WAK PUNYA GENG

Friday, September 25, 2009

Lokasi purba puja ikan dugong ditemui dekat Dubai


PARIS 25 Sept. - Ahli arkeologi Perancis telah menemui lokasi pemujaan dugong tertua dunia yang pernah ditemui di sebuah pulau di utara Dubai.

Tempat pemujaan itu dipercayai bertarikh di antara 3,500 hingga 3,200 Sebelum Masihi ditemui di Pulau Akab di Emiriah Arab Bersatu, 50 kilometer dari Dubai.

Dua pusat penyelidikan iaitu Misi Arkeologi Perancis di Emiriah dan Muzium Umm al-Quwain berkata di dalam majalah Antiquity, tempat pemujaan di pulau yang telah dikosongkan itu menyediakan perincian penting mengenai 'upacara pemujaan oleh masyarakat persisiran pantai pra-sejarah di Teluk'.

Akab adalah sebuah kampung nelayan tuna pada lebih 6,500 tahun dahulu dengan binaan-binaan bangunan berbentuk bulat dan selonggok tulang dugong ditemui pada tahun 1990-an.

Haiwan yang dikenali dengan nama saintifik Dugong dugon itu masih wujud di Teluk dengan haiwan dewasa boleh membesar sehingga empat meter panjang dan seberat 400 kilogram.

Tempat pemujaan itu pada mulanya disangkakan sebuah rumah sembelihan tetapi analisis mendapati ia adalah platform dua tingkat yang dibina dengan teliti, mengandungi tulang-tulang sekitar 40 ekor dugong serta perkakasan, alat batu dan perhiasan.

Ahli arkeologi berkata, monumen Akab itu digunakan untuk upacara meraikan mamalia besar tersebut dan 'tidak ada persamaan dengan tempoh neolitik di tempat-tempat lain di dunia'.

Struktur serupa telah ditemui di persisiran Australia yang bagaimanapun hanya berusia beberapa ratus tahun. - AFP

1 comment: