WAK PUNYA GENG

Tuesday, January 26, 2010

HARGAILAH MAKANAN

Bila dalam keadaan susah manusia sanggup 'berperang' kerana makanan. Tapi bila 'mewah' makanan dibazirkan begitu saja.


Warga Haiti berebut makanan


ANGGOTA-ANGGOTA pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengawal ribuan warga Haiti yang cuba merempuh tempat pengedaran makanan di luar Istana Presiden di Port-au-Prince kelmarin.


PORT-AU-PRINCE - Ribuan penduduk Haiti yang kelaparan cuba merempuh kawat berduri dan sepasukan kecil anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa pengagihan makanan untuk mangsa-mangsa gempa bumi di sini kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Kekacauan itu berlaku di luar Istana Presiden yang runtuh akibat gempa bumi pada 12 Januari lalu.

Semasa kejadian, beberapa agensi bantuan bekerja keras mengawal lebih 4,000 penduduk Haiti yang menderita selepas dua minggu gempa bumi kuat melanda pulau itu.

Anggota-anggota keselamatan menyembur cecair pemedih mata ke udara sebagai usaha untuk menyuraikan ribuan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak yang terdesak untuk mendapatkan makanan.

Sejurus askar-askar PBB itu berundur, penduduk mula menyerbu untuk berebut guni-guni kekacang dan beras yang disumbangkan oleh pemerintah Amerika Syarikat (AS).

Seorang wanita hamil turut dipapah keluar oleh seorang anggota pengaman PBB selepas dia rebah akibat dirempuh oleh penduduk.

Anggota-anggota tentera berusaha mengagihkan bekalan dan mengarahkan penduduk beratur dalam empat barisan sepanjang 20 meter dari tempat bekalan makanan dipunggah.

Setiap kali seorang askar melepaskan tembakan amaran, penduduk akan bertindak berundur untuk beberapa ketika sebelum mereka merempuh semula barisan.

Pada 12 Januari lalu, gempa bumi kuat berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Haiti dengan anggaran kematian lebih 200,000 orang manakala ribuan bangunan runtuh. - Agensi

1 comment: