WAK PUNYA GENG

Sunday, January 17, 2010

KEHANCURAN...

Beginilah bila keadaan tidak terkawal, pencuri bermaharalela, masyarakat mengambil hukuman sendiri....

Pencuri dibelasah kejam di Haiti


GAMBAR yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin
menunjukkan seorang lelaki memukul seorang pencuri (berbaring) di Petion Ville, Haiti.


PORT-AU-PRINCE - Sekumpulan lelaki dan kanak-kanak melihat mayat pencuri yang berdarah selepas dia dipukul oleh beberapa lelaki dengan kayu di Petionville, Port-au-Prince, Haiti.

Gambar itu yang disiarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan mayat lelaki tersebut berada dalam keadaan bogel sebelum dibakar.

Lelaki itu dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas dia dituduh mencuri semasa penduduk Haiti berada dalam kelaparan untuk mencari makanan selepas banyak kedai dan pasar raya runtuh ekoran gampa bumi yang berlaku pada Selasa lalu.

Kumpulan-kumpulan bersenjata parang turut berkeliaran untuk mencari makanan manakala insiden bergaduh berebutkan makanan turut berlaku.


GAMBAR yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menunjukkan seorang lelaki yang dituduh perompak dibakar di Petion Ville, Haiti.


Kira-kira 4,000 banduan yang terlepas dari penjara yang runtuh akibat gempa bumi di Haiti kini berkeliaran di bandar raya tersebut.

Tentera Amerika Syarikat (AS) turut menggugurkan bantuan makanan di beberapa kawasan dari helikopter.

Gempa bumi sekuat 7.0 pada skala Richter menyebabkan lebih 200,000 orang dilaporkan terkorban.

Setakat ini punca sebenar kematian akibat gempa bumi itu tidak diketahui. - Agensi

Friday, January 15, 2010

Kepala anak biri-biri mirip manusia



GAMBAR yang menjadi perbincangan di Internet menunjukkan seekor biri-biri memiliki wajah seperti manusia.


IZMIR - Seorang doktor haiwan di sebuah kampung di Turki, Erhan Elibol terkejut selepas dia mendapati terdapat seekor anak biri-biri memiliki wajah seperti manusia, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Anak biri-biri itu dikeluarkan menerusi pembedahan daripada ibunya.

Anak biri-biri itu yang mempunyai mata, hidung dan bibir seperti manusia.

"Saya pernah melihat anak lembu dan biri-biri yang dilahirkan dengan mempunyai tubuh yang pelik akibat proses mutasi seperti yang bermata satu, berkepala dua atau berkaki lima.

"Namun, apabila melihat anak biri-biri itu memiliki mata, hidung dan mulut seperti manusia, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat," kata doktor veterinar berusia 29 tahun itu.

Ramai pakar haiwan menganggap anak biri-biri yang mempunyai wajah mirip manusia itu berlaku kerana ibunya kekurangan zat vitamin A.

Menurut doktor itu, ibu biri-biri itu tidak dapat melahirkan anaknya itu secara normal menyebabkan pembedahan tersebut dilakukan.

Pada September tahun lalu, seekor anak kambing dilahirkan dengan mukanya mirip manusia dan hidup beberapa jam sebelum dibunuh dan dibakar oleh penduduk di sebuah kampung di Zimbabwe.

Gabenor di wilayah tempat anak kambing itu dilahirkan di Zimbabwe menyatakan kejadian tersebut berlaku akibat hubungan seks antara seorang lelaki dengan seekor kambing betina. - Agensi

Thursday, January 14, 2010

DUA DUNIA

Di Acheh, manusia berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Nun 'disana' ada pula manusia yang lupa............

dunia 1

Polis syariah giat cegah maksiat


SEORANG anggota polis syariah menyoal seorang
lelaki yang duduk di tepi pantai bersama kekasihnya
di Banda Aceh pada 18 Disember lalu.


BANDA ACEH - Polis pencegah maksiat di sini yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah giat memberi teguran kepada pasangan kekasih yang duduk di tepi pantai, wanita tidak bertudung, berjudi dan peminum arak.

"Kamu masih tidak berkahwin. Kamu sepatutnya tidak berada bersama-sama di sini.

"Kamu sepatutnya pergi dari sini," kata seorang pegawai pencegah maksiat itu kepada satu pasangan kekasih yang berjalan ke tempat meletak kenderaan sambil disaksikan oleh sejumlah orang di sini, baru-baru ini.

Gadis-gadis yang memakai pakaian ketat turut diberikan amaran supaya tidak memakainya pada masa depan.

"Kamu tidak sepatutnya malu pada diri sendiri kerana memakai pakaian seperti ini," kata seorang pegawai pencegah maksiat itu.

"Pergi pulang dan pakai pakaian yang lebih sederhana," katanya.

Menurut Ketua Jabatan Undang-Undang Syarie Wilayah Aceh, Marzuki, pihaknya membuat pencegahan tanpa mengambil pendekatan keras terhadap pesalah sebagai salah satu cara untuk mereka memahami tujuan pasukan itu membuat teguran.

Wilayah Indonesia itu dibenarkan untuk menggunakan undang-undang syariah sebagai sebahagian daripada perjanjian autonomi dengan pemerintah negara tersebut pada 2002. - Reuters


dunia 2

Aksi Beyonce hibur anak Gaddafi


GAMBAR menunjukkan aksi Beyonce semasa membuat persembahan pada parti anak Gaddafi di pantai Nikki, Kepulauan Caribbean pada awal tahun ini.


NEW YORK - Penyanyi terkenal, Beyonce dlaporkan menerima bayaran lumayan sebanyak AS$2 juta (RM6.6 juta) bagi mengadakan persembahan untuk Muatsim Gaddafi iaitu anak lelaki ketiga pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, lapor sebuah akhbar Britain, Daily Mail semalam.

Bayaran tersebut untuk lima buah lagu nyanyian Beyonce pada satu parti tertutup anjuran Muatsim di pantai Nikki, Kepulauan Carribean, pada 1 Januari lalu.

Akhbar itu menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan Beyonce memakai pakaian seksi.

Sebelum ini terdapat beberapa akhbar dan media yang menyatakan Beyonce membuat persembahan untuk anak Gaddafi itu.

Penyanyi itu membuat persembahan di sebuah pentas kecil di pantai tersebut dengan aksinya dilihat oleh Muatsim dan beberapa rakan perniagaannya serta sejumlah tetamu lain.

Bagi peminat Beyonce, agak sukar untuk mereka menerima kenyataan bahawa penyanyi yang popular dengan lagu Crazy In Love itu sanggup beraksi seksi di pentas kecil itu yang mirip sebuah pentas tarian tiang.

Dia dilaporkan melenggok seksi dan berlutut di hadapan Muatsim seperti seorang penari erotik.

Sebelum ini, Beyonce, 28, dan suaminya iaitu penyanyi rap Jay-Z, 41, dinamakan sebagai penghibur yang mendapat pendapatan paling tinggi di dunia iaitu sebanyak AS$110 (RM367.3 juta) antara Jun 2008 hingga Jun 2009.

Namun, para peminat Beyonce boleh menarik nafas lega kerana sepanjang melakukan persembahan tersebut dia ditemani oleh Jay-Z.

Muatsim turut mengundang beberapa selebriti Hollywood seperti Jon Bon Jovi dan Usher serta beberapa orang wanita cantik bagi memeriahkan acara pada malam itu. - Agensi

'BUDAK BAIK'

Sikap 'mat bangla' ni harus dipuji, ia memberi imej yang baik kepada negaranya; lebih-lebih lagi kepada Islam.

Pulangkan wang RM70,192 kerana ibu


MOHAMMAD ditemu ramah oleh pemberita di rumahnya di New York kelmarin.


NEW YORK – Seorang pemandu teksi rakyat Bangladesh di New York, Mohammad Mukal Asadujjaman menyatakan dia memulangkan sebuah dompet yang mengandungi wang tunai lebih AS$21,000 (RM70,192) dan barang kemas kerana ibunya kerap menasihatkan dia supaya selalu berlaku jujur.

Mohammad menyatakan demikian selepas dia memulangkan sebuah dompet mengandungi wang tunai dan barang kemas yang ditemui dalam teksinya kepada sekumpulan pelancong Itali.

Salah seorang pelancong itu, Felicia Lettieri berumur 72 tahun tertinggal dompet tersebut yang mengandungi wang, barang kemas dan pasport rakan-rakannya pada Krismas lalu.

Kakak Lettieri, 72, dari Long Island memberitahu bahawa pemandu teksi itu menyelamatkan percutian mereka dan berkata: “Kami amat menyukai apa yang telah dilakukannya.”

Mohammad melihat wang kertas euro dalam dompet itu selepas dia membukanya untuk mengambil alamat tempat tinggal pelancong tersebut.

“Ibu saya ialah sumber inspirasi saya. Dia (ibunya) menyatakan selalu berlaku jujur dan bekerja keras,” katanya.

Mohammad menghubungi seorang rakannya dan memandu sebuah kereta sejauh 80 kilometer menuju ke alamat yang ditemui di dalam dompet tersebut.

Namun, mereka mendapati tidak ada sesiapa pun berada di rumah itu.

Mohammad kemudian meninggalkan nombor telefonnya dan sekeping nota.

Telefon bimbit pemandu teksi itu kemudian berbunyi dan dia kembali ke rumah tersebut untuk memulangkan dompet berkenaan.

“Mereka berasa cukup gembira,” kata Mohammad.

Dia merupakan imigran dan pelajar sebuah kolej sepenuh masa dekat apartmennya di Queens.

Mohammad mula memandu teksi beberapa hari dalam seminggu kira-kira tiga bulan lalu.

Pemandu teksi itu mengakui bahawa wang itu boleh membiayai pengajiannya tetapi berkata: “Hati saya menyatakan ia (mengambil wang itu) tidak baik.”

Mohammad turut enggan menerima sebarang ganjaran dengan menyatakan dia bukannya tamak. – AP

Tuesday, January 12, 2010

Wanita punggung besar kurang risiko sakit jantung

LONDON - Satu kajian kumpulan penyelidik Universiti Oxford di Britain mendapati wanita yang memiliki punggung dan paha besar kurang berisiko diserang sakit jantung dan kencing manis, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan saintis itu menyatakan lemak punggung dan paha boleh mengurangkan kesan protein cytokine iaitu penyebab keradangan dan arteri tersumbat.

Ia berbeza dengan sel lemak di bahagian perut yang dikaitkan dengan penyakit jantung dan diabetes kerana ia mengandungi cytokine yang tinggi.

Lemak punggung dan paha turut mengandungi sejenis hormon bagi melindungi salur darah dan bertindak mengawal kandungan gula dalam darah serta mempercepatkan pembakaran lemak.

"Lemak di sekitar punggung dan paha berbeza dengan lemak di perut. Terdapat lemak yang baik dan buruk sama seperti kolesterol berfaedah dan kolesterol yang berbahaya," kata ketua kajian tersebut, Dr. Konstantinos Manolopoulos.

Menurutnya, selebriti berpunggung besar seperti Jennifer Lopez (JLo) dan Beyonce merupakan contoh ikutan lebih baik bagi kesihatan wanita berbanding model yang kebanyakkannya bertubuh kurus dan kurang kandungan lemak seperti Kate Moss. - Agensi

'PENJARA MEWAH'

Bahaya juga ni, nanti orang2 miskin buat jenayah sebab duduk dalam penjara lebih selesa dari di luar.

Dipenjara dalam sel mewah di Jakarta


ARTALYTA duduk di dalam sel mewah di Penjara Pondok Bambu di Jakarta semalam.


JAKARTA - Walaupun bergelar banduan, Artalyta Suryani duduk dalam bilik penjara mewah semasa menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Pondok Bambu kerana kesalahan merasuah seorang pendakwa raya awam bagi menggugurkan siasatan berprofil tinggi.

Sel penjara wanita berkenaan tak ubah seperti sebuah bilik hotel tiga bintang, lengkap dengan sebuah katil spring, sofa tetamu selain sebuah dapur dan alat penghawa dingin bagi memastikan keselesaan penghuninya.

Mengulas mengenainya, Menteri Keadilan dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Patrialis Akbar mengakui sesetengah tahanan di Penjara Pondok Bambu, Jakarta Timur itu menerima layanan istimewa tetapi beliau akan menyiasat isu tersebut. - Agensi

Sunday, January 10, 2010

Memang tak patut, wak dah tengok dilaman web 'contoh' bagaimana mesin ni 'menelanjangkan' orang yang discannya. Nampak semua, pendek kata 'kenyang' la penjaga mesin tu. Bagaimana pula nanti jika gambar2 tu disalahgunakan ?

Pakai pakaian dalam di lapangan terbang


BEBERAPA orang memakai pakaian dalam di Lapangan Terbang Tegal di Berlin semalam.


BERLIN - Dengan cuma memakai pakaian dalam, sekumpulan aktivis mengadakan demonstrasi aman di Lapangan Terbang Tegal di sini semalam bagi membantah penggunaan mesin pengimbas badan yang akan ditempatkan di semua lapangan terbang di Jerman tidak lama lagi.

Langkah menempatkan mesin pengimbas itu dibuat ekoran terdapat percubaan untuk meletupkan sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS) di Detroit pada 25 Disember lalu oleh seorang warga Nigeria.

Mesin pengimbas itu mencetuskan kontroversi kerana ia mampu mendedahkan rupa bentuk tubuh seseorang penumpang bagi mengesan objek tersembunyi.

Beberapa pegawai pentadbiran Jerman menyatakan, mesin pengimbas itu akan diuji di semua lapangan terbang negara tersebut seawal pertengahan tahun ini.

"Kami sedang menguji teknologi baru itu secara menyeluruh dan bukan terburu-buru," kata Setiausaha Dalam Negeri, Klaus-Dieter Fritsche semalam.

Menurutnya, alat tersebut kini sedang diuji di beberapa buah makmal berdasarkan beberapa kriteria utama sebelum ia digunakan.

Antara kriteria itu ialah penggunaan mesin itu akan meningkatkan tahap keselamatan sedia ada selain selamat digunakan ke atas manusia. - Agensi

LAGI BARANG BERHARGA

Kalau kita ada menyimpan 'barang' yang ada nilai komersial, wariskanlah kepada anak cucu. Nanti mereka boleh jadi kaya raya apabila barang itu jadi 'antik'. Kadang2 banyak barang2 'antik' atuk nenek kita, diangkut oleh orang begitu saja atas sebab kejahilan kita menilai 'keantikan' sesuatu barang itu.

Duit syiling dijual lebih RM12 juta


GAMBAR menunjukkan duit syiling bertarikh 1913 yang dijual lebih RM12 juta pada satu lelongan di Orlando, Florida.


SEKEPING syiling Amerika Syarikat (AS) yang bertarikh 1913 yang pernah dimiliki oleh bekas pemerintah Mesir, Raja Farouk dan digunakan dalam drama detektif terkenal Hawaii Five-O pada 1973 dijual pada harga lebih AS$3 juta (RM12 juta) dalam satu lelongan di Orlando, Florida.

Duit itu dijual kepada seorang pengumpul syiling dari Orlando kelmarin pada harga AS$3,737,500 (RM12,627.161).

"Ia kemungkinan duit syiling AS yang paling terkenal," kata Presiden Warisan Lelongan, Greg Rohan.

Duit syiling itu telah bertukar tangan beberapa kali.

Ia dibuat di sebuah kilang duit syiling di Philadelphia dan mempunyai imej Miss Liberty. - Reuters

Friday, January 8, 2010

MANA YANG UTAMA: KAHWIN ATAU MAJLIS KAHWIN ?

'Bersih' alam sambil dapat duit....

Kutip tin untuk biayai perkahwinan


Parrish (kiri) dan Geyer duduk dekat lebih 18,000 tin aluminium di kediaman mereka di Spokane, Washington.


SPOKANE, Washington - Satu pasangan Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja saling cintai menyintai antara satu sama lain.

Malah, Andrea Parrish dan Peter Geyer turut menyintai alam sekitar apabila kedua-duanya sanggup mengutip tin aluminium untuk dijual bagi membiayai majlis perkahwinan mereka.

Pasangan itu kini menyimpan lebih 18,000 tin aluminium di kediaman mereka di sini.

Jumlah itu hampir lima peratus daripada sasaran mereka iaitu 400,000 tin.

Akhbar Spokesman-Review melaporkan bahawa jumlah tersebut sama dengan kira-kira lima tan aluminium dan bernilai kira-kira AS$3,800 (RM12,834) apabila dikitar semula.

Parrish dan Geyer berharap cita-cita untuk mengumpulkan jumlah tin itu akan tercapai menjelang tarikh perkahwinan mereka pada 31 Julai depan.

Pasangan itu turut menyediakan laman web di Internet, weddingcans.com untuk memberitahu rancangan mereka kepada orang ramai. - AP

Thursday, January 7, 2010

TELEFON JADI UBAT?

Lepas ni makin laku la telefon bimbit......

Telefon bimbit ubat penyakit nyanyuk


GAMBAR menunjukkan sejumlah tikus didedahkan pada signal telefon bimbit di Universiti Florida Selatan, di Tampa.


TAMPA - Telefon bimbit kini menjadi perhatian untuk digunakan bagi memerangi penyakit nyanyuk atau Alzheimer, kata beberapa penyelidik Ameriksa Syarikat kelmarin dalam satu kajian.

Kajian perintis yang diketuai Profesor Gary Arendash (gambar) dari Universiti Florida Selatan di sini mendapati kesan positif itu pada sekumpulan tikus makmal yang menghidap penyakit mirip Alzheimer.

Tikus-tikus itu memperlihatkan peningkatan keupayaan kognitif setelah terdedah pada radiasi telefon bimbit selama dua jam setiap hari untuk tempoh tujuh bulan hingga sembilan bulan.

Hasil uji kaji Arendash dan rakan-rakannya itu disiarkan dalam penerbitan Persatuan Alzheimer, Journal of Alzheimer's Disease edisi Januari.

"Namun, ia (keputusan kajian itu) bukan alasan untuk sesiapa cuba mengubati sendiri Alzheimer dengan menggunakan telefon bimbit," kata Ketua Pegawai Perubatan dan Sains Persatuan Alzheimer, Bill Thies.

Menurutnya, penyelidikan itu perlu diulangi dan disahkan bagi memperoleh keputusan konklusif sebelum ia dapat diketengahkan bagi tujuan komersial.

- AFP

Wednesday, January 6, 2010

'BEREBUT MAKHLUK ALLAH SWT'

'Makhluk' dibumi ini boleh dimanfaatka oleh manusia, tetapi hendaklah dalam bentuk yang terkawal. Tidak boleh dimusnahkan tanpa tujuan dan keperluan. Kerana ia boleh memudaratkan penduduk alam ini.


Drama bot canggih RM4 juta karam


KAPAL nelayan merempuh bot canggih


HOBART - Sebuah bot laju canggih berharga £750,000 (RM4 juta), Andy Gil milik Persatuan Pemuliharaan Gembala Laut patah di muncung depan selepas dirempuh kapal pemburu ikan paus dari Jepun, Shonan Maru No.2 di Laut Selatan dekat Antartik semalam.


