih berhati-hati apabila turun ke laut," kata seorang peluncur ombak berusia 19 tahun, Ashton Smith.

Berita serangan ke atas jerung lebih kecil itu menggerunkan penduduk di sepanjang perairan Queensland iaitu dari Pulau Stradbroke, dekat bandar Brisbane sehingga ke pantai Surfers Paradise, selatan bandar berkenaan.

Jerung putih adalah antara haiwan pemangsa paling ganas dan ditakuti di laut.

Seorang pengusaha bot sewa, John Gooding, ketika ditanya mengakui bahawa perairan tersebut banyak ikan jerung. - Agensi