KAPAL nelayan merempuh sisi bot canggih.


Bot laju itu digunakan oleh persatuan tersebut bagi menghalang kapal-kapal memburu ikan paus.

Drama itu bermula apabila kapal nelayan tersebut memancutkan air ke arah bot tersebut yang dinaiki oleh enam orang.

Kapal nelayan itu kemudian mendekati bot tersebut sebelum merempuh bahagian sisi dengan menyebabkan bahagian mucung depannya patah.

Lima orang yang menaiki bot itu dipindahkan ke sebuah kapal lain milik persatuan berkenaan.

Menurut seorang anggota persatuan itu, Bob barker Locky Maclean, kapten bot itu berada buat sementara dalam Andy Gil bagi menyelamatkan beberapa peralatan sebelum ia karam. - Agensi

Tuesday, January 5, 2010

Ikan tuna 233kg dijual RM599,587


BEBERAPA penjual ikan melihat sejumlah ikan tuna gergasi di Pasar Tsukiji, Tokyo semalam.


TOKYO - Seekor ikan tuna gergasi jenis bluefin seberat 233 kilogram (kg) dijual dengan harga $177,000 (RM599,587) dalam satu lelongan di Pasar Tsukiji di sini semalam.

Harga itu dianggap paling mahal sejak 2001 apabila seekor ikan tuna seberat 200kg dijual dengan harga AS$220,000 (RM745,250).

Seorang kakitangan pasar itu berkata, ikan tersebut dibeli dan dagingnya dibahagikan sama rata oleh seorang pemilik sebuah restoran sushi Jepun dengan pemilik sebuah bar sushi Hong Kong.

Dia berkata, ikan tuna yang ditangkap di perairan utara Jepun itu merupakan sebahagian daripada 570 ekor ikan yang dilelong di pasar tersebut.

Menurutnya, kira-kira 40 peratus ikan tuna yang dilelong itu ditangkap di pelbagai kawasan termasuk dari Indonesia dan Mexico.

Jepun merupakan pengguna makanan laut yang terbesar di dunia. - AP

Monday, January 4, 2010

Profesor mahu cipta otak tiruan


GAMBAR menunjukkan cahaya di sekitar otak mungkin mewakili aktiviti elektrik.





GENEVA - Seorang doktor dan jurutera komputer berketurunan Israel, Profesor Henry Markram (gambar) mengumumkan bahawa beliau dan pasukannya akan mencipta otak tiruan pertama di dunia menjelang tahun 2018, lapor sebuah akhbar semalam.

Bertempat di tepi Tasik Geneva, profesor berusia 47 tahun itu sedang giat membina otak tiruannya yang dinamakan projek Otak Biru dengan menggunakan silikon, emas dan gangsa.

Hasil ciptaan yang terbaru itu mungkin dianggap sejenis makhluk dan dalam tempoh sedekad, makhluk rekaannya itu boleh berfikir, mempunyai perasaan dan lebih hebat lagi mampu jatuh cinta.

Projek Profesor Markram itu digolongkan sebagai percubaan paling luar biasa dalam sejarah saintifik.

Berpuluh-puluh juta euro telah mengalir ke makmal saintis itu di Institut Minda Otak Politeknik Ecole, di Lausanne bagi menjayakan projek itu manakala penyumbangnya termasuk pentadbiran Switzerland, Kesatuan Eropah (EU) selain beberapa firma swasta seperti gergasi perisian komputer IBM.

Profesor Markram bukan membina robot yang meniru pergerakan manusia seperti ditonjolkan dalam filem sains fiksyen, sebaliknya beliau mahu menguraikan otak manusia sehingga ke peringkat terkecil iaitu sel sebelum hubungan di antara berbilion-bilion sel otak itu dianalisis seterusnya 'dipetakan' ke dalam komputer.

Hasilnya, otak tiruan yang dinamakan Otak Biru itu boleh berfikir dan berperasaan seperti manusia tetapi ia berada di dalam sebuah super komputer.

"Kami akan melakukannya menjelang 2018. Kami memerlukan banyak wang tetapi saya memperolehnya," kata Profesor Markram.

"Cuma segelintir saintis di dunia ini yang memiliki sumber kewangan seperti ini," tambahnya. - Agensi

Sunday, January 3, 2010

Pesawat terbabas di cerun salji di Dortmund, Jerman


BEBERAPA anggota keselamatan berdiri dekat pesawat syarikat penerbangan Air Berlin yang terbabas di Lapangan Terbang Dortmund, Jerman semalam.


BERLIN - Sebuah pesawat syarikat Air Berlin terbabas di landasan Lapangan Terbang Dortmund, barat Jerman semalam, kata pihak berkuasa.

Kejadian berlaku apabila juruterbang pesawat itu membuat keputusan untuk menghentikan kapal terbang yang sedang berlepas atas sebab-sebab teknikal.

Semasa kejadian sebanyak 165 penumpang dan enam krew berada di dalam pesawat itu tetapi tidak ada seornag pun daripada mereka yang mengalami kecederaan. Muncung kapal terbang Boeing 737-800 itu mengenai cerun bersalji.

Menurut jurucakap syarikat penerbangan itu, Diane Daedelow, pesawat tersebut tidak mengalami kerosakan dan penumpang turun dengan menggunakan tangga.

Daedelow berkata, penumpang dan bagasi mereka dibawa ke sebuah lapangan terbang yang berhampiran.

Sebuah lagi pesawat digunakan untuk membawa penumpang yang terkandas itu ke Las Palmas di Pulau Canary dekat Maghribi. Punca juruterbang menghentikan pesawat itu dipercayai akibat meter laju yang didapati tidak berfungsi. Syarikat itu kini melakukan siasatan bagi memastikan sama ada perkhidmatan servis menjadi punca meter tersebut tidak berfungsi. - Agensi

Friday, January 1, 2010

Apartmen satu bilik RM10.27 juta



BEBERAPA pekerja semalam melakukan persiapan terakhir sebelum bangunan Burj Dubai dibuka secara rasmi pada Isnin ini di Emiriyah Arab Bersatu.


DUBAI - Bangunan tertinggi dunia, Burj Dubai akan dibuka secara rasmi pada Isnin ini tetapi seorang pembeli apartmen di bangunan itu berharap dia tidak akan mengalami kerugian berikutan harga hartanah yang menjunam.

Seorang ahli perniagaan Palestin yang namanya tidak didedahkan berkata, dia membeli sebuah apartmen satu bilik tidur di bangunan tersebut pada harga AS$3 juta (RM10.27 juta) pada 2008.


GAMBAR terbaru menunjukkan bangunan Burj Dubai di Emiriyah Arab Bersatu.


"Ekoran penurunan harga (hartanah), kerugian saya akan meningkat," katanya.

Harga hartanah di Dubai telah jatuh lebih 50 peratus sejak tahun lalu berikutan kemelesetan ekonomi. Syarikat Emaar, pemilik bangunan itu enggan mendedahkan ketinggian sebenarnya.

Ia cuma menyatakan ketinggianya melebihi 800 meter sekali gus mengatasi bangunan Taipei 101 yang setinggi 508 meter.

Bangunan itu dibina oleh syarikat Samsung Engineering & Construction, Kumpulan BESIX dari Belgium dan Arabtec dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bangunan 160 tingkat itu boleh dilihat dari kedudukan sejauh 95 kilometer.

Ia mengandungi 57 buah lif untuk digunakan bagi membawa penghuni ke 1,044 apartmen selain terdapat ruang pejabat dan sebuah hotel. - AFP